Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terkena angin ahmar ringan dan kemudian sembuh dalam beberapa minit? Jangan biarkan...

Sempena memperingati Hari Angin Ahmar Sedunia tahun ini, Pasukan Peningkatan Perkhidmatan bagi Angin Ahmar (SSI) Kementerian Kesihatan (MOH) menjalankan kempen "Masa adalah Segala-galanya" berhubung angin ahmar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena memperingati Hari Angin Ahmar Sedunia tahun ini, Pasukan Peningkatan Perkhidmatan bagi Angin Ahmar (SSI) Kementerian Kesihatan (MOH) menjalankan kempen "Masa adalah Segala-galanya" berhubung angin ahmar.

Salah satu tumpuannya ialah mendidik masyarakat tentang serangan angin ahmar sementara atau iskemia transien (TIA), yang walaupun pesakitnya sembuh dengan sendirinya, mereka sebenarnya masih memerlukan rawatan segera.

TIA mempunyai simptom-simptom yang sama seperti angin ahmar seperti wajah yang bengot, tangan menjadi lemah dan tidak bermaya serta kesukaran bercakap.

Bagaimanapun simptom-simptom tersebut lazimya reda dalam masa beberapa minit hingga 24 jam.

Konsultan dari Jabatan Neurologi, Institut Neurosains Nasional (NNI) (Kampus SGH), Dr Pang Yee Hau menekankan bahawa simptom-simptom angin ahmar kecil atau 'mini stroke' sedemikian tidak sepatutnya diabaikan.

"Angin ahmar kecil atau 'mini stroke' juga adalah satu petanda yang menunjukkan risiko mendapat angin ahmar lepas ini adalah lebih tinggi berbanding dengan pesakit yang tidak mengalami 'mini stroke' ini," kata Dr Pang.

Selaras dengan kempen tahun ini juga, Dr Pang menekankan kepentingan berjumpa doktor kerana ia boleh menyelamatkan nyawa.

"Kenapa kita dapat angin ahmar? Sebab ada sumbatan bekuan darah ke otak. Itu meliputi 90 peratus angin ahmar yang pesakit alami secara keseluruhan. 10 peratus itu adalah pendarahan dalam otak di mana saluran darah bocor. Kita mesti membuka saluran darah itu, mengeluarkan atau mencairkan bekuan darah yang menyumbat saluran darah.

"Selepas gejala angin ahmar dijumpai atau dirasai, tindakan yang cepat mesti diambil. Sebab kalau kita mendapat rawatan awal, (kita) besar kemungkinan boleh kembali ke mutu hidup yang sebelum ini," ujar Dr Pang.

BANYAK DUDUK BOLEH TINGKATKAN RISIKO ANGIN AHMAR

Semakin ramai golongan muda juga diserang angin ahmar disebabkan gaya hidup yang tidak sihat seperti pengambilan makanan yang tidak berkhasiat dan merokok.

Gaya hidup sedentari atau banyak duduk juga menambah risiko.

Menurut satu kajian yang dijalankan Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat, individu sedentari mempunyai risiko antara 25 peratus hingga 30 peratus diserang angin ahmar berbanding mereka yang lebih aktif.

Menurut SSI, duduk terkurung di rumah disebabkan pandemik COVID-19 juga secara tidak sengaja 'menyumbang' kepada tabiat ini.

Sebaliknya, mengamalkan gaya hidup lebih sihat boleh mencegah angin ahmar sehingga 80 peratus.

KENA ANGIN AHMAR MESKI TIADA PENYAKIT KRONIK

Iltizam tersebut turut dikongsi Cik Atika Ahmad, 54 tahun, yang sejak diserang angin ahmar April tahun ini.

"Macam mana boleh dapat pun saya tak tahu. Bila saya bangun tidur, tiba-tiba macam saya tak boleh nak bangun, tak boleh nak bergerak," kata Cik Atika.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Ternyata, ia satu kejutan buat dirinya kerana selama ini dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis ataupun kolesterol tinggi.

Apabila simptom-simptom itu tidak berkurangan barulah Cik Atika bergegas ke unit kecemasan di Hospital Besar Changi pada keesokan harinya.

"Saluran darah di otak sebelah kanan tersumbat jadi ia menjejas badan saya di bahagian kiri. Itu yang menyebabkan keadaan badan saya lemah, tak boleh nak bergerak banyak dan pertuturan saya juga terjejas," cerita Cik Atika.

Dia yang ketika itu sedang sibuk berniaga dari rumah menjual kuih-muih tradisional terpaksa menghentikannya serta merta untuk menumpukan kepada pemulihan.

Sepanjang 18 hari di hospital, wanita ini menjalani rawatan fisioterapi untuk membantunya berjalan semula dan juga terapi untuk memperbaiki pertuturannya.

Setelah keluar dari hospital, pertuturannya kembali seperti biasa namun pergerakannya masih belum pulih sepenuhnya dan masih perlu menjalani fisioterapi seminggu sekali.

LEBIH AKTIF BERSENAM SEKARANG

Mujur Cik Atika sembuh selepas tiga bulan sahaja dan sudah boleh berjalan sendiri tanpa menggunakan tongkat. Ditanya apakah yang menjadi pendorong kuat baginya, ini jawapan wanita tersebut:

"Kerana nak sangat untuk berdikari, mula-mula saya selalu berlatih dengan berulang-alik di dapur sambil memegang kabinet di rumah saya. Saya tinggal sendiri dengan adik dan adik selalu keluar bekerja. Jadi saya tiada pilihan, pada saya saya perlu bangkit daripada angin ahmar inilah."

Cik Atika, yang tinggal bersama adik lelaki dan dua orang anak saudaranya, kemudian membina tabiat-tabiat positif yang baru demi membina tubuh lebih sihat dan menyertai program kecergasan Persatuan Angin Ahmar Nasional Singapura (SNSA).

"Bila saya sudah diserang angin ahmar, baru saya rasa perlunya untuk bersenam. Setiap hari Sabtu, kita akan ada senaman sama ada 'Yoga', 'Piloxing', senaman menjaga kesihatan semua itu. Kemudian pada hari-hari lain itu, kita ada kumpulan sokongan, kita ada program-program untuk perkembangan diri kita," tambah Cik Atika.

Dia yang kini menjadi pendamping kepada dua klien di SNSA berharap membantu lebih ramai keluarga dan pesakit angin ahmar khususnya masyarakat Melayu untuk memanfaatkan kegiatan-kegiatan di SNSA.

(Gambar: Facebook/SNSA)

Meski jadualnya kini lebih padat berbanding sebelum ini, Cik Atika lebih bersemangat dan ingin terus menjadi inspirasi kepada insan yang senasib dengannya.

"Apa-apa pun boleh terjadi pada kita. Jadi kita mesti cekal menghadapinya. Jangan putus asa," nasihat Cik Atika.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa