'Tepikan perasaan peribadi' demi lindungi penduduk majoriti, tegas Menteri Shanmugam tentang hukuman mati SG
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K Shanmugam berkata pada Ahad (19 Jan) bahawa perasaan peribadi "diketepikan" untuk melindungi sebahagian besar penduduk di Singapura berhubung hukuman mati.

Encik Shanmugam berkata demikian dalam responsnya kepada satu rencana yang diterbitkan Wall Street Journal (WSJ) pada Disember tahun lalu mengenai tindakan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden meringankan hukuman mati terhadap 37 banduan sebelum beliau berundur pada 20 Januari.
Komentar berjudul "Biden's Prisoners of (His) Conscience" yang diterbitkan dalam akhbar tempatan di Amerika Syarikat itu mengulas tentang banduan yang diberikan pengampunan oleh Encik Biden.
Ini seperti Jorge Avila-Torrez yang melakukan penderaan seksual dan membunuh beberapa orang wanita dan Anthony Battle, yang membunuh isterinya dan seorang pegawai penjara.
"Presiden Biden berpegang pada hati nurani peribadi, dalam melakukan sedemikian," kata Encik Shanmugam menerui satu catatan Facebook.
Beliau menambah WSJ juga menarik perhatian kepada beberapa banduan di mana Encik Biden tidak meringankan hukuman mati mereka.
Ini termasuk seorang lelaki bersenjata yang membunuh para penganut Yahudi di sebuah saumaah di Pittsburgh dan individu yang menembak mati para penganut dalam kalangan orang Afrika-Amerika di sebuah gereja di Charleston.
"WSJ menyatakan hati nurani peribadi Encik Biden mengatasi undang-undang: Banduan yang diberikan pengampunan sudah melalui perbicaraan, rayuan dan didapati bersalah - tanpa sebarang keraguan lagi", kata Encik Shanmugam.
"Dan pada masa yang sama ketidakselarasan dalam tindakan Presiden Biden untuk membiarkan hukuman mati diteruskan bagi beberapa kes lain: iaitu suspek dalam serangan di saumaah dan gereja itu tidak diberikan pengampunan. Mengapa boleh sahaja untuk memberi pengampunan kepada sesetengah pembunuh kejam, tetapi tidak bagi pembunuh kejam yang lain?"
"Saya sering ditanyakan mengenai pendirian saya terhadap hukuman mati. Bagi saya, kepentingan awam Singapura menjadi pertimbangan utama: Apakah kepentingan rakyat Singapura secara keseluruhan?" kata Encik Shanmugam.
"Pendirian seseorang boleh dan akan menunjukkan pandangan mereka mengenai suatu dasar, tetapi akhirnya, anda perlu lakukan perkara yang betul demi masyarakat, demi manfaat seluruh masyarakat secara keseluruhan, tidak kira apa prinsip peribadi anda; jika anda lakukan yang sebaliknya ia adalah satu kesalahan."
Walaupun pengguguran hukuman mati dapat menyelamatkan nyawa pengedar dadah, Encik Shanmugam berkata ini hanya "akan menggalakkan lebih ramai orang" untuk menyeludup dadah ke dalam Singapura dan bekalan dadah "tentu sekali akan meningkat".
"Dan akan ada kesan akibat yang lain: Lebih banyak kes jenayah serius, keganasan, kematian berkaitan dadah. Lebih ramai individu tidak bersalah akan mati di Singapura, termasuk kanak-kanak yang tidak bersalah."
Encik Shanmugam memberi contoh Kesatuan Eropah di mana "separuh daripada kesemua kes pembunuhan dan lebih suku rampasan senjata api secara haram dikaitkan dengan pengedaran dadah".
"Di Amerika Syarikat, setiap 14 bulan, lebih ramai warga Amerika mati angkara penyalahgunaan fentanyl berbanding daripada kesemua perang yang libatkan Amerika iaitu sejak Perang Dunia Kedua, dari Korea hingga ke Afghanistan," katanya.
Di Singapura, Biro Narkotik Pusat (CNB) memberkas sekitar 3,000 pesalah guna dadah setiap tahun, jauh lebih rendah berbanding 6,000 penyalah guna dadah yang diberkas setiap tahun pada lingkungan 1990an tahun, kata Encik Shanmugam.
"Jika hal lain tidak berubah, jumlah itu sepatutnya meningkat sepanjang 30 tahun lalu. Bekalan dadah di rantau ini telah melonjak, kuasa beli kita telah meningkat dengan ketara, dan persekitaran antarabangsa semakin bertolak ansur terhadap dadah. Namun sebaliknya, jumlah itu telah berkurangan sebanyak separuh," katanya.
Pendekatan tegas Singapura "telah menyelamatkan beribu-ribu nyawa: Ramai berpotensi menjadi pesalah guna dadah, mangsa jenayah yang dikaitkan dengan pesalah guna dadah dan keluarga mereka", katanya.
"Haruskah Pemerintah hapuskan hukuman mati, sedangkan kita benar-benar percaya bahawa dengan berbuat demikian ia akan menyebabkan kematian lebih ramai orang - dan beribu-ribu lagi nyawa (termasuk kanak-kanak) terancam, akibat dadah?," soal Encik Shanmugam.
"Sebagai penggubal undang-undang, kita mengenepikan perasaan peribadi, dan lakukan apa yang penting untuk melindungi sebahagian besar penduduk.
"Dan kita tidak boleh hidup tenteram jika kita membuat keputusan yang menyebabkan kematian lebih ramai individu tidak bersalah di Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.