Skip to main content

Singapura

Tenggiling Sunda jalani pembedahan pertama seumpamanya di S'pura

Tenggiling merupakan antara haiwan mamalia yang paling banyak diperdagangkan secara haram di dunia dan kini terancam pupus.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Mar 2019 09:23PM Dikemas Kini : 03 Mar 2019 09:27PM

SINGAPURA: Tenggiling merupakan antara haiwan mamalia yang paling banyak diperdagangkan secara haram di dunia dan kini terancam pupus.

Di Singapura, tenggiling Sunda menghadapi bahaya yang timbul akibat proses perbandaran.

Sempena Hari Hidupan Liar hari ini (3 Mac), Mediacorp membawa kisah seekor tenggiling yang menjalani pembedahan, dipercayai pertama seumpamanya, bagi memulihkan tulangnya yang retak.

Tenggiling jantan, yang dikenali sebagai Berani sudah menjalani dua pembedahan sejak ia diselamatkan dan dibawa ke Wildlife Reserves Singapore (WRS) tahun lalu.

Apabila imbasan x-ray menunjukkan ia mengalami keretakan pada paha kanannya, para doktor haiwan sedar peluang Berani untuk sembuh agak tipis.

Mereka tidak mempunyai rujukan untuk membedah paha Berani, memandangkan kurangnya kajian dilakukan terhadap tenggiling Sunda.

Selain muncung mulut yang sempit yang menyukarkan proses intubasi, kerja pembedahan menjadi bertambah rumit kerana sisik-sisiknya yang besar.

Namun, para doktor haiwan itu tetap cuba melakukan pembedahan tersebut. Hasilnya, selepas enam bulan, paha Berani sudah pulih 75 peratus.

Bagaimanapun, tidak semua tenggiling di negara ini bernasib baik seperti Berani. Menurut kumpulan penyelamat haiwan liar, ACRES, ia menerima sekitar 30 panggilan telefon berkaitan haiwan itu setiap tahun.

Sekitar lima daripadanya membabitkan kematian tenggiling di jalan raya, iaitu satu ancaman utama bagi haiwan tersebut di negara ini. Sungguhpun begitu, satu pelan pemuliharaan tenggiling di negara ini sedang disiapkan oleh sebuah kumpulan kerja.

Di luar negara pula, tenggiling diburu secara meluas kerana daging dan sisiknya digunakan dalam perubatan tradisional.

Sumber : CNA/HA/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita