Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Terlalu banyak' kematian di tempat kerja; piawai & amalan keselamatan 'kelihatan sudah merosot', kata PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 May 2022 02:16PM Dikemas Kini : 10 May 2022 12:20AM

SINGAPURA: "Terlalu banyak" kematian di tempat kerja pada tahun ini dan piawaian serta amalan keselamatan pula kelihatan "sudah merosot", menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Isnin (9 Mei). 

Sebanyak 20 kematian di tempat kerja dilaporkan antara 1 Januari dengan 6 Mei, dengan sebahagian besar daripadanya mungkin dapat dicegah melalui langkah-langkah asas keselamatan dan kesihatan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSHC) pada Ahad (8 Mei). 

Daripada 20 korban jiwa yang maut antara 1 Januari dengan 6 Mei, 10 daripadanya dilaporkan pada bulan April. 

"Jumlah ini terlalu banyak, dan tidak boleh diterima sama sekali," kata PM Lee dalam catatan Facebooknya. 

"Kami telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk mencegah kemalangan di tempat kerja, terutama sekali kematian," tegas PM Lee. 

"Kami telah mencapai kemajuan yang baik. Namun, sedang kita membuka semula ekonomi kita dan mempertingkatkan kegiatan-kegiatan yang dianjurkan, piawaian dan amalan keselamatan kelihatan seolah-olah sudah merosot. 

"Kadar kemalangan sudah meningkat dan kita sudah tersasar daripada matlamat yang ditetapkan. Kita mesti memperbetulkannya." 

TEMPOH REHAT SEKETIKA

MOM, Majlis WSH, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan rakan-rakan industri menggesa syarikat-syarikat supaya melaksanakan tempoh rehat mulai Isnin (9 Mei), di tengah-tengah "jumlah kematian di tempat kerja yang membimbangkan" di pelbagai industri. 

Tempoh rehat ini dijangka selama dua minggu. 

Sepanjang tempoh rehat itu, pihak pengurusan kanan syarikat biasanya akan mendampingi para pekerja dan kesatuan sekerja untuk membincangkan bagaimana untuk mengetatkan lagi proses-proses keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dan menangani sebarang keprihatinan yang dibangkitkan. 

Syarikat-syarikat boleh menumpukan perhatian kepada keselamatan di tempat kerja dengan mengetatkan lagi proses-proses keselamatan dan menangani dengan pantas sebarang isu keselamatan yang dikemukakan oleh para pekerja, ujar PM Lee. 

Kali terakhir Majlis WSH mengusulkan tempoh rehat sedemikian di seluruh negara adalah selama dua minggu pada 25 Jun 2021. 

PM Lee turut menggesa para majikan, penyelia dan pekerja supaya memandang serius terhadap keselamatan di tempat kerja. 

"Nyawa menjadi taruhan. Kita bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan semua pekerja kita, tanpa mengira sama ada mereka adalah pekerja rakyat tempatan atau pekerja hijrahan," tambah PM Lee. 

"Marilah kita sama-sama menjaga keselamatan tempat kerja kita supaya semua pekerja boleh pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat," nasihat PM Lee.

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa