Skip to main content

Singapura

'Terlalu awal untuk tentukan' jika kajian Oxford kaitkan vaksin dengan risiko lebih rendah hidap demensia boleh dipercayai: Pakar perubatan SG

Anggaran Waktu Membaca:
'Terlalu awal untuk tentukan' jika kajian Oxford kaitkan vaksin dengan risiko lebih rendah hidap demensia boleh dipercayai: Pakar perubatan SG

Gambar hiasan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 14 Jul 2025 10:21AM Dikemas Kini : 14 Jul 2025 02:22PM
SINGAPURA: Satu kajian Oxford baru-baru ini yang mencadangkan vaksin-vaksin tertentu mungkin bantu mengurangkan risiko demensia menarik perhatian beberapa pakar perubatan di Singapura, namun mereka berkata hasil kajian itu masih terlalu awal untuk mempengaruhi amalan klinikal.

Diterbitkan pada Jun, kajian itu menganalisis data kesihatan dari hampir 437,000 individu di Amerika Syarikat.

Ia mendapati bahawa mereka yang menerima sama ada vaksin penyakit kayap ular (shingles) atau vaksin virus pernafasan sinsitial (RSV) - kedua-duanya mengandungi adjuvan AS01 - mempunyai risiko lebih rendah untuk menghidap demensia dalam tempoh 18 bulan.

Secara khususnya, vaksin RSV, Arexvy, dikaitkan dengan pengurangan risiko sebanyak 29 peratus, manakala vaksin penyakit kayap ular (shingles), Shingrix, dikaitkan dengan pengurangan sebanyak 18 peratus.

Para penyelidik percaya bahan tambahan AS01, iaitu bahan yang digunakan untuk meningkatkan tindak balas imun, mungkin adalah faktor utama di sebalik manfaat ini.

"Ia memberikan kita penjelasan bahawa ramuan rahsia mungkin terletak pada bahan tambahan itu," kata Dr Philip Yap, pakar perunding kanan dalam perubatan geriatrik di Hospital Khoo Teck Puat.

"Bahan tambahan AS01 sebenarnya dimasukkan dalam vaksin-vaksin penggabungan semula ini untuk meningkatkan keberkesanannya," katanya.

"Apabila anda memberikan bahan tambahan, vaksin tersebut sepatutnya menimbulkan tindak balas imun yang lebih kuat, seperti satu perangsang."

BUKTI MASIH "TERLALU LEMAH"

Walaupun dengan penemuan menggalakkan ini, Dr Yap dan pakar demensia lain di Singapura menekankan bahawa keputusan itu perlu itafsirkan dengan penuh berhati-hati.

Dr Chong Yao Feng, seorang perunding di bahagian neurologi di Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata walaupun kajian itu "dilakukan dengan baik", ia bersifat epidemiologi iaitu berdasarkan data pemerhatian dan bukannya ujian terkawal rawak.

"Sifat kajian epidemiologi adalah ia menunjukkan kaitan tetapi bukan sebab dan akibat, tidak seperti ujian terkawal rawak."

Beliau menyatakan kebimbangan tentang bagaimana kajian itu akan ditafsirkan dan sama ada ia boleh mempengaruhi tindakan oleh para pesakit atau pihak berkuasa kesihatan.

"Kita tidak boleh menggunakan semula vaksin penyakit kayap ular (shingles) atau RSV bagi pencegahan demensia berdasarkan kajian ini sahaja," kata Dr Chong.

"Para pesakit juga tidak seharusnya mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin dengan kepercayaan bahawa ia dapat mengurangkan risiko menghidap demensia. Justeru bukti yang ada masih terlalu lemah untuk membolehkan tindakan sedemikian diambil."

Sementara itu, para pakar lain berkata kajian jangka panjang perlu dijalankan sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat, terutama sekali kerana kesan memperkenalkan vaksin-vaksin tersebut ke dalam sistem imun perlu diperiksa dengan teliti.

Dr Zhao Yi Jing, seorang pakar neurologi di Hospital Mount Elizabeth, berkata tempoh 18 bulan dalam kajian berkenaan adalah terlalu singkat untuk menilai kesan jangka panjang bagi kondisi seperti demensia, yang mengambil masa berdekad untuk berkembang.

Proses patologi demensia boleh bermula 10 hingga 20 tahun sebelum kemunculan sebarang gejala klinikal.

Kajian itu tidak memberikan bukti mencukupi untuk menunjukkan bahawa vaksin tersebut boleh mencegah demensia atau menangguhkan perkembangannya dalam pesakit, katanya.

Sungguhpun begitu, Dr Zhao tetap mengakui bahawa idea tersebut pernah dilaksanakan sebelum ini.

Vaksin-vaksin lain pernah digunakan untuk merawat penyakit lain seperti vaksin hepatitis yang digunakan untuk mencegah barah buah pinggang.

"Masih terlalu awal, tetapi ia bukan seperti ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Tetapi apabila anda melakukannya, terdapat banyak pertimbangan peraturan etika," katanya.

MENCEGAH DEMENSIA

Selain vaksinasi, para doktor menarik perhatian kepada kaedah terbukti bagi mengurangkan risiko menghidap demensia.

Ini termasuk melakukan senaman secara berkala, rangsangan mental dan diet pemakanan yang seimbang.

Menjaga pendengaran dan penglihatan juga semakin dianggap sebagai salah satu kaedah yang penting.

"Ia terbukit bahawa kehilangan pendengaran meningkatkan risiko demensia sebanyak dua kali ganda," kata Dr Yap, sambil menasihati orang ramai supaya mempertimbangkan penggunaan alat bantuan pendengaran dan "tidak mengabaikan" perkara yang dapat diselesaikan dengan mudah.

Beliau juga menasihati mereka dengan masalah penglihatan lemah disebabkan katarak supaya mendapatkan rawatan - "agak mudah, pembedahan berisiko rendah" - daripada membiarkan sahaja masalah itu.

Tidur juga adalah salah satu faktor risiko.

Mutu tidur yang kurang baik boleh menganggu sistem glymphatic otak, yang penting untuk mengeluarkan bahan toksik seperti plak amyloid, kata Dr Yap.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita