'Teruja' dapat lihat aksi penerjun Red Lions secara langsung di kawasan kejiranan
SINGAPURA: Dari 8.00 pagi lagi, orang ramai sudah mula berkumpul di stesen MRT Bishan untuk mendapatkan tempat paling hadapan bagi menyaksikan acara terjunan Red Lions di depan mata.
Siap mengenakan baju warna merah dan putih, lengkap dengan bendera negara serta lagu-lagu tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang dimainkan, ramai yang sudah lama menanti-nantikan peluang istimewa itu, menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-57.
Bagi beberapa keluarga yang ditemui BERITAmediacorp, ini juga merupakan kali pertama mereka dapat melihat pasukan Red Lions beraksi.
Namun, cuaca pagi tadi kelihatan tidak menentu, dengan angin kuat dan langit yang semakin mendung.
HUJAN GERIMIS DI KAWASAN BISHAN, AKSI TERJUN RED LIONS LAMBAT 30 MINIT
Harapan mereka untuk menyaksikan acara menarik itu juga hampir tidak kesampaian apabila turunnya hujan gerimis.
Ini juga bermakna aksi terjunan perlu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga hujan reda.
Sambil menunggu, mereka dihiburkan dengan kuiz berkenaan Hari Kebangsaan Singapura dan berpeluang memenangi cenderahati.
Mujur, pada sekitar 9.30 pagi, cuaca bertambah baik dan akhirnya mereka dapat melihat aksi terjunan oleh tujuh anggota pasukan Red Lions, yang mengambil giliran untuk terjun dan mendarat di kawasan lapang di Bishan itu.
Tepukan paling gemuruh pula diberikan kepada penerjun terakhir yang turut mengibarkan bendera Singapura sewaktu mendarat.
"Pada mulanya sebab kita tunggu agak lama. Mereka kata pukul 9.00 (bermula) kan? Apabila sudah pukul 9.00 masih belum lagi ada apa-apa," kongsi Cik Syarifah Nurjannah kepada BERITAmediacorp.
"Kemudian hujan gerimis dan kemudian kita dapat melihat pelangi yang cantik juga. Ia berakhir dengan baik, kita menyaksikan Red Lions itu turun. Ia adalah satu pengalaman yang menakjubkan, Alhamdulillah," tambahnya lagi.
RAMAI PAKAI BAJU MERAH & PUTIH, KIBAR BENDERA NEGARA
Melihat ramai memakai baju merah, sambil mengibar bendera negara, Cik Syarifah dapat rasakan semangat "patriotik" dalam kalangan pengunjung.
Perasaan yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi penonton yang datang bersama keluarganya hari ini (7 Ogos).
"Kita dapat melihat rakyat semua berkumpul berbilang kaum. Mula-mula cuaca tidak mengizinkan. Bila kita menunggu, dengan cuaca yang berubah, ada harapan untuk acara ini dilangsungkan," ujar Cik Nurain, yang meluahkan rasa syukur.
"Jadi anak-anak saya pun sanggup menunggulah sehingga matahari pun cerah, kirakan cuaca pun beransur baik. Jadi kita dapat menyaksikannya," tambahnya lagi.
Menurut Cik Nurain, beliau gembira dapat berkongsi pengalaman ini bersama anak-anak.
Ini terutama sekali apabila tidak mendapat tiket untuk menyaksikan NDP di Pentas Terapung Marina Bay kali ini.
Bagi Cik Nurul pula, beliau memang sudah tidak sabar membawa anggota keluarganya menyaksikan acara Red Lions.
"Kami amat teruja sebab ini kali pertama. Pagi-pagi semua dah bangun, ghairah untuk menyaksikan Red Lions," menurut Cik Nurul, yang datang bersama lapan anggota keluarganya.
"Anak lelaki kita memang minat payung terjun dan kapal terbang. Jadi kita ingin melihat bagaimana rupanya, lebih-lebih lagi yang membawa bendera turun itu," tambah beliau.
KAWASAN GHIM MOH HUJAN LEBAT; ACARA DITUNDA
Nasib bagaimanapun, tidak menyebelahi mereka yang berada di kawasan Ghim Moh.
Dengan hujan lebat, aksi terjun Red Lions itu terpaksa ditunda kepada sebelah petang iaitu pada jam 6.15 petang.
Ini merupakan tahun ketiga pasukan Red Lions beraksi di kawasan kejiranan.
Pasukan Red Lions akan beraksi sekali lagi pada Hari Kebangsaan, di Pentas Terapung Marina Bay.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.