Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terus berwaspada semasa kunjung-mengunjung dengan adanya varian baru COVID-19 yang lebih mudah berjangkit

Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Jagaan Sokongan dan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada semasa kunjung-mengunjung sempena Hari Raya ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Jagaan Sokongan dan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada semasa kunjung-mengunjung sempena Hari Raya ini.

Ini memandangkan wujud varian baru COVID-19 yang lebih mudah berjangkit selain jumlah kes dalam masyarakat yang bertambah baru-baru ini, tanpa menunjukkan sebarang gejala.

"Sekali pandang kita mungkin tidak tahu seseorang itu telah dijangkiti ataupun pembawa kuman virus ini. Kita sendiri mungkin tidak tahu jika kita sendiri yang dijangkiti virus ini ataupun pembawa virus ini. Dan mungkin ini boleh membahayakan keluarga yang kita cintai.

"Oleh itu penting bagi kita untuk terus bertanggungjawab iaitu kita mengikut garis panduan yang telah diberi kepada kita di mana kita menggalakkan diri kita daripada jangan menziarah apabila kita sakit, memantau diri kita sebelum kita keluar rumah

"Kalau kita ada demam, ada selesema, ada batuk kita tidak patut keluar rumah dan sepatutnya pergi langsung berjumpa doktor untuk pemeriksaan yang lebih lanjut," nasihat Dr Norhisham.

Beliau, yang juga Konsultan Kanan Perubatan Geriatrik, menambah orang ramai harus mengelak daripada berkongsi sudu garpu dan cawan minuman. Selain itu terus memakai pelitup, kecuali ketika mahu makan atau minum.

IKUT GARIS PANDUAN DEMI LINDUNGI YANG BERUSIA

Dr Norhisham turut menasihatkan masyarakat supaya mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi melindungi mereka yang lebih berisiko dalam menjangkiti COVID-19.

"Janganlah menerima lebih daripada lima pelawat sehari dan jangan melawat lebih dari dua rumah sehari.

"Ini adalah penting terutama sekali bila kita hendak melawat saudara mara kita yang berumur dan lebih terdedah kepada bahaya," jelasnya.

Penggunaan cecair pembasmi kuman atau langkah mencuci tangan dengan sabun juga harus diteruskan, kata beliau.

"Kami faham kunjung mengunjung itu untuk mempereratkan silaturahim dan bermaaf-maafan tetapi kita harus mengelakkan daripada berpeluk-pelukan, berciuman dan sebagainya.

"Apabila kita bersatu, kita boleh menyebarkan virus ini kepada orang lain dan ini adalah orang-orang yang kita cintai seperti ibu bapa kita dan juga datuk nenek dan anak-anak saudara kita.

"Jadi kita patut melakukan salam Mufti sebagai tanda hormat dan kasih sayang kita kepada keluarga dan anak saudara kita," nasihat Dr Norhisham.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan