Skip to main content

Singapura

Terminal Feri Tanah Merah dinaik taraf, dijangka sokong perjalanan ke Johor dan Kepulauan Riau

Terminal Feri Tanah Merah (TMFT) yang telah dinaik taraf dijangka menyokong pertumbuhan perjalanan ke Johor dan Kepulauan Riau dengan kemudahan baharu bagi meningkatkan pengalaman penumpang.

Anggaran Waktu Membaca:
Terminal Feri Tanah Merah dinaik taraf, dijangka sokong perjalanan ke Johor dan Kepulauan Riau

Kemudahan baharu di Terminal Feri Tanah merah dijangka tingkatkan pengalaman para penumpang. (Gambar: Bernama)

SINGAPURA: Terminal Feri Tanah Merah (TMFT) yang telah dinaik taraf dijangka menyokong pertumbuhan perjalanan ke Johor dan Kepulauan Riau dengan kemudahan baharu bagi meningkatkan pengalaman penumpang.

Ketua Eksekutif Pusat Kapal Pesiaran Singapura (SCC) Jacqueline Tan berkata kerja naik taraf bernilai S$20 juta itu kini siap sepenuhnya dan merangkumi kios daftar masuk layan diri serta lorong imigresen automatik.

Ciri-ciri itu membolehkan penumpang mengurangkan masa yang diperlukan bagi pemprosesan.

Selain itu, penambahan premis makanan dan minuman baharu juga diadakan di terminal itu.

“Sebelum ini, kesesakan berlaku di dua lokasi - di kaunter untuk membeli tiket atau mengambil pas pelepasan, serta di kaunter imigresen.

“Bergantung kepada musim, secara purata mengambil masa kira-kira 20 minit untuk masuk ke dewan pelepasan, tetapi kini hanya sekitar lima minit,” kata Cik Tan pada taklimat media selepas majlis perasmian TMFT yang dinaik taraf oleh Menteri Negara bagi Pengangkutan merangkap Undang-Undang, Murali Pillai, pada Sabtu (22 Mac).

Inisiatif pelepasan tanpa pasport oleh Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) juga membolehkan penduduk Singapura yang tiba dan berlepas, serta semua pelancong asing yang berlepas, melalui pemeriksaan imigresen untuk menggunakan biometrik wajah dan iris.

Sementara itu, Cik Tan turut berkongsi bahawa kios daftar masuk layan diri sedang diperkenalkan secara berperingkat. Semua pengendali feri dijangka menyertai sistem itu menjelang Jun.

Pada masa ini, empat pengendali feri beroperasi di TMFT, menyediakan perkhidmatan feri ke dan dari dua lokasi di Johor (Tanjung Pengelih dan Desaru Coast) serta empat lokasi di Kepulauan Riau (Bandar Bentan Telani, Batam Centre, Nongsapura, dan Tanjung Pinang).

Terminal itu juga bersedia menyokong peningkatan jumlah pengendali dan perkhidmatan sekiranya terdapat permintaan menyusuli pelaksanaan penuh Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura.

"Kini terdapat perkhidmatan feri ke dua kawasan dalam SEZ Johor-Singapura, tetapi majoriti penumpang adalah pelancong.

"Mungkin mengambil masa bertahun-tahun sebelum kita melihat kesan penuh SEZ Johor-Singapura, namun terminal ini sudah bersedia untuk menampung keperluan tersebut jika ia timbul,” katanya.

Cik Tan juga berkata SCC menjangkakan pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak lima peratus dari tahun ke tahun, disokong oleh pembangunan hotel dan tarikan baharu di Kepulauan Riau serta kemunculan semula pasaran China, yang sebelum COVID-19 menyumbang 20 hingga 25 peratus daripada jumlah trafik.

Selepas naik taraf, TMFT meningkatkan kapasiti terminal sebanyak 20 peratus kepada lebih tiga juta penumpang. Pada kemuncaknya semasa pra-COVID-19, terminal itu mengendalikan sehingga 2.4 juta penumpang.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita