Skip to main content

Singapura

Teo Chee Hean pengerusi baharu Temasek, gantikan Lim Boon Heng

Temasek Holdings mengumumkan pada Jumaat (6 Jun) bahawa mantan Menteri Kanan Teo Chee Hean akan menggantikan Lim Boon Heng sebagai pengerusi kelimanya.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 06 Jun 2025 02:11PM Dikemas Kini : 06 Jun 2025 10:08PM
SINGAPURA: Temasek Holdings mengumumkan pada Jumaat (6 Jun) bahawa mantan Menteri Kanan Teo Chee Hean akan menggantikan Lim Boon Heng sebagai pengerusi kelimanya.

Encik Teo akan menyertai lembaga pengarah Temasek sebagai timbalan pengerusi pada 1 Julai sebelum menyandang jawatan pengerusi pada 9 Oktober selepas mesyuarat lembaga pengarah suku ketiga badan itu.

Temasek menyatakan Encik Teo telah memajukan kepentingan Singapura dalam geopolitik dan menangani cabaran rumit sepanjang 53 tahun beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Encik Teo, 70 tahun, adalah Panglima Tentera Laut sebelum menceburi politik pada 1992.

Beliau dilantik di GRC Marine Parade, kemudian berkhidmat di GRC Pasir Ris-Punggol selama lima penggal.

Beliau memegang beberapa portfolio utama termasuk pertahanan, ehwal dalam negeri dan pendidikan serta berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri (2009-2019), menteri kanan dan menteri penyelaras bagi keselamatan negara.


"Beliau membimbing agensi-agensi Singapura untuk mengamalkan pendekatan seluruh pemerintah yang diselaraskan... termasuk mengusulkan saaran sifar karbon yang praktikal," menurut Temasek.

"Beliau yang berpengalaman luas dan berpandangan strategik akan membawa perspektif berharga kepada Temasek sedang ia terus berkembang dan maju sebagai sebuah syarikat pelaburan global," ia menambah.

LIM BOON HENG PACU PERKEMBANGAN GLOBAL TEMASEK

Encik Lim telah berkhidmat sebagai pengerusi Temasek sejak 2013, selepas memegang jawatan Kabinet seperti menteri kedua bagi perdagangan dan perusahaan serta menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Beliau bersara dari politik pada 2011 dan menyertai lembaga pengarah Temasek pada 2012.

Di bawah kepimpinan Encik Lim, Temasek menambah portfolio bersihnya daripada S$223 bilion pada 2014 kepada S$389 bilion.

Syarikat itu berkembang ke pasaran maju di Eropah dan Amerika Syarikat, yang kini mempunyai hampir separuh daripada 13 pejabat global Temasek.
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita