Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teruja campur gemuruh, hari pertama persekolahan murid darjah 1

Anggaran Waktu Membaca:
Teruja campur gemuruh, hari pertama persekolahan murid darjah 1

Teruja campur gemuruh, hari pertama persekolahan murid darjah 1. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Hari pertama persekolahan bagi 66 murid Darjah 1 Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah berjalan lancar pagi tadi (2 Jan).

Kesemua pelajar madrasah itu memulakan penggal baharu mereka hari ini.

Namun keadaan tidak begitu sesak dan teratur kerana para pelajar dibahagikan kepada dua sesi dengan murid-murid Darjah 4 hingga 6 dalam sesi pertama yang bermula pukul 7.30 pagi manakala murid-murid Darjah 1 hingga 3 pula bermula pada 10.45 pagi.

Bagi para murid darjah 1, ada yang datang menaiki bas sekolah yang tiba di pagar madrasah tepat pada jam 10.15 pagi.

Selain menaiki bas, ada juga yang dihantar oleh ibu bapa mereka sendiri untuk hari pertama sekolah.

Murid-murid itu berkumpul di lobi sekolah terlebih dahulu mengikut kelas masing-masing, disambut oleh para kakitangan sekolah.

Untuk ibu bapa yang hadir untuk menghantar anak mereka ke sekolah, pelbagai perasaan dan reaksi dikongsi kepada wartawan Nazirah Jamzuri, lebih-lebih lagi melihat anak kesayangan melangkah masuk ke Darjah 1.

TEMANI ANAK KE SEKOLAH, ELAK RASA GEMURUH

Kiri: Cik Mastura

Antaranya ialah Cik Mastura Tanzim Khan, 32 tahun, yang menemani anak sulungnya ke sekolah hari ini (2 Jan).

"Sebenarnya mereka menaiki bas, jadi kita ikut dari belakang, untuk memberi sokongan dari belakang," kongsi kepada BERITA Mediacorp.

"Kita sudah mempersiapkannya dari semalam sebelum tidur. Jadi pagi turun bawah, menaiki bas dan kita memberitahunya bahawa kita akan ikut dari belakang jadi dia rasa selamat ke sekolah," tambahnya.

Memandangkan anaknya tidak mengikuti pendidikan prasekolah aliran Islam, lebih banyak persiapan perlu dilakukan.

"Banyak persiapan (dilakukan) sebab dia bukan dari prasekolah Islam, jadi banyak buat latihan-latihan dari kertas-kertas tahun lalu. Kita juga memasukkannya dalam kelas tuisyen dan setiap malam membuat latihan-latihan ini," ujar Cik Mastura, yang turut bangga melihat anaknya ke sekolah tanpa menitiskan air mata.

Cik Aisah dan anak.

Seperti Cik Mastura, Cik Nor Aisah, 38 tahun, turut melakukan persediaan awal untuk anaknya.

"Pada mulanya, kita mengajar mereka sedikit, dan (ilmu) semasa tadika itu memang sudah dah ada jadi kita tambah-tambah sedikit di rumah dan membeli bahan-bahan lain online dan membantu mengajarnya di rumah sedikit," kongsi Cik Aisah.

Untuk hari ini, beliau mengambil keputusan untuk menghantar anaknya ke sekolah, meskipun melanggani khidmat bas yang disediakan.

"Hari ini ada ramai ibu bapa, jadi saya takut nanti dia melihat ramai ibu bapa, dia menjadi gemuruh ke apa. Jadi saya temankannya dahulu pada hari pertama ini," ujar Cik Aisah, yang gembira kerana anaknya mendapat tempat di madrasah itu.

SEBAK TAPI INGIN BERI ANAK SEMANGAT BERSEKOLAH

Encik Muhammad Mubarak, 36 tahun pula, berkongsi kepada BERITA Mediacorp bahawa beliau dan isteri tiba awal untuk menanti bas yang menghantar anak sulung mereka itu.

"Prosesnya agak mudah, di mana anak kita menaiki bas sekolah dan saya dan isteri pula datang ke sini awal untuk tunggunya di sini (sekolah)," menurut Encik Mubarak.

"Tentunya perasaan sedih ingin melepaskannya tetapi sebagai seorang ayah, saya tidak menunjukkan kesedihan itu dan memberikannya semangat supaya dia lebih bersemangat untuk ke sekolah pada hari pertama ini," tambahnya.

MURID-MURID DARJAH 1 TERUJA DAPAT MULA PENGGAL BAHARU
 

Khodijah Mohamed Aidel di dalam bilik darjah.

Beberapa murid darjah 1 yang BERITA Mediacorp temui berkongsi perasaan mereka memulakan penggal baharu.

"Saya rasa takut sebab saya tak pernah pergi ke sekolah di sini," kongsi Khodijah Mohamed Aidel kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Selepas itu, saya sudah pergi dan berada di sekolah ini lama-lama, saya pun sudah tidak takut," tambahnya.

Uthman bersama ibu bapa.

"Saya rasa gembira," kongsi Uthman Muhamad Raydza pula.

Keisha Raihanah Muhd Khairin dan Hammad Muhd Haffizz pula melahirkan rasa teruja untuk belajar di sekolah baharu.

"Saya suka ke sekolah sebab kita boleh belajar, bermain, dan melakukan pelbagai perkara. Kita boleh membaca dan saya rasa sangat seronok ke sekolah," menurut Keisha.

"Saya suka bilik darjah ini kerana ada bermacam-macam barang di sini seperti hiasan dan sebagainya," kongsi Hammad.

PELBAGAI PERSIAPAN DILAKUKAN SESUAIKAN MURID DENGAN 'TEMPAT BAHARU'

Meskipun rasmi mula pendidikan sekolah rendah hari ini, kebanyakan mereka sudah sertai sesi persiapan yang diadakan Madrasah Wak Tanjong lebih awal lagi.

Ini selain membolehkan mereka untuk menyesuaikan diri di "tempat baharu".


"Antara persiapan yang kita adakan untuk mereka adalah pada bulan Disember lalu, murid-murid Darjah 1 yang telah dipilih ini, menyertai kelas persiapan untuk seminggu jadi sedikit sebanyak mereka sudah terdedah dengan subjek-subjek yang akan diajar seperti Bahasa Inggeris, Melayu, Matematik. Arab dan sebagainya," kongsi guru Madrasah tersebut, Ustaz Mu'aaz Mohd Abdul Halim.

"Antara persiapan lain juga dari segi fizikal dan mental, saya percaya ibu bapa sudah mempersiapkan mereka di rumah. Untuk kita guru-guru di sekolah, kita sudah siapkan jadual, aktiviti-aktiviti yang mereka akan lakukan di sekolah dan kami juga telah mengulang kaji teknik-teknik mengajar murid-murid darjah 1 ini dengan berkesan," tambahnya.

Dalam pada itu, murid-murid juga dipadankan dengan 'buddy' atau 'rakan' yang merupakan alumni madrasah itu.

"Dengan itu, mereka boleh menyesuaikan diri untuk satu, dua minggu ini dengan pertolongan alumni-alumni kami. Kalau mereka menghadapi masalah atau sebagainya, 'buddy-buddy' ini akan menolong mereka di kelas ataupun di luar kelas," ujar Ustaz Mu'aaz.

Madrasah Wak Tanjong menerima lebih 150 pendaftaran namun hanya 66 murid sahaja yang terpilih setelah menjalani Ujian Kemasukan ke Madrasah. 

Selain pelajar peringkat sekolah rendah, hari ini juga merupakan hari pertama bagi para pelajar sekolah menengah dan pra-universiti Madrasah Wak Tanjong.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan