Skip to main content

Singapura

Terhutang budi pemandu bantu lahirkan anak dalam kereta Go-Jek, malah enggan terima duit

Baru sekitar dua minggu lalu seorang wanita dilaporkan bersalin dalam kereta Grab. 

Anggaran Waktu Membaca:
Terhutang budi pemandu bantu lahirkan anak dalam kereta Go-Jek, malah enggan terima duit

(Gambar: Nish Ai RystApit/Facebook)

SINGAPURA: Baru kurang tiga minggu lalu seorang wanita dilaporkan bersalin dalam kereta Grab. 

Menyusuli kejadian itu, seorang lagi bayi memilih untuk melihat dunia lebih awal daripada sepatutnya.

Tempat lahir bayi Nellya Adora Muhammad Rafeeq, dicatat sebagai "CTE on the way to KK Women's and Children Hospital" atau "CTE dalam perjalanan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK".

(Gambar: Cik Nurisah Mohamed)

Cik Nurisah Mohamed, 29 tahun berkongsi pengalaman bersalin dalam kereta Go-Jek menerusi satu catatan Facebook pada Isnin (27 Ogos).

Menurutnya, pada Jumaat (23 Ogos) pada sekitar pukul 5.30 pagi, beliau mengalami kontraksi sedikit tetapi pada sekitar pukul 8.30 pagi, beliau mengalaminya setiap lima minit.

"Saya kemudian menelefon suami saya yang berada di tempat kerja dan memberitahunya bahawa saya sedang mengalami kontraksi. Namun oleh kerana belum tiba tarikh saya dijadualkan melahirkannya, kami memutuskan untuk mengambil Go-Jek," kongsi Cik Nurisah.

Tambahnya, ibu bapa mertuanya dan kakak iparnya menemaninya ke hospital. Bagaimanapun belum sempat tiba di hospital, beliau sudahpun dalam proses melahirkan bayinya.

Dalam catatan beliau di Facebook, Cik Nurisah menceritakan detik-detik mendebarkan itu.

Suri rumah itu berkata bahawa beliau menjerit sekuat hatinya apabila air ketubannya pecah dan kakak iparnya memberitahu bahawa beliau sudah melihat kepala bayinya keluar.

PEMANDU GO-JEK BANTU KIRA 1-2-3..TOLAK!

Menurut Cik Nurisah, beliau amat berterima kasih kepada pemandu Go-Jek Encik Leng Khee Kwong kerana membantunya dan memastikan beliau tiba di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dengan selamat.

"Encik Leng cuba menenangkan saya, malah berkata "1-2-3, tolak!" semasa dalam perjalanan dan memberi jaminan bahawa kami akan sampai ke hospital sebentar saja nanti," kongsi Cik Nurisah dalam catatan Facebooknya.

Sebaik sahaja tiba di KKH, beliau disambut oleh suaminya, Encik Muhammad Rafeeq Bin Nijam Mohamed dan jururawat yang bergegas untuk membantunya dengan peralatan-peralatan yang sewajarnya serta langkah-langkah keselamatan.

Meskipun tidak bersalin di hospital, Cik Nurisah mendedahkan bahawa beliau serta cahaya mata keduanya itu sudah pulang dari hospital dan berada dalam keadaan sihat dan selamat.

"Kepada Encik Leng, kami amat berterima kasih dan bersyukur atas segala-galanya. Kami meminta maaf kerana anda perlu melalui detik mencemaskan itu dan menyebabkan kereta anda menjadi kotor," ujar Cik Nurisah dalam catatan Facebooknya.

Bukan saja itu, beliau berkongsi bahawa Encik Leng juga enggan menerima sebarang wang dan sebaliknya mengucapkan tahniah kerana beliau selamat bersalin.  

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita