Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Terjemahan teks ucapan PM Lee Hsien Loong sempena ulang tahun ke-40 MENDAKI

Anggaran Waktu Membaca:
Terjemahan teks ucapan PM Lee Hsien Loong sempena ulang tahun ke-40 MENDAKI

Perdana Menteri Lee Hsien menyampaikan ucapan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Mendaki di Pusat Budaya Universiti (UCC) Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 1 Oktober 2022.

Para hadirin yang dihormati

Saudara-saudari sekalian

Saya berbesar hati dapat berada di sini hari ini bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan MENDAKI.

Ini menandakan satu peristiwa penting, sesuatu yang harus dibanggakan setiap orang di MENDAKI, dahulu dan sekarang.

MENDAKI ditubuhkan 40 tahun lalu.

Ketika itu, prestasi pendidikan para pelajar Melayu membimbangkan. Ramai yang tidak dapat memenuhi potensi mereka.

Amat segelintir yang dapat selesai menduduki peperiksaan PSLE, peringkat 'O' dan peringkat 'A'.

Bahkan, jauh lebih rendah pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading. Maka itu tidak mengejutkan, prestasi sosioekonomi masyarakat Melayu/Islam juga ketinggalan.

Para pemimpin Melayu/Islam, seperti Dr Ahmad bin Mohamed Mattar, Encik Sidek Saniff dan Allahyarham Haji Ridzwan bin Haji Dzafir, melihat betapa pentingnya untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mempertingkatkan masyarakat. Mereka akur bahawa pendidikan adalah pengupaya penting bagi kemajuan masyarakat. Pendidikan yang baik membuka pintu kepada pekerjaan serta kerjaya yang lebih baik. Dan lantaran itu membawa kepada pendapatan lebih tinggi, mempunyai rumah yang lebih baik dan kehidupan yang lebih bermakna.

Dan seterusnya, sebuah persekitaran lebih kondusif untuk membesarkan anak-anak, membantu mereka mencapai potensi mereka dan menikmati peluang lebih baik bagi generasi seterusnya.

Pada tahun 1982, para pemimpin masyarakat menubuhkan Kongres Pendidikan MENDAKI, menghimpunkan pertubuhan Melayu/Islam dan masyarakat untuk membincangkan cara-cara bagi meningkatkan tahap pendidikan Melayu di Singapura.

Ini membawa kepada pelancaran MENDAKI, dengan tumpuan yang teguh terhadap pendidikan. Namun, memartabatkan kehidupan seluruh masyarakat bukanlah satu tugas yang mudah.

Encik Lee Kuan Yew merasmikan Kongres Pendidikan MENDAKI. Beliau menekankan tiga perkara:

Pertama, jangan hanya memberi tumpuan kepada golongan atas - mereka yang akan melanjutkan pengajian ke universiti
Sebaliknya, berusaha untuk meningkatkan tahap pendidikan bagi seluruh masyarakat - prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengan, politeknik dan ITE.
Ini akan membantu seluruh masyarakat maju ke hadapan

Kedua, menggembleng tenaga relawan dan menggalak masyarakat untuk menyumbang dan berkhidmat. Relawan daripada masyarakat Melayu/Islam lebih memahami keperluan masyarakat dan menyediakan sokongan psikologi kepada mereka yang memerlukan bantuan. Ini merupakan satu usaha yang berpanjangan untuk memperkukuhkan sokongan Pemerintah

Ketiga, semua usaha ini akan memerlukan "stamina dan tekad" yang tinggi. Ia akan mengambil masa bertahun-tahun lamanya sebelum membuahkan hasil. Oleh kerana tiada jalan pintas, MENDAKI terpaksa mengawal diri daripada mengambil haluan yang mudah untuk mencapai matlamat-matlamatnya.

KEMAJUAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Masyarakat Melayu/Islam memanfaatkan sebaik-baiknya nasihat Encik Lee. Hari ini, selepas bekerja keras selama 40 tahun, tahap pendidikan sudah menunjukkan kemajuan yang sangat besar.

Pada awal tahun 1980-an, hanya sekitar separuh daripada setiap kohort pelajar Melayu lulus peperiksaan peringkat 'O' mereka. Hari ini, tidak semua mengambil laluan peperiksaan peringkat 'O' tetapi 99 peratus daripada setiap kohort pelajar Melayu selesai menjalani pendidikan sekurang-kurangnya 10 tahun. Sebahagian besar (lebih 90 peratus) daripada mereka melanjutkan pelajaran untuk menamatkan pengajian posmenengah.

Jumlah siswazah universiti Melayu juga sudah meningkat dengan ketara. Dahulu, hanya 0.4 peratus orang Melayu berusia 25 tahun dan ke atas memperolehi ijazah. Jumlaah ini sudahpun meningkat berlipat ganda sejak itu, kepada lebih 10 peratus.

Saya berbesar hati kami akan menyampaikan anugerah kepada lebih 100 pelajar Melayu/Islam yang cemerlang sebentar nanti. Mengikut standard antarabangsa, pelajar Melayu kita juga menunjukkan pencapaian yang baik.

Hasil tinjauan PISA (Program bagi Penilaian Pelajar Antarabangsa) terkini dari 2018 - yang meliputi negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan China - menunjukkan bahawa para pelajar Melayu kita sudah mengatasi purata OECD bagi matematik dan setanding mereka dalam bacaan serta sains.

Lebih penting lagi, minda dan pemikiran sudah berubah. Ibu bapa memahami betapa pentingnya pendidikan dan menyokong anak-anak mereka dalam pembelajaran mereka. Anak-anak gigih untuk menimba pengetahuan baru dan meningkatkan diri mereka.

Kemajuan pada pencapaian pendidikan sudah membolehkan masyarakat Melayu/Islam untuk mencapai kejayaan sosial dan ekonomi yang dikecapi hari ini.

Mereka memperolehi pendapatan lebih tinggi dan menikmati tahap kehidupan lebih baik. Mereka membuat sumbangan penting kepada seluruh masyarakat, termasuk sebagai doktor, penyelidik bioperubatan dan askar, antara lain.

Kadangkala, sesetengah orang lupa dan memandang remeh perkara ini. Terutama sekali golongan lebih muda yang tidak mengalami cara kehidupan masa lalu.

Namun, mereka yang telah mengharungi perjalanan ini dan membantu untuk merealisasikan pencapaian ini tahu betapa banyak usaha diperlukan dan mengapa ia adalah satu pencapaian besar yang harus dibanggakan masyarakat Melayu/Islam dan bahkan oleh semua rakyat Singapura.

MENDAKI MAINKAN PERANAN PENTING PACU KEJAYAAN

Dengan sokongan daripada pemerintah, MENDAKI sudah melaksanakan pelbagai program seperti KelasMatematika (KMM) dan Skim Tuisyen MENDAKI.

Bagi pelajar daripada semua peringkat, dari prasekolah hingga ke universiti, ia sudahpun melancarkan inisiatif-inisiatif menjangkaui sekolah. Misalnya, program pementoran dan program bimbingan kerjaya. Atau bulan Raikan Ilmu yang menyambut semangat pembelajaran sepanjang hayat. Pesta itu sudah memasuki tahun keempatnya. Saya berasa gembira untuk melancarkan bulan Raikan Ilmu tahun ini. Lebih 40 acara dan kegiatan pembelajaran disediakan bagi semua peringkat usia dan lapisan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Tentunya, MENDAKI tidak melakukan semua ini sendirian.

MENDAKI bekerjasama rapat dengan MUIS dan MESRA Persatuan Rakyat (PA) melalui rangkaian M³ untuk melaksanakan pelbagai program.

Sebagai contoh, Projek DIAN@M3, untuk menyediakan intervensi di rumah bagi kanak-kanak yang tinggal di flat-flat sewa.

Banyak pertubuhan Melayu/Islam lain juga menyumbang kepada kemajuan masyarakat. Misalnya, AMP Singapore, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Jamiyah, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) dan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Ada di antaranya berganding bahu dengan MENDAKI. Sesetengah pula bersaing secara sihat dengan MENDAKI untuk menyediakan dan menawarkan program-program lebih baik dan menjangkaui lebih ramai anggota masyarakat.

Pada masa yang sama, sekolah-sekolah dan rakan kongsi guru kita bekerjasama dengan ibu bapa untuk mendidik serta memupuk anak-anak dan meningkatkan pencapaian pendidikan secara menyeluruh, bagi semua tahap keupayaan dan tanpa mengira kumpulan etnik.

Setiap orang - pertubuhan, individu, masyarakat dan pemerintah - berusaha ke arah matlamat yang sama.

Namun, MENDAKI menambah satu usaha penting. Menggembleng tenaga dan semangat sukarelawan, menonjolkan nilai bantu diri dan pelibatan masyarakat dalam menangani isu-isu tertentu dalam masyarakat, mendorong kumpulan-kumpulan lain untuk turut serta dan menangani aspek berbeza sesebuah cabaran, menanam rasa bangga dan yakin diri sedang masyarakat mengecap kejayaan melalui usaha mereka sendiri.

Dengan contoh yang dirintis oleh MENDAKI, masyarakat-masyarakat lain kemudian menubuhkan Kumpulan Bantu Diri serupa seperti SINDA, CDAC dan Persatuan Serani.

Semua kumpulan ini juga sudah menjalankan kerja yang baik, berganding bahu dengan masyarakat masing-masing dan juga bekerjasama dengan satu sama lain untuk menghimpunkan dan memanfaatkan sumber serta mengendalikan projek secara bersama.

Saya berasa gembira MENDAKI akan menyampaikan Anugerah Sanjungan Budi buat julung-julung kalinya sebentar nanti kepada para individu yang telah bekerjasama rapat dengannya demi menggalak pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat.

Syabas kepada para penerima anugerah!

Saya berharap anugerah ini akan mendorong para individu yang berfikiran serupa dan berkongsi visi yang sama supaya mengorak langkah serta berkhidmat kepada masyarakat dan Singapura.

MELAKAR HALA TUJU

Meskipun masyarakat Melayu/Islam sudah berjaya mencatat kemajuan besar, masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Aspirasi dan keperluan masyarakat Melayu/Islam semakin berkembang.

Para pelajar di setiap peringkat keupayaan, mahu melakukan lebih baik, dan kita harus menyokong mereka untuk berbuat demikian, bukan sahaja mereka yang berada di tempat prestasi cemerlang.

Pendidikan kini merangkumi pembelajaran sepanjang hayat.

Oleh kerana pekerja Melayu/Islam juga terjejas oleh perubahan meluas dari segi ekonomi dan pasaran pekerjaan, terutama sekali pekerja lebih lanjut usia yang kurang berkelayakan, mempunyai risiko lebih tinggi.

Pada masa yang sama, segelintir masyarakat masih menghadapi kesukaran.

Sebilangan daripada mereka datang dari keluarga berpecah-belah, dan yang lain terjejas dengan penyalahgunaan dadah

Ramai daripada mereka tinggal di flat sewa, dan bergelut untuk memastikan dapat menyara keluarga dengan mantap.

Anak-anak mereka hidup dalam persekitaran yang tidak kondusif, menghadapi masalah pembelajaran, dan lantas ketinggalan di belakang berbanding kawan-kawan mereka di sekolah sejak usia muda lagi.

Keluarga-keluarga sebegini perlu bantuan bukan sahaja dari segi pembelajaran anak-anak mereka, tetapi juga untuk mengatasi kekurangan dari segi sosial dan ekonomi, menyukarkan lagi mereka keluar dari lingkaran kemiskinan.

Terdapat keluarga-keluarga seumpama itu dalam masyarakat lain juga. Bagaimanapun, masyarakat Melayu/Islam membentuk bilangan yang besar, sekali gus mencetuskan kebimbangan.

Lantaran itu, MENDAKI mempunyai tugas berat untuk menangani.

Misi MENDAKI untuk meningkatkan kemajuan masyarakat menerusi pendidikan, kekal relevan dan penting.

Namun, dalam konteks hari ini, MENDAKI mesti mentafsirkan pendidikan dengan lebih meluas.

Pertama, MENDAKI perlu memperluaskan sokongan lebih awal lagi menerusi pendidikan awal kanak-kanak.

Amatlah penting bagi kita memberi anak-anak kita, terutama mereka dari keluarga yang kurang bernasib baik, permulaan yang baik dalam kehidupan mereka.

Langkah ini melengkapi inisiatif nasional, seperti KidSTART, yang juga memberi tumpuan kepada tahun-tahun pertama kehidupan kanak-kanak.

Kedua, MENDAKI perlu bekerja rapat dengan keluarga-keluarga kurang bernasib baik dalam membantu menghuraikan isu-isu keluarga dan masalah sosial.

Dengan itu, kanak-kanak dari keluarga sedemikian dapat membesar dan belajar dalam keadaan yang lebih kondusif.

Usaha ini memerlukan campur tangan sosial dan juga individu, yang mana sukarelawan, kaunselor dan mentor MENDAKI, bekerja dengan keluarga-keluarga sedemikian, dan mampu melakukan perubahan besar.

Ketiga, MENDAKI perlu menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan pekerja kita.

Untuk memastikan mereka kekal berdaya kerja, mereka harus ambil peluang-peluang baru dan berkembang maju dalam ekonomi yang pesat berubah.

Maka itu, saya gembira bahawa MENDAKI sedang meneroka idea-idea baru untuk memenuhi misi yang diperluaskan dan meningkatkan lagi hasil pendidikan serta pendidikan sepanjang hayat.

Minggu depan, MENDAKI akan mengadakan Persidangan Masyarakat Gemilang buat julung-julung kalinya.

Ia merupakan platform bagi pemimpin masyarakat, karyawan dan belia untuk berkumpul bagi bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi masyarakat.

Dapatkan idea segar dan kuatkan tekad untuk meneruskan kerja-kerja murni anda yang sudahpun membantu masyarakat melangkah jauh setakat ini.

Semua ini memerlukan sumber.

MENDAKI sudah mengumumkan bahawa ia ingin mengumpul dana sebanyak S$40 juta sempena ulang tahunnya yang ke-40.

Ini akan membolehkan MENDAKI untuk meningkatkan lagi program-program sedia ada dan menjalankan skim-skim baru yang akan membuat perubahan kepada masyarakat.

Pemerintah menyokong usaha ini dan akan memadankan jumlah dana yang dikumpulkan MENDAKI, sehingga S$20 juta.

Oleh itu, jika MENDAKI dapat mengumpul dana sebanyak S$20 juta, melalui usahanya sendiri, akan dapat mencapai sasaran S$40 juta.

Saya berbesar hati kerana mendapat tahu bahawa beberapa penderma sudahpun tampil untuk menyumbang.

Pada masa yang sama, saya gembira kerana masyarakat lain juga tampil memberi sumbangan.

Saya mengalu-alukan mereka yang mempunyai kemampuan untuk menyokong MENDAKI dalam usahanya.

Masyarakat Melayu/Islam di Singapura sudah melakukan banyak usaha untuk meningkatkan kemajuan masyarakat itu.

MENDAKI telah memainkan peranan penting dalam kisah kejayaan ini.

Saya yakin bahawa MENDAKI dan masyarakat Melayu/Islam akan terus berusaha mengecap kecemerlangan, dan terus mencapai kemajuan lebih hebat dalam tahun-tahun akan datang.

Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang Anugerah MENDAKI hari ini.

Saya mengucapkan kepada semua Selamat Ulang Tahun ke-40 MENDAKI!
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan