Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Terkandas' di laut Afrika Barat angkara COVID-19; pegawai navigasi Abuzar Yusman terpaksa tunda majlis persandingannya

Kali terakhir beliau bertemu dengan bakal isterinya adalah tiga bulan yang lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kali terakhir beliau bertemu dengan bakal isterinya adalah tiga bulan yang lalu.

Itupun setakat hanya beberapa jam saja semasa kapal berlabuh buat sementara waktu di Singapura dalam pelayaran ulang-alik ke China.

“Waktu itu masih boleh turun ke darat tanpa perlu kuarantin. Tapi saya cuma sempat jumpa tunang saya yang kerja berdekatan sebelum kapal berlepas kurang enam jam kemudian,” kongsi Abuzar Yusman, 29 tahun.

Bagaimanapun, sekembalinya ke Singapura pada akhir Mac, beliau tidak turun ke darat kerana akan dikenakan perintah kurantin 14 hari sedang situasi COVID-19 mula menggenting. Sebaliknya, Abuzar tunggu di atas kapal yang kemudian berlayar ke Afrika pula.

Abuzar dan tunang beliau sepatutnya mendirikan rumah tangga pada 20 Jun ini tetapi kini harus ditangguh.

Pegawai Navigasi Ketiga itu memang sudah biasa hidup merantau sejak mula bekerja di atas kapal empat tahun lalu dengan ada pelayarannya mengambil masa hampir 10 bulan lamanya.

Namun, kali ini, ia terbukti lebih mencabar disebabkan oleh pelbagai ketidaktentuan angkara pandemik COVID-19 yang membuat beliau dan tunangnya terpaksa menundakan pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung pada 20 Jun.

KAPAL KONTENA MASIH DI AFRIKA

Mengikut kontraknya yang bermula November lalu, Abuzar dijadual pulang ke Singapura pada bulan Mei atau selewat-lewatnya awal Jun.

Walau bagaimanapun, sejak 24 April lalu, kapal kontena yang dikemudikan oleh beliau masih terkandas di laut Afrika Barat dan sehingga ke hari ini masih lagi menantikan gilirannya untuk berlabuh.

Menurutnya lagi, penangguhan itu mungkin disebabkan oleh langkah berjaga-jaga yang dikuatkuasakan di sebilangan pelabuhan.

Sebahagian daripada anak kapal yang bekerjasama dengan Abuzar. 

Malangnya, ini bermakna tarikh Abuzar dapat pulang ke tanah air juga akan menjadi tanda tanya – mungkin harus mengikut kapal yang dijangka pulang hanya pada tanggal 4 Ogos kelak atau jika bernasib baik, beliau boleh cuba mendapatkan penerbangan pulang ke Singapura selepas berlabuh di pangkalan.

Apa saja kaedah pengangkutan yang diambil, beliau sudah pasrah tidak akan sempat untuk melangsungkan pernikahannya seperti yang sudah dirancangkan sebelum ini. Bakal mempelai itu kini terpaksa menangguhkan majlis persandingannya.

RENCANA DIATUR TIDAK DAPAT DITUNAI

“Saya rasa sedih dan dukacita atas penangguhan pernikahan saya. Pihak pengantin perempuan pun kecewa kerana semua yang diatur harus ditunda,” kata Abuzar ketika dihubungi BERITAmediacorp.

Tempahan bagi majlis persandingan kini harus dibuat semula dan ia bukan satu perkara yang mudah memandangkan komunikasi terputus-putus ketika berada di tengah-tengah laut yang diburukkan lagi dengan pukulan angin kencang dan ombak besar sepanjang pelayaran selama 17 hari ke Afrika.

Bakal mempelai ini sudahpun membuat beberapa tempahan bagi majlis persandingan mereka tapi kini harus ditangguh. 

Mentelah lagi, pasangan itu sudahpun membayar deposit lebih S$3,000 untuk menempah lokasi majlis dan khidmat katering. Kini, mereka juga sedang berusaha membuat tempahan kadi, yang menurut Abuzar, harus dilakukan sekurang-kurangnya 150 hari sebelum tarikh akad nikahnya.

Di sebalik kegusaran itu, beliau bersyukur penyedia lokasi dan pembekal katering sudi bekerjasama serta anggota keluarga daripada kedua-dua pihak saling bantu-membantu membuat perancangan baru untuk mengadakan majlis pada tarikh lain.

“Kami tahu ini semua takdir Allah. Saya tahu Allah sebaik-baik pengatur kehidupan dan saya berserah kepadaNya,” ujar Abuzar.

RINDU BELAIAN KASIH UMMI

Ramadan di atas kapal kontena bertambah sayu apabila Abuzar mengenangkan keluarganya. 

Tidak pasti bila beliau dapat pulang ke tanah air, rasa sayu mula mengisi sanubari anak muda ini apabila Ramadan menjelma.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan setibanya di Singapura adalah memeluk dan mencium Ummi saya dan memohon maaf atas setiap kesalahan saya,” luah anak sulung itu.

Tambahnya, beliau sedih tidak dapat berkumpul bersama keluarga tersayang untuk bersahur, berbuka dan bersolat tarawih malah “paling rindu masakan ibunya”.

Dalam pada itu, Abuzar turut mengimbas kembali masa bersama teman-temannya berkunjung dari masjid ke masjid setiap kali Ramadan tiba, menganjurkan majlis haflah Al-Quran harakat bebas bersama qari tempatan dan dari Mesir yang diundang khas oleh Masjid Ba'alwie.

Setiap Ramadan, Abuzar dan beberapa "sahabat Al-Quran" mengelilingi beberapa masjid di Singapura untuk menganjurkan majlis haflah Al-Quran. 

“Saya melihat gambar-gambar bersama guru dan sahabat Al-Quran, kadang-kadang saya menangis kerana kenangan manis itu,” ujar beliau.

Meskipun berjauhan di rantauan, Abuzar tetap menguatkan semangatnya agar perasaan sayu itu tidak menjejas tugas sehariannya, yang antara lain, menjaga keselamatan kesemua 22 anak kapal dengan memeriksa peralatan dan peranti keselamatan selain mengemudi kapal.

“Masa bekerja, saya harus tumpukan seratus peratus perhatian kerana kalau terbawa-bawa, saya boleh mengambil tindakan salah yang boleh meletakkan kami dalam bahaya,” tegas jurumudi ketiga itu.

Abuzar dan anak kapal lain yang berpuasa cuba berbuka puasa bersama jika jadual tidak bertentangan.

Beliau juga rasa beruntung ditemani dua lagi kakitangan Muslim yang turut menyambut bulan Ramadan di atas kapal kontena berkenaan.

Meskipun tidak dapat bersahur dan mendirikan solat tarawih secara bersama disebabkan oleh jadual yang berlainan, mereka cuba meluangkan masa untuk berbuka puasa bersama demi “merasakan nikmat berjemaah”.

MANFAATKAN MASA BERHARGA

Apabila diminta mengongsi harapannya mengenai situasi COVID-19, Abuzar berharap orang ramai akan bersatu padu dan mengikut arahan pemerintah untuk membendung penularan virus itu.

“Kalau kita semua boleh melakukan demikian, maka senanglah pelaut-pelaut dapat pulang ke rumah dan bersama keluarga mereka dan kita semua boleh kembali ikut jalan hidup mencari rezeki masing-masing,” gesa beliau.

Anak sulung tiga beradik ini tidak sabar pulang ke pangkuan keluarga tersayang. 

Bagi Abuzar yang bak ‘terkandas’ di laut Afrika Barat pula, menantikan giliran untuk menjejakkan kaki di darat tanpa sebarang kepastian tentang tarikh untuk pulang ke pangkuan keluarga, hari-harinya diluangkan membaca Al-Quran dan beribadah di atas kapal.

“Saya rasa buat masa ‘circuit breaker’ ini, gunakanlah masa ini untuk mengeratkan silaturahim dengan keluarga dan banyak bersyukur atas setiap perkara dan nikmat yang dikurniakan Tuhan.” 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan