Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tentera S'pura sasar sambung semula sepenuhnya aktiviti menjelang hujung 2022

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tentera Singapura menyasarkan untuk menyambung semula semua kegiatannya yang sudah terganggu oleh pandemik COVID-19, termasuk latihan di luar negara dan latihan dalam kem, menjelang hujung tahun ini, kata Panglima Tentera Darat (COA) David Neo pada Rabu (25 Mei).

Selepas COVID-19 melanda pada awal 2020, aktiviti-aktiviti Perkhidmatan Negara digantung. Rancangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk menyambung semula aktiviti terbantut lebih daripada sekali apabila kawalan jangkitan perlu diperketatkan dek kemunculan strain koronavirus yang berbeza-beza.

Dengan kebanyakan sekatan dilonggarkan kini, pada Mac lalu, angkatan tentera menjalankan latihan kerahan berskala besar yang pertama sejak COVID-19 melanda, dengan mengerahkan lebih 2,000 Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen).

Anggota tentera turut mengambil bahagian dalam latihan luar negara seperti di Amerika Syarikat pada tahun lalu dan di Jerman pada awal tahun ini.

Pada lewat tahun ini, tentera Singapura akan memulakan semula Latihan Wallaby di Shoalwater Bay di Queensland, Australia. Ia merupakan latihan yang melibatkan lebih 2,700 askar daripada pelbagai pekerjaan.

Latihan dua hala dengan negara-negara rakan kongsi juga sudahpun disambungkan semula, kata Brigadier Jeneral (BG) Neo.

Bagi kebanyakan latihan dalam kem tentera yang diadakan sepanjang dua tahun lalu, NSmen diletakkan di bawah "kumpulan berfungsi" seramai 40 orang dan tidak dibenarkan untuk berinteraksi dengan para anggota daripada kumpulan lain bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan.

Sistem pengelompokan tersebut sudahpun dimansuhkan.

Ketika ditanya sama ada angkatan tentera akan mengekalkan sebarang perlindungan terhadap COVID-19, BG Neo menjawab bahawa tentera akan terus mengamalkan "pendekatan yang sangat tangkas" yang selaras dengan langkah-langkah keselamatan di seluruh negara. Langkah berjaga-jaga tambahan juga akan dikuatkuasakan sekiranya perlu.

Beliau menegaskan bahawa tentera sudah mengenakan langkah-langkah tambahan seperti keperluan ujian swab
yang ketat untuk NSmen.

"Saya juga agak bangga untuk menyatakan bahawa dalam dua tahun yang lalu, kami tidak pernah ada kelompok jangkitan yang besar yang berpunca akibat latihan kami." kata BG Neo di luar acara Rumah Terbuka Tentera 2022 di Bangunan F1 Pit.

Acara tersebut, yang diadakan buat kali pertama selepas lima tahun, dianjurkan hanya untuk beberapa pelajar dan tetamu terpilih yang lain.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan