Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terlalu bergantung kepada tuisyen boleh bentuk pemikiran kurang sihat

Perangkaannya meningkat kepada 74 peratus bagi para pelajar menengah tiga dan ke atas. Bagi subjek sains pula, perangkaan itu meningkat daripada 13 peratus kepada 58 peratus.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jun 2018 04:58PM Dikemas Kini : 23 Jun 2018 11:58PM

SINGAPURA: Matematik dan sains merupakan dua mata pelajaran paling popular dalam industri tuisyen hari ini dan bilangan pelajar yang mendapatkan tuisyen bagi dua subjek itu pada peringkat lebih tinggi juga semakin meningkat.

Demikian menurut satu tinjauan yang dijalankan Saluran 8 Mediacorp dan Blackbox pada Oktober tahun lepas.

Namun, bagaimanakah mengikuti kelas tuisyen menjejas kebolehan para pelajar untuk membangunkan sendiri kemahiran belajar mereka?

Tinjauan yang dijalankan Saluran 8 Mediacorp mendapati 70% murid dari darjah satu hingga tiga mengikuti kelas tuisyen dalam mata pelajaran matematik.

Perangkaannya meningkat kepada 74 peratus bagi para pelajar menengah tiga dan ke atas. Bagi subjek sains pula, perangkaan itu meningkat daripada 13 peratus kepada 58 peratus.

Salah satu sebab para pelajar mengambil tuisyen adalah tekanan untuk meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan nasional seperti GCE 'O' dan 'A'.

Para tutor lazimnya dapat mengesan jenis-jenis soalan peperiksaan dan juga mengajar cara-cara untuk mengulang kaji dengan baik. Namun adakah amalan sedemikian menghambat kebolehan pelajar untuk menajamkan kemahiran untuk belajar sendiri?

Kementerian Pendidikan menyatakan bergantung secara berlebihan terhadap tuisyen untuk mendapatkan huraian pantas boleh membentuk pemikiran kurang sihat yang sentiasa inginkan bantuan, yang sebahagian besarnya dirangsang oleh perasaan risau sekiranya ketinggalan di belakang.

"Saya rasa masalah itu diburukkan lagi dengan keadaan bekerja pada masa akan datang yang amat berbeza. Jika kita tidak melahirkan para pelajar yang mahu belajar atas sifat ingin tahu semula jadi atau mereka yang bermotivasi tinggi atau proaktif dalam mencari sendiri ilmu, ia akan memberi kesan besar kepada kemampuan mereka untuk bertahan dalam pekerjaan atau ekonomi masa depan," kata Cik Phua.

Beliau menambah bahawa perubahan pada pemikiran para penggubal dasar, pendidik dan pelajar diperlukan. Salah satu caranya dengan menyemak semula sistem penilaian dan kemasukan sekolah.

Ini bagi mendorong penguasaan kemahiran dan bukan sekadar untuk mencapai keputusan peperiksaan yang baik.  

Sumber : CNA/NT/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan