Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tengah bakal perkenalkan bandar 'bebas kenderaan' pertama di S'pura; flat BTO baru ditawarkan bulan ini

Penjualan bagi kumpulan flat pertama di Park District di kawasan Tengah akan dilancarkan melalui skim Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Ogos, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (10 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Aug 2020 02:51PM Dikemas Kini : 10 Aug 2020 10:47PM

SINGAPURA: Penjualan bagi kumpulan flat pertama di Park District di kawasan Tengah akan dilancarkan melalui skim Bina Ikut Tempahan (BTO) pada Ogos, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (10 Ogos).

Daerah tersebut adalah daerah ketiga yang dilancarkan di Tengah dan ia juga akan dijadikan sebagai bandar 'bebas kenderaan' yang pertama di Singapura.

"Jalan raya akan dibina di bawah pusat bandar, sekali gus meluangkan ruang di tingkat bawah untuk kegunaan runcit dan riadah," menurut HDB.

"Berasingan dari jalan raya dan lalu lintas, bahagian tengah pusat bandar itu selamat untuk penduduk berjalan kaki dan berbasikal."

Ia juga akan dilengkapi dengan sebuah pusat sukan, ruang runcit dan kedai makan serta sebuah stesen MRT di Laluan Daerah Jurong.

Estet perumahan BTO yang pertama ditawarkan untuk dijual di Park District adalah Parc Residences @ Tengah, yang merangkumi 12 blok perumahan dengan 1,044 unit Flexi dua bilik, tiga bilik, empat bilik dan lima bilik.

Para penduduk di kawasan itu juga boleh memanfaatkan sebuah poliklinik, pasar raya, pusat makan, pusat-pusat tuisyen dan pusat jagaan kanak-kanak apabila pusat kejiranan itu siap dibina pada 2025.

"Bagi menggalak para penduduk supaya mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat, pusat kejiranan itu akan dilengkapi dengan tangga yang akan membawa para penduduk secara langsung ke pelbagai ruang hijau masyarakat di setiap tingkat," tambah HDB.

KEBUN MASYARAKAT ANTARA RUANG HIJAU

Seperti dua daerah di Tengah yang dilancarkan sebelum ini, Park District juga akan menyediakan banyak ruang hijau.

"Park District akan dikelilingi dengan tanam-tanaman dan ruang hijau, dengan Central Park terletak berdekatan dan laluan-laluan hijau seperti Koridor Hutan dan Pinggir Hutan," menurut HDB.

Di Central Park, landskap bagi terusan yang ada sekarang akan diperelok dan dinaik taraf.

Satu laluan sepanjang lima kilometer yang penuh dengan tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok di kawasan itu akan dijadikan sebagai habitat bagi fauna asal serta membentuk koridor ekologi yang lebih besar antara kawasan tadahan di bahagian barat kawasan tersebut dengan sebuah hutan simpanan yang terletak di bahagian tengah kawasan itu.

Para penduduk juga akan diberikan akses kepada ruang-ruang untuk bercucuk tanam.

Satu lagi ciri menarik di kawasan perumahan itu ialah Laluan Hutan Hujan sepanjang 1.5 kilometer yang mencelah beberapa projek perumahan.

"Kemudahan sosial masyarakat seperti taman permainan yang bertemakan alam semula jadi, sudut kecergasan, ruang hijau yang terbuka dan tempat-tempat duduk akan dibina di sepanjang laluan itu, khususnya di bahagian di mana ia mencelah projek-projek perumahan atau kebun-kebun masyarakat."

Tempat letak kereta bertingkat di Parc Residences @ Tengah juga dilengkapi dengan ciri-ciri mesra alam. Bahagian bumbungnya akan dibina sebuah taman permainan, sudut kecergasan dan laluan berlari-lari anak.

Tengah merupakan bandar ke-24 dan bandar terbaru HDB.

Hampir seluas saiz Bishan, ia akan menawarkan sekitar 42,000 rumah baru di kelima-lima daerah apabilasiap dibina kelak.

Bagi penjualan BTO pada Ogos, HDB akan menawarkan sekitar 7,800 flat di merata Singapura.

Selain flat-flat di Tengah, unit perumahan di Ang Mo Kio, Bishan, Choa Chu Kang, Geylang, Pasir Ris, Tampines dan Woodlands juga akan dijual.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan