Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Terlalu banyak amaran palsu' jika bank tetapkan nilai lebih rendah sekat urus niaga mencurigakan: Alvin Tan

Anggaran Waktu Membaca:
'Terlalu banyak amaran palsu' jika bank tetapkan nilai lebih rendah sekat urus niaga mencurigakan: Alvin Tan

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 12 Nov 2024 05:30PM Dikemas Kini : 12 Nov 2024 05:55PM
SINGAPURA: Menetapkan nilai di bawah S$50,000 untuk bank menyekat atau menahan urus niaga sebagai sebahagian daripada tugas pemantauan penipuan mereka "boleh mewujudkan terlalu banyak amaran palsu" dan menyebabkan kesulitan bagi kebanyakan pelanggan perbankan, kata Menteri Negara untuk Perdagangan dan Industri, Alvin Tan, di parlimen pada hari Selasa (12 Nov).

Encik Tan memberi respons kepada soalan mengenai rangka kerja tanggungjawab bersama bagi penipuan pancingan data, yang akan berkuat kuasa pada 16 Disember.

Rangka kerja ini, yang pertama kali dibentangkan pada awal 2022, bertujuan untuk menentukan bagaimana kerugian yang timbul daripada penipuan pancingan data akan dikongsi antara institusi kewangan, syarikat telekomunikasi dan pengguna.

Ia menyatakan tanggungjawab khusus bagi syarikat-syarikat tersebut, menjadikannya bertanggungjawab untuk membayar jika syarikat-syarikat itu gagal memenuhi tanggungjawab masing-masing.

Rangka kerja yang telah dimuktamadkan ini termasuk tugas tambahan untuk bank melakukan pemantauan penipuan mengikut masa nyata, untuk “mengesan sama ada akaun pelanggan sedang dikosongkan dengan jumlah yang besar” akibat penipuan pancingan data.

Akaun akan dianggap sebagai dikosongkan dengan jumlah yang besar jika ia mempunyai baki akaun S$50,000 atau lebih sejurus sebelum urus niaga tidak sah itu dijalankan, dan jika lebih separuh daripada baki akaun tersebut dipindahkan keluar dalam tempoh 24 jam terakhir.

Apabila ini berlaku, institusi kewangan mesti sama ada menyekat urus niaga yang mencurigakan sehingga ia dapat mendapatkan pengesahan lanjut daripada pelanggan, atau memaklumkan pelanggan sambil menahan urus niaga tersebut sekurang-kurangnya 24 jam.

Menjawab soalan mengenai bagaimana ambang S$50,000 ditentukan, Encik Tan menyatakan bahawa pihak berkuasa “perlu mencari keseimbangan antara melindungi pelanggan dan kesulitan yang mungkin timbul bagi pengguna yang menjalankan urus niaga yang sah”.

“Menetapkan nilai yang lebih rendah boleh mewujudkan terlalu banyak amaran palsu dan menyebabkan kesulitan kepada majoriti pelanggan,” katanya.

Walau bagaimanapun, bank-bank diharapkan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) untuk mempertimbangkan faktor-faktor lain dalam pemantauan penipuannya.

Ini termasuk profil pelanggan dan potensi kerentanan (vulnerability) terhadap penipuan, serta corak perbelanjaan.

“Ini melangkaui apa yang telah ditetapkan dalam (rangka kerja tanggungjawab bersama),” kata Encik Tan yang juga merupakan ahli lembaga MAS.

Ahli Parlimen Desmond Choo (PAP-Tampines) menarik perhatian bahawa S$50,000 adalah “ambang yang agak tinggi” bagi mereka dari kumpulan berpendapatan rendah yang mungkin tidak mempunyai jumlah tersebut dalam akaun mereka.

Beliau bertanya sama ada nilai untuk pemantauan penipuan boleh diturunkan secara automatik untuk kumpulan pelanggan ini, atau jika mereka boleh memilih ambang yang lebih rendah.

Encik Tan mengakui bahawa ada pelanggan dengan jumlah kurang daripada S$50,000 dalam akaun mereka tetapi menegaskan bahawa bank “perlu mencari keseimbangan antara apa yang mudah dan apa yang boleh dilaksanakan”.

Beliau menambah bahawa ambang tersebut berfungsi sebagai “jangkaan asas” untuk tugas pemantauan penipuan bank di bawah rangka kerja tanggungjawab bersama.

“Bank juga mempunyai sistem pemantauan dalamannya sendiri, dan mereka boleh memilih untuk menggunakan ambang kurang daripada S$50,000,” katanya.

“Tetapi ambang S$50,000 ini ditetapkan untuk tujuan tugas pemantauan penipuan (rangka kerja), dan jika mereka tidak memenuhinya sebagai asas… maka bank perlu membayar.”

Encik Tan menambah bahawa rangka kerja tanggungjawab bersama ini saling melengkapi langkah-langkah lain yang telah diambil untuk membanteras penipuan.

Sebagai contoh, bank-bank runcit utama telah memperkenalkan langkah keselamatan yang menghadkan akses ke aplikasinya jika pelanggan telah memuat turun aplikasi daripada 'app store' yang tidak disahkan untuk menangani penipuan yang didayakan perisian hasad.

Ciri “kunci wang” juga telah disediakan untuk pelanggan menetapkan jumlah dalam akaun bank mereka yang tidak boleh dipindahkan secara digital tanpa pengesahan identiti yang ketat.

MAS juga sedang mengkaji penyelesaian pengesahan yang “lebih kukuh” selain daripada rangka kerja tanggungjawab bersama untuk meningkatkan pertahanan terhadap urus niaga data yang tidak sah, kata Encik Tan.

Selain itu, perundangan baharu telah diusulkan untuk membenarkan polis mengarahkan bank bagi menghadkan urus niaga perbankan individu yang mungkin menjadi mangsa penipuan, termasuk perbankan online, PayNow dan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM).

“Ini bertujuan untuk melindungi dengan lebih baik sasaran yang enggan percaya bahawa mereka sedang ditipu,” kata Encik Tan.
Sumber : CNA/IM/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan