Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terjemahan ucapan DPM Lawrence Wong di Konvensyen Nasional AMP ke-4

Anggaran Waktu Membaca:

UCAPAN TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI KEWANGAN LAWRENCE WONG DI KONVENYSEN NASIONAL AMP KEEMPAT PADA 15 OKTOBER 2022

Saya sangat gembira dapat menyertai anda petang ini di Konvensyen Nasional keempat AMP.

Saya sangat berbesar hati kerana kini kita dapat bertemu secara bersemuka seperti ini, di acara besar-besaran, selepas sekatan sepanjang dua setengah tahun yang lalu.

Saya perlu mulakan dengan mengucapkan terima kasih kepada anda semua kerana memainkan peranan anda sepanjang dua setengah tahun yang lalu dan bekerjasama dengan langkah-langkah memerangi virus dan bekerjasama untuk membolehkan kita mengharungi cabaran pandemik. Terima kasih banyak-banyak.

Seperti yang anda semua maklum, Konvensyen Karyawan Muslim Nasional Singapura yang pertama diadakan pada tahun 1990. Ia merupakan inisiatif dari bawah yang dimulakan oleh sekitar 500 karyawan muda Melayu/Islam yang merasakan bahawa masyarakat itu ketinggalan dan perlu membuat kemajuan lebih besar.

Mereka berkumpul untuk membincangkan keadaan masyarakat Melayu/Islam dan memikirkan strategi dan huraian baru untuk membangkitkan masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Goh Chok Tong menjemput masyarakat untuk menubuhkan pertubuhannya sendiri selaras dengan MENDAKI, dan menawarkan sokongan Pemerintah.


Para pengasas memandang serius cadangan tersebut, dan setahun kemudian Angkatan Karyawan Islam (AMP) ditubuhkan. Pemerintah menyifatkannya sebagai sebuah badan bantu diri, dan memberikan sokongan pendanaan.

Sepanjang tiga dekad lalu, AMP telah berkembang dari segi saiz dan membuat sumbangan besar kepada masyarakat.

Salah satu program pertama AMP adalah untuk menubuhkan sebuah pusat prasekolah di Masjid Al-Amin pada tahun 1992.

Hari ini, AMP diperluaskan untuk menyediakan sokongan pendidikan bagi golongan keluarga berpendapatan rendah, bimbingan untuk belia, sokongan kewangan dan pekerjaan untuk pekerja, kaunseling perkahwinan untuk keluarga, dan banyak lagi. Lebih 408,000 orang telah meraih manfaat daripada bantuan AMP sejak penubuhannya.

Sepanjang pandemik, AMP juga telah meningkatkan sokongan
masyarakat. "Pakej Bantuan Sementara 2.0" anda menyediakan bukan sahaja keperluan seharian, tetapi juga peningkatan kemahiran dan mendapat kemahiran baru untuk membantu pekerja yang terjejas akibat COVID-19 mencari sumber pendapatan alternatif.

Petang ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada semua dalam AMP – para pemimpin dan anggota, dahulu dan sekarang – di atas sumbangan anda yang besar kepada masyarakat Melayu/Islam dan Singapura. Usaha anda, sumbangan anda, bersama-sama dengan pertubuhan Melayu/Islam lain yang bekerjasama dengan Pemerintah, telah membantu masyarakat untuk mencapai kemajuan. Untuk itu kami bersyukur, dan ini terbukti daripada hasilnya.

Sebagai contoh, nisbah penduduk Melayu berusia lebih 25 tahun yang telah mencapai sekurang-kurangnya kelayakan posmenengah telah meningkat daripada kurang daripada satu pertiga pada tahun 2010,
kepada hampir separuh pada 2020.

Ini terutamanya didorong oleh lebih ramai masyarakat Melayu yang memperolehi diploma dan ijazah.

Pada masa yang sama, bilangan masyarakat Melayu yang bekerja sebagai karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) juga meningkat kepada
40 peratus pada 2020, naik daripada 30 peratus berbanding sedekad lalu. Kita melihat lebih ramai karyawan Melayu yang memperolehi pendapatan lebih tinggi dan menikmati taraf kehidupan yang lebih baik. Mereka membuat sumbangan besar kepada masyarakat kita secara keseluruhan
dalam pelbagai bidang profesional yang berbeza, sama ada sebagai doktor, penyelidik bioperubatan, jurutera IT, penggiat seni, peguam, tentera, sebagai contoh.

Oleh itu, tidak hairanlah, AMP itu sendiri telah menyaksikan pertumbuhan
keanggotaannya juga, dengan lebih 1,000 anggota biasa hari ini.

Ini adalah hasil yang AMP dan seluruh masyarakat Melayu/Islam
harus banggakan. Sekali lagi, tahniah kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan ini.

Pencapaian yang kita lihat juga menggambarkan satu perkara asas iaitu kita lebih kuat apabila kita berdiri bersama. Kita melihat ini dengan jelas dua setengah tahun yang lalu semasa pandemik COVID-19, apabila kita terus mempercayai antara satu sama lain, dan disatukan sebagai satu masyarakat pada masa yang sangat mencabar. Hasilnya, hari ini, kita berada dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya. Pandemik belum berakhir; kita berharap bahawa yang paling teruk sudah berlalu. Tetapi berbanding dengan banyak negara lain di seluruh dunia, kita berada
dalam kedudukan yang lebih baik, dan kita telah bangkit sebagai masyarakat yang lebih padu dan lebih kuat di sebalik cabaran yang kita hadapi. Malah, tinjauan terbaru yang dijalankan oleh Pertubuhan Pew – sebuah pertubuhan antarabangsa – mendapati bahawa lebih daripada 75 peratus orang di Singapura berfikir bahawa kita lebih bersatu-padu sekarang berbanding sebelum pandemik bermula, yang memang agak luar biasa, apabila anda fikirkan. Jadi kita mesti sentiasa ingat kita lebih kuat bersama.

"Lebih Kukuh Bersama" adalah benar untuk Singapura secara keseluruhannya, dan ini tepat untuk masyarakat Melayu/Islam juga. Saya amat menggalakkan AMP untuk teruskan menuju
ke arah ini dan bekerjasama dengan pertubuhan Melayu/Islam lain, serta Pemerintah, untuk membantu masyarakat. Ada masanya titik permulaan dan kaedah kita berbeza, dan ada kalanya pandangan kita berbeza. Tetapi selagi kita semua tumpu pada matlamat yang sama dan persamaan sebagai rakyat Singapura, saya yakin kita boleh bekerjasama untuk menjadikan kehidupan semua orang lebih baik.

Salah satu cara untuk melakukannya adalah dengan kerjasama yang kukuh antara pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam di peringkat kepimpinan. Saya faham bahawa terdapat pemimpin MENDAKI, MUIS, dan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam yang lain di sini hari ini, dan saya tahu bahawa anda bertemu secara tetap di pelbagai platform untuk membincangkan usaha peningkatan masyarakat. Saya menyeru anda untuk teruskan penglibatan dan perkongsian antara satu sama lain dan Pemerintah secara tetap. Saya juga mengalu-alukan anda untuk mempertimbangkan untuk berkhidmat dalam lembaga dan majlis masing-masing supaya anda boleh mengukuhkan semangat kerjasama di peringkat kepimpinan.

Sama pentingnya ialah mengukuhkan semangat bekerjasama di peringkat kerja. Realitinya adalah tiada satu pertubuhan yang mempunyai semua jawapan, atau segala keupayaan untuk melakukannya sendirian.

Sememangnya, apa yang kami semakin dapati adalah kebanyakan isu sosial yang dihadapi di Singapura adalah lebih pelbagai dan kompleks. Dan untuk menangani isu-isu ini, untuk memberi impak sebenar dalam masyarakat, kita memerlukan rakan-rakan masyarakat untuk bersama-sama menyediakan pencelahan holistik dan sokongan yang lebih kukuh dan menyeluruh.

Sebagai contoh, usaha memperkasa keluarga berpendapatan rendah. Terdapat pelbagai isu yang perlu kita tangani. Kita perlu memastikan anak-anak mereka menghadiri prasekolah secara tetap, sebaik-baiknya dari usia seawal tiga tahun, dan mereka menerima sokongan baik sepanjang perjalanan pendidikan mereka. Kita perlu memastikan ibu bapa anak-anak ini dapat mencari pekerjaan yang baik, membawa pulang pendapatan yang stabil dan kita juga mungkin perlu menangani isu-isu sekitar hubungan yang retak serta kestabilan keluarga. Semua ini memerlukan kemahiran serta kepakaran yang berbeza, rakan-rakan kongsi masyarakat yang berbeza, semuanya berganding bahu untuk membuat perubahan.

Inilah pendekatan yang sudahpun kita ambil bagi Projek Dian@M³, yang menghimpunkan pelbagai kumpulan masyarakat dan agensi Pemerintah untuk bekerjasama dengan keluarga-keluarga yang tinggal di flat sewa serta membantu mereka dalam perjalanan untuk memiliki rumah sendiri.

Saya gembira usaha AMP juga menuju ke arah ini. Anda sudah menyokong program UPLIFT Pemerintah untuk menangani isu berbilang aspek melibatkan kanak-kanak yang kurang bernasib baik. 'Skim Keluarga Angkat dan Belia' kelolaan anda, melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi khidmat sosial serta pertubuhan masyarakat lain untuk menyediakan intervensi dan sokongan kepada keluarga kurang berkemampuan, juga sangat penting.

Saya berharap anda akan meneruskan pendekatan ini dan bekerja rapat dengan pertubuhan-pertubuhan lain – berganding bahu dengan pertubuhan Melayu Islam lain serta juga pertubuhan lain dalam masyarakat – untuk mendatangkan kesan penting kepada masyarakat.

Kita semua sedia maklum bahawa apabila Singapura maju ke hadapan, keperluan masyarakat kita juga menjadi bertambah kompleks dan lebih rencam.

Itulah sebabnya mengapa kita mesti bersatu padu dengan melaksanakan satu pendekatan berpaksikan keluarga – mengerahkan sumber-sumber ke semua entiti berbeza bagi memenuhi keperluan keluarga dan bukannya memaksa keluarga untuk mengikut rentak pertubuhan kita yang beroperasi secara bebas dan berasingan. Jika kita mengambil pendekatan tertumpu kepada keluarga, saya yakin kita boleh membuat kemajuan dalam memperkasa lebih ramai keluarga berpendapatan rendah dan memastikan Singapura kekal sebagai sebuah negara di mana setiap orang boleh mencapai kehidupan yang lebih baik.

Pada masa yang sama, masyarakat kita di Singapura sedang menua dengan pantas. Kita semua dapat melihatnya dalam keluarga kita sendiri dan di sekeliling kita. Menjelang tahun 2030, satu daripada setiap empat rakyat Singapura akan mencecah usia 65 tahun dan ke atas – iaitu sekitar hampir satu juta warga Singapura. Jumlahnya semakin banyak. Dan kami mahu menjaga kumpulan warga emas yang semakin meningkat ini dengan lebih baik. Mereka juga akan memerlukan lebih banyak bantuan untuk kekal aktif secara sosial dan sihat dalam masyarakat. Kita juga akan ada keluarga-keluarga yang tergolong dalam kumpulan yang tersepit – dalam erti kata lain, mereka perlu menjaga orang tua mereka yang semakin lanjut usia serta juga anak-anak mereka pada masa yang sama. Keluarga-keluarga ini, orang tua mereka serta golongan yang tersepit akan huga memerlukan bantuan dan sokongan kami.

Selain itu, jumlah karyawan Melayu/Islam yang semakin meningkat mempunyai keperluan, keprihatinan dan aspirasi mereka yang tersendiri. Kita perlu lihat cara terbaik untuk membantu mereka, termasuk membolehkan mereka meningkatkan kemahiran bagi kekal relevan dalam tenaga kerja.

Hakikatnya ialah Singapura mesti kekal terbuka dan terhubung dengan dunia untuk bertakat serta berkembang maju. Mustahil bagi kita untuk menyara hidup dengan menutup sempadan kita. Kita hanya sebuah negara kecil di dunia. Dalam dunia yang kian tidak menentu, dunia yang dibelenggu ketegangan geopolitik, lebih banyak ketidakpastian, lebih banyak pergolakan, ia menjadi bertambah penting bagi kita untuk kekal terbuka sebagai benteng kestabilan, di mana perniagaan, karyawan dan usahawan dari seluruh dunia akan berasa yakin untuk menjalankan perniagaan di Singapura. Jadi sebagai sebuah hab perniagaan, kita tidak boleh lari daripada persaingan sejagat, sama ada ia datang dari China, India, Amerika Syarikat (AS), Eropah atau bahkan negara-negara jiran kita sendiri. Kita semua mesti sedia menghadapi persaingan ini. Namun, rakyat Singapura tidak akan menempuh perjalanan ini secara sendirian kerana Pemerintah akan terus melabur dengan banyak dalam modal insan kita – bagi melengkapkan warganegara kita dengan keupayaan serta kemahiran relevan selain memberikan setiap orang kelebihan tambahan untuk maju dan berjaya dalam kerjaya masing-masing. Kumpulan seperti AMP boleh memainkan peranan anda juga bagi melengkapkan serta memperkasa dengan lebih baik karyawan Melayu/Islam kita.

Pada masa yang sama, kita mesti menggerakkan karyawan Melayu/Islam untuk menyumbang dan berbakti semula kepada masyarakat. Ini kerana anda mempunyai begitu banyak kemahiran dan pengalaman untuk dikongsi, seperti memberi panduan kerjaya kepada belia, menawarkan peluang membina rangkaian bagi membantu karyawan muda atau malah, menjadi seorang pembimbing dan peran contoh kepada generasi seterusnya. Sekali lagi, AMP berada pada kedudukan yang unik untuk memainkan peranan positif dalam aspek ini.

Semestinya, AMP perlu mempertimbangkan cara terbaik untuk menyesuaikan diri dengan keperluan yang bertambah rencam dan menyelaraskan usahanya dengan seluruh masyarakat. Oleh itu, saya gembira bahawa anda berkumpul pada hari ini untuk mendapatkan maklum balas, mendengar dari satu sama lain dan mengadakan perbincangan tentang bagaimana anda akan menetapkan keutamaan anda untuk masa hadapan.

Apa yang anda lakukan hari ini untuk AMP dan masyarakat sememangnya apa yang kami harapkan bagi Singapura dalam agenda Melakar Hala Tuju Singapura. Ia satu peluang buat semua rakyat Singapura berkumpul untuk menyuntik kesegaran dan mengemas kini kompak sosial kita serta mempertimbangkan bagaimana kita ingin mencipta dan membentuk masa depan kita bersama-sama. Kami sedang mendampingi rakyat Singapura dari semua latar belakang dalam agenda ini untuk mengumpul buah fikiran, saranan serta maklum balas tentang apa lagi yang boleh kita lakukan.

Kami ingin membina sebuah Singapura di mana terdapat peluang bagi setiap orang, tanpa mengira latar belakang, kaum, bahasa mahupun agama; sebuah Singapura di mana setiap warganegara tahu bahawa mereka tidak akan dibiarkan untuk menjalani kehidupan mereka secara sendirian tanpa bantuan atau sokongan dan bahawa kita semua mengharunginya bersama-sama; sebuah Singapura di mana setiap orang boleh meraih manfaat daripada kemajuan negara.

Itulah yang kita harap dapat dicapai. Bagaimana kita boleh mengecapinya? Kami terbuka kepada buah fikiran. Kami sedang menyemak semula dasar-dasar kami dan kami sedang mendampingi setiap orang untuk melihat apa lagi yang boleh kami lakukan, apakah program baru yang mungkin kami laksanakan serta apa yang boleh dilakukan dalam cara yang berbeza.

Lebih penting sekali, agenda ini bukan sekadar mengenai apa yang mampu dilakukan Pemerintah. Ia juga tentang apa yang boleh dilakukan setiap rakyat Singapura secara bersama. Badan-badan bantu diri seperti AMP akan memainkan peranan penting dalam usaha ini. Maka itu, saya berharap anda akan giat ikut serta dalam agenda Melakar Hala Tuju Singapura untuk berkongsi pandangan anda tentang bagaimana kita semua boleh maju ke hadapan sebagai sebuah rakyat yang bersatu padu.

Kesimpulannya, AMP sudahpun melakukan yang terbaik selama ini untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat Melayu/Islam, dengan kerjasama pertubuhan-pertubuhan lain dan Pemerintah. Saya alu-alukan lebih banyak peluang untuk memperkukuhkan kerjasama ini pada tahun-tahun mendatang. Jika kita terus berganding bahu, jika kita terus bersatu padu, saya yakin kita boleh membina sebuah Singapura yang lebih baik untuk setiap orang. Terima kasih banyak-banyak.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan