Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terlalu awal untuk menilai sama ada Projek Wolbachia dapat bendung penularan denggi yang semakin meningkat: Pakar

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pakar percaya adalah terlalu awal untuk menyatakan sama ada perluasan Projek Wolbachia untuk mengawal jumlah nyamuk Aedes aegypti akan berjaya menangani wabak denggi yang melanda Singapura tahun ini, meskipun terdapat tanda-tanda positif dalam ujian yang dijalankan setakat ini. 

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan pada Rabu (15 Jun) bahawa Projek Wolbachia akan meliputi lagi 1,400 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tambahan 31 peratus blok HDB, atau 300,000 rumah. 

Lebih 14,000 kes denggi telah dilaporkan pada tahun ini, iaitu lebih seganda daripada 5,258 kes denggi yang dilaporkan pada 2021. Pemerintah telah memberi amaran bahawa jumlah kes denggi setiap minggu boleh melepasi rekod 1,800 kes yang dicatatkan pada 2020. 

Para pakar menarik perhatian bahawa walaupun NEA sudah menyaksikan hasil positif di beberapa tapak ujian Wolbachia, seperti di Tampines dan Yishun, masih terdapat faktor-faktor mencabar, dan projek itu harus dinilai selepas melihat jumlah kes yang dicatatkan menyusuli perluasan terbaru itu. 

Nyamuk "biasa" dari kawasan Wolbachia masih boleh mencemari kawasan-kawasan yang diperluaskan, dan menyoal sama ada perluasan yang akan dilancarkan mulai Julai ini berupaya membendung jumlah kes tepat pada waktunya, kata mereka.  

Pengawasan masyarakat dan penghapusan nyamuk juga perlu diteruskan, tambah mereka. 
 
Profesor Madya Koh Tieh Ying, ahli sains cuaca dan iklim di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) memberitahu Mediacorp bahawa kejayaan mengurangkan jumlah kes denggi dalam kawasan kajian merupakan "satu kejayaan". 

Beliau menarik perhatian kepada iklim Singapura dan juga tahap kepadatan penduduk yang tinggi menjadikannya tempat yang sesuai bagi pembiakan nyamuk. 

"Kedua-dua faktor itu menjadikan penyakit yang merebak melalui nyamuk seperti denggi hampir mustahil untuk dibasmi," katanya. 

Merujuk kepada penggunaan nyamuk Wolbachia untuk membendung penularan denggi di beberapa bahagian utara Queensland di Australia, Profesor Paul Tambyah, Presiden Persatuan Mikrobiologi Klinikal dan Jangkitan Asia Pasifik, percaya adalah munasabah untuk cuba mengulangi kejayaan itu di Singapura.

Namun, beliau berkata, lebih ramai pelawat memasuki Singapura berbanding utara Queensland, yang mungkin membawa masuk penyakit itu dan keadaan di Singapura lebih rumit. Projek Queensland berpusat di bandar Cairns dan Townsville, masing-masing mempunyai 150,000 dan 180,000 penduduk. 

"Kepadatan penduduk dan kadar pergerakan kenderaan di Singapura serta produk-produk yang boleh menempatkan tapak pembiakan nyamuk bermakna sangat sukar untuk menghalang kemasukan telur, larva dan nyamuk 'biasa' ke kawasan-kawasan di mana nyamuk Wolbachia dilepaskan," kata Prof Tambyah. 

Tambahnya, jika nyamuk Wolbachia menggantikan nyamuk "biasa", bilangan kes denggi akan berkurangan, tetapi jika terlalu banyak "pencemaran" nyamuk "biasa" di kawasan  Wolbachia, ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada jumlah kes denggi. 

"Kami boleh melihat jumlah kes denggi selepas perluasan pelepasan nyamuk Wolbachia ini. Ia sangat mencabar etapi jika ia berjaya dan kami boleh menghapuskan denggi melalui cara yang dilakukan di utara Queensland, ia akan menjadi sangat luar biasa," katanya lagi. 

Dr Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit di Klinik Rophi, memberitahu Mediacorp bahawa beliau menjangkakan hasil yang baik daripada projek itu, seperti yang dilihat di negara-negara lain dan menggesa agar perlindungan Wolbachia diluaskan di semua rumah di Singapura. 

"Kami patut mengurangkan jumlah pembiakan nyamuk untuk mencapai 100 peratus perlindungan di semua rumah dan bukan menilai projek itu pada peringkat awalnya," tambah Dr Leong. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan