“Terima kasih sudi bantu saudara baru seperti saya”: Jamilah Josephine Kuek kongsi Ramadan pertama di tengah COVID-19
Tidak dapat dibayangkan sama sekali betapa Ramadan yang dinanti-nantikannya akan ditempuhi buat pertama kali dalam keadaan seperti ini!
Cik Jamilah Kuek berbuka puasa. (Gambar: Jamilah Kuek)
SINGAPURA: Tidak dapat dibayangkan sama sekali betapa Ramadan yang dinanti-nantikannya akan ditempuhi buat pertama kali dalam keadaan seperti ini!
Cik Jamilah Josephine Kuek, 43 tahun, memeluk agama Islam pada hujung Ramadan tahun lalu dan hanya sempat merasakan nikmat berbuka puasa dan bersolat tarawih secara berjemaah di masjid untuk tiga malam sahaja.
Pengalaman istimewa itulah yang membuatkan Cik Jamilah berkobar-kobar menantikan Ramadan tahun ini untuk menikmatinya dengan berpuasa selama sebulan sebagai seorang Muslimah.
PENDAM HASRAT BERSOLAT TARAWIH DI MASJID BA'ALWIE
Sebelum pandemik COVID-19 melanda Singapura pada Januari tahun ini, Cik Jamilah sebenarnya sudah menyimpan hasrat untuk ke Masjid Ba’alwie pada Ramadan tahun ini untuk menunaikan solat tarawih secara berjemaah dan berbuka puasa bersama umat Islam yang lain sekerap mungkin.
“Saya mengucapkan dua kalimah syahadah saya di hadapan Ustaz Habib Hassan di Masjid Ba’alwie, jadi masjid itu ada kenangan manis buat saya. Sebelum penutupan masjid, saya memang ke sana setiap malam Jumaat dan bercadang untuk ke situ hampir setiap malam pada bulan Ramadan ini. Jadi bila tidak dapat ke masjid, saya rasa seperti rugi sangat kerana sejujurnya, saya masih belum dapat hafal banyak surah," keluh Cik Jamilah.
"Ramadan tahun ini juga sangat berbeza kerana saya seorang ibu tunggal. Saya tinggal bersama anak saya, 14 tahun dan dia belum memeluk agama Islam. Jadi, saya tidak ada sesiapa di rumah untuk bimbing saya dan memperbetulkan amalan saya seperti solat,” dedah Cik Jamilah kepada BERITAmediacorp.
Bagi kebanyakan kenalan mualafnya, mereka ada keluarga Muslim atau suami yang boleh memimpin mereka dalam solat jemaah dan memantau amalan ibadah mereka, namun Cik Jamilah tidak senasib dengan mereka. Sebelum ini, Cik Jamilah banyak mempelajari tentang agama Islam daripada seorang sahabat karib yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri, Encik Mohamed Razif Abdul Majid dan keluarganya.
(Cik Jamilah bersama keluarga angkatnya. Gambar: Jamilah Kuek)
Encik Razif jugalah orang yang memperkenalkan agama Islam kepada Cik Jamilah dan membimbingnya sebelum dia menyertai kelas-kelas asas agama di Darul Arqam. Namun lebih menyedihkan lagi apabila Encik Razif meninggal dunia pada Februari lalu.
PEMBIMBING PERGI BUAT SELAMA-LAMANYA
Cik Jamilah menceritakan kepada BERITAmediacorp: “Abang angkat saya juga yang menjadi saksi dalam majlis pengislaman saya. Ramadan tahun ini syahdu buat saya kerana saya memang rindukan Allahyarham kerana dia merupakan tunggak dalam perjalanan saya menuju kepada Islam dan pada Ramadan ini dia tidak ada bersama saya tapi saya tetap bersyukur kerana dalam keadaan begini, saya diberi ruang untuk mengenali dan buat cerminan diri akan apa itu erti Ramadan sebenarnya.”
(Cik Jamilah bersama Allahyarham teman karibnya, Encik Mohamed Razif Abdul Majid. Gambar: Jamilah Kuek)
Mujur baginya, Darul Arqam Singapura menyediakan pelbagai bahan ajaran agama secara online. Kelas-kelas juga disediakan secara online dan mereka mempunyai wadah untuk berbincang dan bertanya secara langsung kepada asatizah Darul Arqam menerusi Whatsapp dan Telegram.
Kaedah inilah yang amat membantu mualaf baru seperti Cik Jamilah dan oleh kerana kelas-kelas itu diadakan secara online, Cik Jamilah boleh mengikutinya secara bertahap-tahap sesuai dengan rentak pemahamannya.
“Saya sangat berterima kasih kepada masyarakat Muslim di sini. Saya lihat banyak usaha yang dilakukan bagi membantu mualaf baru khususnya. Darul Arqam juga membantu kami dalam apa jua cara yang mereka boleh. Bagi saya, adanya wadah bagi berhubung langsung bersama asatizah itu sangat baik kerana asalkan kami ada seseorang untuk bergantung dalam soal agama, ia amat bermakna buat mualaf baru seperti saya,” kata Cik Jamilah.
(Cik Jamilah menghadiri kelas agama di Darul Arqam. Gambar: Jamilah Kuek)
Sejak bangunan Darul Arqam di Onan Road ditutup pada 7 April lalu disebabkan oleh langkah 'circuit breaker', persatuan itu sudah menyediakan dan memuat naik bahan-bahan ajaran agama di wadah-wadah onlinenya agar para mualaf baru boleh mendapat bimbingan agama di mana jua mereka berada.
Malah, menurut Presiden Darul Arqam, Muhammad Imran Kuna Abdullah, ini sudah dirancang jauh lebih awal lagi.
RANCANG TERBITKAN BAHAN ONLINE SEBELUM PANDEMIK
Encik Imran menjelaskan: “Apabila jabatan dakwah kami membuat perancangan untuk 2020 pada tahun lalu, kami sudah mengetepikan dana untuk menerbitkan bahan-bahan ajaran online kerana melihat trend kini, anak-anak muda lebih sering mendapatkan bimbingan agama menerusi online dan kami juga ingin menyerantau dalam usaha dakwah kami dan membimbing saudara baru kami tidak kira di dalam mahupun luar negara."
"Jadi menyediakan kandungan secara online itu sudah ada dalam perancangan dan bila COVID-19 terjadi, mudah untuk kami beralih ke wadah online.”
Semasa pandemik COVID-19 ini, jangkauan wadah online Darul Arqam seperti laman Facebooknya meningkat sebanyak 29% dan pertambahan jumlah pengikut sebanyak 32%. Bahkan, kandungan online Darul Arqam juga dilanggani para pengguna dari Malaysia dan Filipina.
Selain inisiatif yang sedia ada, Darul Arqam juga giat memperkenalkan beberapa daya usaha baru untuk mendampingi para mualaf sempena bulan Ramadan ini di tengah-tengah pandemik COVID-19.
GIGIH PERKENAL DAYA USAHA BARU BAGI MUALAF
Antaranya ialah program LEAD yang berbentuk kelas interaktif di mana para mualaf diberi projek-projek kecil serta podcast “How I am Surviving COVID-19 as a Mualaf”. Mereka juga akan mengadakan acara takbir beramai-ramai secara online pada malam raya nanti.
Pendek kata walaupun wadahnya berbeza, Darul Arqam tetap memastikan jangkauan dan usaha mendampingi masyarakat mualaf tetap diteruskan.
Buat pertama kalinya juga tahun ini, Darul Arqam mengagihkan habuan zakat secara online. Tidak seperti tahun-tahun yang sudah di mana majlis penyampaian zakat diadakan di samping merapatkan ukhwah sesama umat Islam, tahun ini Darul Arqam hanya memasukkan nilai habuan zakat ke dalam akaun bank para penerima.
“Kami ada 600 penerima. Setiap orang akan menerima $325 dan pecahannya ialah $255 wang zakat dan $70 bagi fidyah. Jumlah zakat yang diagihkan kami buat warga Singapura adalah $195,000."
Encik Imran selanjutnya berkata: "Kami juga menerima maklum balas daripada mualaf dari luar negara yang menetap di sini. Ada di antara mereka juga yang menghadapi kesempitan wang. Kami mempertimbangkan untuk mengadakan Dana Bantuan Kecemasan buat para mualaf dari luar negara yang menetap di sini dan kami sedang membincangkan butirannya.”
Darul Arqam juga tidak menerima pembayaran zakat secara tunai tahun ini disebabkan oleh wabak COVID-19. Sebaliknya pelbagai wadah online dan kemudahan perbankan seperti PayNOW disediakan bagi mempermudahkan orang ramai menunaikan pembayaran zakat mereka.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.