Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Terlebih orang di atas jambatan' punca roboh, menurut Montigo Resorts

Kejadian jambatan roboh pada lewat Khamis di Batam - yang mencederakan 26 kakitangan Yayasan MENDAKI - adalah akibat "terlebih orang di atas jambatan", menurut Montigo Resorts dalam satu kenyataan hari ini (8 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kejadian jambatan roboh pada lewat Khamis di Batam - yang mencederakan 26 kakitangan Yayasan MENDAKI - adalah akibat "terlebih orang di atas jambatan", menurut Montigo Resorts dalam satu kenyataan hari ini (8 Nov).

"Ini adalah satu kejadian malang akibat terlebih jumlah orang yakni sebanyak 30 orang di satu bahagian tertentu di atas jambatan itu sedangkan jambatan tersebut digunakan sebagai laluan biasa," menurut kenyataan oleh firma perhubungan awam yang mewakili resort itu.

"Dapatan siasatan awal menunjukkan, tidak seperti yang dilaporkan sebelum ini, asas jambatan itu kekal kukuh dan tidak runtuh."

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai orang yang boleh ditampung struktur itu.

Montigo menyatakan lagi, bahawa jambatan itu disenggara tahun ini dan kerap diperiksa. Siasatan lanjut ke atas kejadian akan dilakukan, menurutnya lagi.

"SUDAH LETAK PAPAN TANDA MUATAN TERHAD"

Cik Leny Suparman, CEO kumpulan KOP Limited, turut menekankan sedemikian apabila ditemui para wartawan di Terminal Feri Tanah Merah tengah hari tadi setelah menyambut ketibaan para kakitangan MENDAKI yang kembali ke Singapura.

KOP Limited adalah syarikat yang memiliki Montigo Resorts, di mana terletaknya jambatan yang runtuh pada Khamis.

"Di jambatan kami, terdapat papan-papan tanda yang menyatakan bahawa ia mempunyai had muatan," kata Cik Leny.

Bagaimanapun, apabila ditanya berapa jumlah orang paling ramai yang boleh ditampung jambatan itu, Cik Leny menjawab mereka "tidak mempunyai bilangan khusus".

"Kita tidak mempunyai bilangan yang khusus, namun jelasnya kita tidak menggalakkan terlalu ramai orang untuk berada serentak pada satu-satu tempat di atas jambatan itu," jelas beliau.

"Ia merupakan laluan biasa, yang mana pengunjung gunakan untuk menuju ke jeti di hujungnya untuk bergambar," tambah beliau.

"Kami sudah meletakkan papan tanda menyatakan ia (jambatan) mempunyai had muatan dan untuk kegiatan terhad."

(Gambar: Ahmad Khan/CNA)

(Gambar: Ahmad Khan/Mediacorp)

Wartawan Mediacorp yang berada di tempat kejadian bagaimanapun tidak melihat sebarang papan tanda yang dimaksudkan.

Menjawab pertanyaan susulan dari BERITA, jurucakap KOP Limited menjelaskan bahawa papan tanda di kawasan itu menyatakan jambatan itu hanya membenarkan 'kegiatan terhad'.

Beliau sekali lagi menegaskan, jambatan roboh itu berpunca daripada orang yang ramai yang berkumpul pada satu-satu bahagian jambatan.

"SEPATUTNYA BERGAMBAR DI SEBELAH JAMBATAN"

Mengulas tentang kejadian semalam, Cik Leny tengah hari tadi menekankan sekali lagi bahawa jambatan itu bertujuan sebagai laluan untuk pengunjung ke jeti.

"Jambatan itu sepatutnya untuk orang berlalu. Tentu sekali ada orang yang pernah ke sana untuk bergambar, namun rancangan awal bagi kumpulan ini (kakitangan MENDAKI) adalah untuk bergambar bukan di atas jambatan, namun bersebelahannya," kata beliau.

"Walau apapun, apa yang sebenarnya terjadi kita belum mendapat kepastian. Bilangan orang di atas jambatan juga belum jelas, namun keseluruhan anggota rombongan adalah sekitar 100 orang."


Cik Leny Suparman diwawancara di Terminal Feri Tanah merah pada 8 Nov 2019 (Gambar: Taufiq Zalizan/BERITAmediacorp)

Cik Leny Suparman (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)

Para pegawai MENDAKI yang terlibat dalam kejadian Khamis berada di Batam untuk retreat tahunan mereka.

Mereka dijadual berada di sana selama dua hari dan pulang pada hari ini.

Kesemuanya 26 pegawai tercedera dalam kejadian tersebut, dengan empat daripada mereka dihantar bagi pemeriksaan susulan di Hospital Besar Changi setelah tiba di Terminal Feri Tanah Merah pada sekitar tengah hari tadi.

Menurut kenyataan terbaru MENDAKI setakat 5.00 petang tadi, dua daripada mereka dibenar pulang dari hospital. Seorang lagi dimasukkan ke wad bagi pantauan lanjut, manakala seorang lagi menjalani pembedahan bagi buku lali yang patah. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan