Skip to main content

Singapura

Teo Swee Lian bakal ganti Simon Israel sebagai pengerusi SingPost

Singapore Post (SingPost) pada Rabu (21 Mei) melantik Cik Teo Swee Lian sebagai Pengerusi baharu syarikat itu.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Teo Swee Lian bakal ganti Simon Israel sebagai pengerusi SingPost

Cik Teo Swee Lian akan menggantikan Encik Simon Israel sebagai pengerusi SingPost. (Gambar: SingPost)

SINGAPURA: Singapore Post (SingPost) pada Rabu (21 Mei) melantik Cik Teo Swee Lian sebagai Pengerusi baharu syarikat itu.

Beliau akan menggantikan Encik Simon Israel yang bersara selepas sembilan tahun berkhidmat, menurut kenyataan media yang dikeluarkan SingPost pada Rabu. Encik Israel memegang jawatan tersebut sejak 2016.

Pelantikan Cik Teo “menandakan berakhirnya proses pencarian pengganti oleh lembaga pengarah SingPost”, dan beliau akan memegang jawatan tersebut semasa mesyuarat agung tahunan akan datang. Tarikh mesyuarat itu belum lagi diumumkan.

Cik Teo sebelum ini pernah memegang jawatan lembaga dan pengarah di syarikat-syarikat seperti Singtel dan AIA Group. Beliau kini merupakan pengerusi dan pengarah bebas bukan eksekutif CapitaLand Integrated Commercial Trust Management, serta menganggotai lembaga pengarah HSBC dan Clifford Capital.

“Beliau juga membawa pengalaman selama lebih 27 tahun dalam sektor perkhidmatan kewangan bersama Penguasa Kewangan Singapura (MAS),” kata SingPost.

“Pelantikan Swee Lian menandakan tamatnya proses pembaharuan lembaga pengarah, dan beliau akan menerajui lembaga dalam usaha penetapan semula strategi kumpulan,” kata Encik Israel.

Beliau menambah bahawa syarikat itu sedang menjalani “transformasi besar untuk menyesuaikan diri dengan landskap pos, e-dagang dan logistik yang kian berubah.”

Pengalaman Cik Teo “akan menyumbang kepada peranan lembaga dari segi pengawasan dan hala tuju strategi baharu,” tambahnya lagi.

SingPost turut menzahirkan penghargaan terhadap Encik Israel: “Lembaga ingin merakamkan penghargaan atas khidmat beliau yang berdedikasi dan berterusan sepanjang sembilan tahun lalu.”

Pada Disember lalu, SingPost memecat tiga eksekutif kanan selepas siasatan terhadap laporan pemberi maklumat mendapati terdapat kelalaian serius dalam pengendalian siasatan dalaman.

Tiga individu tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Vincent Phang, Ketua Pegawai Kewangan kumpulan Vincent Yik, dan Ketua Eksekutif unit perniagaan antarabangsa SingPost, Li Yu, menyatakan bahawa mereka akan mencabar pemecatan itu.

Dalam pemfailan kepada Bursa Saham Singapura ketika itu, Encik Israel berkata keputusan tersebut telah “dipertimbangkan dengan teliti” oleh lembaga pengarah SingPost.

Keputusan itu “mencerminkan komitmen teguh lembaga terhadap prinsip tadbir urus, mengutamakan yang benar - walaupun sukar dalam jangka masa pendek - demi kepentingan terbaik syarikat,” katanya.

Ditengah-tengah penyusunan semula yang bertujuan “menyesuaikan saiz dan memindahkan fungsi korporat kepada unit-unit perniagaan”, yang menurut syarikat tidak berkaitan dengan insiden terdahulu atau sebarang laporan pemberi maklumat, SingPost mengumumkan pemberhentian 45 pekerja pada Februari.

Penyusunan semula itu turut menyaksikan pengunduran lima eksekutif utaman, termasuk Ketua Pegawai Maklumat kumpulan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia kumpulannya.

SingPost melaporkan keuntungan bersih sebanyak S$245.1 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac.

Jumlah tersebut adalah lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya, hasil daripada penjualan perniagaan mereka di Australia.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita