Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terminal 2 Lapangan Terbang Changi dibuka semula bertahap-tahap mulai 29 Mei

Terminal 2 Lapangan Terbang Changi akan dibuka semula secara berperingkat mulai 29 Mei ini selepas ditutup selama dua tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
01:01 Min
Terminal 2 Lapangan Terbang Changi akan dibuka semula secara berperingkat mulai 29 Mei ini selepas ditutup selama dua tahun.
Diterbitkan : 22 May 2022 02:59PM Dikemas Kini : 23 May 2022 12:58AM

SINGAPURA: Terminal 2 Lapangan Terbang Changi akan dibuka semula secara berperingkat mulai 29 Mei ini selepas ditutup selama dua tahun.

Pembukaan semula itu untuk memenuhi jumlah penumpang yang "dijangkakan meningkat" dalam beberapa bulan akan datang, menurut Changi Airport Group (CAG) pada Ahad (22 Mei).

Terminal 2 ditutup untuk kerja-kerja naik taraf sejak Mei 2020.

Penutupan Terminal 2 sepatutnya berjalan selama 18 bulan, tetapi ia dilanjutkan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Apabila kerja naik taraf siap menjelang 2024, kapasiti terminal 2 akan meningkat sebanyak 5 juta kepada 28 juta pergerakan penumpang setiap tahun.

"Dalam fasa pertama pembukaan semula Terminal 2 ini, kemudahan seperti ketibaan imigresen, tempat ambil bagasi dan pintu di bahagian selatan terminal bersedia untuk operasi penerbangan," kata CAG.

Terminal 2 akan mengendalikan ketibaan penerbangan pada waktu sibuk bagi syarikat penerbangan yang buat masa ini beroperasi di Terminal 3.

"Sebilangan kecil" penerbangan yang berlepas dari Terminal 3 juga mungkin menggunakan pintu pelepasan Terminal 2, meskipun penumpang akan terus mendaftar masuk dan melakukan pelepasan imigresen di Terminal 3, kata CAG.

Terminal 2 yang lebih luas itu akan mempunyai dewan ketibaan imigresen yang lebih besar dengan lebih banyak laluan imigresen automatik dan lorong bantuan khas.

Laluan imigresen automatik akan menyediakan perkhidmatan kepada warga dan penduduk Singapura yang telah mendaftar biometrik iris serta imbasan wajah mereka dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan. Ia termasuk pelawat asing yang layak yang sudah melakukan perkara yang sama sebaik tiba di Singapura.

"Memandangkan lebih ramai penumpang sudah mendaftar, jumlah laluan imigresen automatik akan ditambah," tambah CAG.

"Laluan bantuan khas pula lebih lebar berbanding laluan konvensional, membolehkan penumpang dengan bantuan mobiliti, serta keluarga besar, menyelesaikan urusan imigresen dengan lebih mudah."

Naib presiden eksekutif pengurusan lapangan terbang CAG Tan Lye Teck berkata: "CAG amat terdorong melihat peningkatan kukuh dalam permintaan perjalanan dan telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk mempercepatkan pembukaan semula T2 menjelang Jun bagi memenuhi permintaan ini."

"Terminal 2 akan dibuka semula secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menyokong pemulihan Changi sebagai hab udara serantau,”ujarnya.

Singapura melonggarkan sekatan perjalanan COVID-19 pada 29 Apr untuk pelawat yang sudah lengkap divaksin.

Sumber : CNA/SU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan