Skip to main content

Singapura

Teo Chee Hean lepaskan jawatan DPM selepas 10 tahun; kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan

Encik Teo Chee Hean akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM)selepas 10 tahun, sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada Selasa (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Teo Chee Hean lepaskan jawatan DPM selepas 10 tahun; kekal dalam Kabinet sebagai Menteri Kanan

Encik Teo Chee Hean.

Diterbitkan : 23 Apr 2019 07:25PM Dikemas Kini : 23 Apr 2019 07:36PM

SINGAPURA: Encik Teo Chee Hean akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM) selepas 10 tahun, sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada Selasa (23 Apr).

Menteri Kewangan Heng Swee Keat, 57 tahun, akan dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1 Mei. Jawatan itu sekarang disandang Encik Teo, 64 tahun dan Encik Tharman Shanmugaratnam, 62 tahun.

Encik Teo dan Encik Tharman akan dilantik sebagai Menteri Kanan dan kekal dalam Kabinet.

Encik Teo juga mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.

Encik Teo dalam satu kenyataan pada Selasa, berkata rombakan itu adalah "satu lagi langkah yang penting dalam pembaharuan pucuk kepimpinan".

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan kerja kami atas sokongan yang diberikan sepanjang 10 tahun lalu sejak 1 April 2009, berkhidmat sebagai DPM," katanya.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Encik Heng Swee Keat kerana akan mula bertugas sebagai DPM dan ucapkan semoga maju jaya."

Encik Teo menambah bahawa beliau akan terus menyokong PM, Encik Heng dan rakan kerja yang lain dalam Kabinet.

"Ini adalah cara Singapura memastikan peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar, berterusan dan stabil. Para pemimpin kanan memberi laluan kepada generasi seterusnya, berkongsi pengalaman mereka dan membantu para pemimpin generasi seterusnya untuk berjaya."

Encik Teo juga akan terus menerajui inisiatif Negara Bijak dan Kumpulan Strategi Digital Pemerintah, Sekretariat Penyelarasan Keselamatan Negara, Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional serta Sekretariat Perubahan Iklim Negara.

Beliau juga sudah menyatakan hasratnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum seterusnya, yang dijadual diadakan menjelang awal 2021. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita