Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dibuka semula 13 Sep

Terminal itu menggantung operasinya pada Mei 2020 apabila pandemik COVID-19 menyebabkan perjalanan udara menjunam dengan mendadak.

Anggaran Waktu Membaca:
Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dibuka semula 13 Sep

Dewan ketibaan Terminal 4 Lapangan Terbang Changi dengan pintu masuk imigresen berautomasi. (Gambar: Changi Airport Group)

SINGAPURA: Terminal 4 Lapangan Terbang Changi akan menyambung semula operasi pada 13 September selepas dua tahun ditutup kerana pandemik COVID-19, umum Changi Airport Group (CAG) pada Jumaat (22 Jul).

Terminal itu menggantung operasinya pada Mei 2020 apabila pandemik COVID-19 menyebabkan perjalanan udara menjunam dengan mendadak.

Pembukaan semula T4 akan menambah keupayaan Lapangan Terbang Changi, dalam "memastikan hab penerbangan itu dapat menampung permintaan bertambah bagi perjalanan udara dan menyokong rancangan syarikat penerbangan untuk melancarkan lebih banyak penerbangan", jelas CAG.

Sebelum ini, ia mengumumkan bahagian selatan dewan keberangkatan Terminal 2 juga akan dibuka semula pada bulan Oktober selepas ditutup bagi kerja-kerja naik taraf pada 2020.

Sebanyak 16 syarikat penerbangan akan ditempatkan semula ke Terminal 4 secara bertahap-tahap pada September dan Oktober, bermula dengan Cathay Pacific dan Korean Air yang mula beroperasi pada 13 Sep. AirAsia Group akan menyusul pada 15 Sep, manakala Cebu Pacific, Juneyao Air, Jeju Air, Bamboo Airways dan HK Express akan berbuat demikian pada 20 Sep.

Khidmat bas ulang-alik akan menghubungkan penumpang dan pengunjung antara Terminal 4 dengan terminal-terminal lain. Bas awam nombor 24, 34, 36 and 110 juga akan singgah di dan di samping teksi dan khidmat kereta sewa.

CAG menyatakan pihaknya akan menjalanlan pelbagai latihan kesediaan operasi dengan syarikat-syarikat penerbangan dan rakan-rakan lapangan terbang pada dua bulan mendatang, bagi memastikan penyambungan semula operasi yang lancar di Terminal 4.

"Sedang kami tingkatkan persiapan bagi memberi khidmat kepada lebih ramai penumpang semasa musim cuti sekolah hujung tahun, penggunaan automasi di T4 akan membantu kami mengatasi cabaran pasaran buruh yang ketat," kata Encik Tan Lye Teck, naib presiden eksekutif bagi pengurusan lapangan terbang CAG.

"CAG akan bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan rakan-rakan lapangan terbang untuk menjalankan latihan dan menguji sistem sepanjang dua bulan akan datang demi memastikan semua sumber disediakan bagi pelancaran yang licin bagi penumpang."

Dibuka pada 2017, Terminal 4 adalah terminal terbaru Lapangan Terbang Changi dan mampu menampung 16 juta penumpang setiap tahun.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan