Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Teroka tempat perlindungan bom di stesen MRT SG

Anggaran Waktu Membaca:
Teroka tempat perlindungan bom di stesen MRT SG

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 13 Feb 2023 11:36PM Dikemas Kini : 15 Feb 2023 07:53PM
SINGAPURA: Setiap 15 Februari, bunyi semboyan akan kedengaran di seluruh Singapura melalui sistem amaran awam sempena memperingati Hari Pertahanan Mutlak.

Seandainya berlaku perang, adakah anda tahu apa yang harus anda dibuat dan ke mana harus dituju?

Singapura mempunyai rangkaian tempat perlindungan awam di mana anda boleh mendapat perlindungan.

Lebih daripada 580 tempat perlindungan sedemikian disediakan seperti di stesen MRT tertentu, kolong blok flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), sekolah, kelab masyarakat dan bangunan pemerintah.

Ketika satu latihan bersama Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Mediacorp mendapat pengalaman eksklusif melihat bagaimana stesen MRT diubah menjadi sebuah tempat perlindungan bom.

PINTU KALIS BOM

Unit Perlindungan dan Ketahanan Awam SCDF ditugaskan mengendali tempat perlindungan tersebut.

Selepas pukul 1.00 pagi, sekitar 70 anggota perkhidmatan negara sepenuh masa lengkap berpakaian seragam berada di Stesen MRT Buangkok.

Perkhidmatan kereta api sudah tamat ketika itu.

Mereka hadir untuk berlatih proses menukar stesen MRT itu kepada tempat perlindugan awam yang dapat menempatkan kira-kira 7,000 orang awam.
(Gambar: CNA)
Pertama, komander Unit mengambil alih kawalan stesen itu, dari pusat perkhidmatan penumpang.

Sebaik sahaja orang awam memasuki stesen MRT dan selamat berada di bawah tanah, pintu kalis bom diaktifkan untuk menutup bahagian atas stesen kereta api.

BERLINDUNG DI STESEN

Di dalam stesen, orang awam boleh berlindung di aras 'concourse' di mana terletaknya gantri MRT dan juga di platform di mana penumpang selalunya menaiki kereta api.

Mereka juga boleh duduk di kawasan yang ditandakan dengan pita pelekat di lantai.

Jika kereta api MRT ditempatkan di stesen, orang awam turut boleh duduk di dalamnya. Sistem pengaliran udara dipasang supaya udara segar dapat memasuki kereta api itu.

'Tandas kering' sementara juga dipasang di platform sebagai tambahan kepada jumlah tandas yang terdapat di stesen kereta api.
 
(Gambar: CNA)
Kit 'tandas kering' dibahagikan kepada setiap orang. Ia mengandungi penyerap, satu paket tisu dan kain lap basah.

Setelah menggunakan kertas penyerap, ia akan dimasukkan ke dalam beg dan dibuang. Terdapat singki di mana anda boleh mencuci tangan anda.

PASTIKAN CUKUP BEKALAN AIR, ELEKTRIK DAN UDARA

Terdapat pintu yang kelihatan seperti pintu biasa di bahagian atas stesen kereta api, yang menuju ke koridor yang dibarisi beberapa bilik.

Bilik-bilik tersebut mengandungi pemasangan kritikal yang memastikan tempat perlindungan tersebut dapat berfungsi ketika berlakunya kecemasan.

Kawasan itu menempatkan paip air utama dan penapis ultraungu, dua penjana kuasa diesel dan sistem penapisan udara.

Ia memastikan air boleh diminum, elektrik dan udara segar sentiasa ada.
 
(Gambar: CNA)

Bahgaian stesen itu selalunya ditutup kepada orang ramai kerana mengandungi kawasan pembersihan daripada pencemaran senjata kimia atau bahan radioaktif.

Kawasan itu kelihatan seakan bilik mandi terbuka.

Semasa keadaan aman, Unit Perlindungan dan Ketahan Awam mengadakan latihan secara berkala untuk sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

Pada waktu kecemasan semasa perang, unit yang sama akan menjalankan aktiviti-aktiviti untuk mendidik orang ramai mengenai prosedur dan panduan ke tempat perlindungan.

Sumber : CNA/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan