Tender dilancarkan untuk gandakan jumlah kamera polis di SG jelang 2030
SINGAPURA: Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Isnin (30 Okt) mengeluarkan tender untuk menggandakan jumlah kamera polis yang dipasang di seluruh negara, sebahagiannya untuk meliputi dengan lebih baik, kawasan perumahan dan prasarana baharu yang dibina sejak kamera sedemikian diperkenalkan pada 2012.
Di bawah tender itu, lebih 90,000 kamera polis yang sedia ada di blok-blok perumahan awam, tempat letak kereta bertingkat serta kawasan awam lain di estet perumahan dan pusat bandar juga akan digantikan dengan kamera yang baharu.
Menjelang pertengahan 2030-an, lebih 200,000 kamera polis secara keseluruhan akan dipasang di kawasan awam seluruh negara "untuk meningkatkan keselamatan awam, dan membantu siasatan polis", menurut SPF dalam sebuah kenyataan media.
Rancangan untuk menambah jumlah kamera polis pertama kali diumumkan pada 2021.
Menurut SPF pada Isnin, kamera itu akan dipasang di lebih banyak lokasi seperti kawasan-kawasan komersial, hiburan dan rekreasi yang sering dikunjungi ramai dan tempat di mana ramai orang berkumpul.
Ia juga akan dipasang di lebih banyak perhentian bas, berhampiran stesen MRT dan pertukaran bas, serta kawasan umum lain di estet-estet perumahan seperti lobi lif.
Buat masa ini, tidak semua perhentian bas dilengkapi kamera polis. Ia hanya dipasangkan di perhentian bas yang berhubung dangan blok-blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Di bawah tender itu, kesemua perhentian bas di Singapura akan dipasangkan dengan kamera berikut.
Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai keprihatinan terhadap privasi, seorang jurucakap SPF berkata bahawa kamera polis hanya digunakan di lokasi di kawasan yang meliputi ruang awam.
Pihak polis juga sudah melaksanakan "perlindungan data yang ketat dan kawalan ke atas penyimpanan, akses dan penggunaan rakaman kamera polis", tambah jurucakap itu.
Rakaman sedemikian disimpan dengan selamat dan akan dipadamkan selepas 31 hari dari tarikh rakaman, melainkan ia diperlukan untuk siasatan. Hanya orang yang diberi kuasa dibenarkan mengakses rakaman bagi tujuan rasmi.
“Terdapat juga audit berkala yang dijalankan untuk mencegah dan mengesan sebarang akses yang tidak dibenarkan. Sesiapa yang didapati mengakses rakaman untuk tujuan yang tidak dibenarkan akan dikenakan hukuman berat,” kata jurucakap itu.
Menurut SPF, kamera polis itu membantu para pegawai menyelesaikan sekitar 7,500 jenayah dan mengurangkan masa yang diperlukan dalam siasatan.
Ini termasuk jenayah-jenayah fizikal, seperti kes gangguan berkaitan pinjaman wang tidak berlesen serta kerosakan harta benda, pecah rumah, kecurian kenderaan bermotor, dan kecurian kenderaan di estet HDB dan tempat letak kereta.
Dalam beberapa kejadian, polis menggunakan rakaman dengan analisis video untuk mengenal pasti, mengesan dan menangkap suspek beberapa jam selepas jenayah dilaporkan, tambah SPF.
"Teknologi untuk analisis video dalam (kamera polis) akan terus dipertingkatkan untuk membantu polis mempercepatkan semakan rakaman-rakaman sebagai petunjuk dalam membantu menyelesaikan jenayah," kata SPF.
Keupayaan kamera polis itu berbeza-beza bergantung kepada keperluan operasi, tetapi beberapa ciri yang sering digunakan termasuk zon 'pan-tilt' 360 darjah, rakaman video definisi tinggi dan keupayaan untuk menangkap rakaman dalam keadaan pencahayaan yang berbagai.
Dalam tinjauan persepsi awam 2021 yang dijalankan oleh pihak polis, 91 peratus responden menyokong penempatan kamera polis di kawasan awam untuk menghalang, mengesan dan menyelesaikan jenayah.
Orang ramai juga mengenal pasti bahawa kamera litar tertutup (CCTV) merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada keselamatan mereka.
WANITA YANG TUKAR PAKAIAN UNTUK ELAK DITANGKAP
Pihak polis turut mengetengahkan kes-kes yang menunjukkan bagaimana kamera polis membantu dalam siasatan.
Salah satunya termasuk seorang wanita yang menyimbah air mendidih ke atas suaminya awal tahun ini, sebelum melarikan diri dari tempat kejadian dan menaiki feri ke pulau Batam, Indonesia.
Pegawai dari Polis Pengawal Pantai berjaya memintas perjalanan dan menahan wanita itu ketika di dalam feri.
Warga Indonesia Rahimah Nisva, 29 tahun, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan pada Mei.
Menurut seorang pegawai pemerhati di pusat arahan operasi polis Inspektor Balai (SI) Siti Shamsiah Mohamed Deshah, mereka menyemak rakaman kamera polis daripada 10 blok dan stesen MRT di sekitar kawasan kejadian untuk mengenal pasti suspek.
Pada hari kejadian, Rahimah memakai gaun hitam dan penutup kepala yang hanya membiarkan matanya terdedah. Oleh itu, suaminya tidak mengenalinya.
Rahimah menyimbah air panas pada bahagian belakang suaminya ketika dia sedang memakai kasut di luar flatnya di Geylang sekitar jam 7.00 pagi.
Polis kemudian mendapatkan rakaman kamera polis sebelum dan selepas kejadian itu, untuk mengesan laluan pelarian Rahimah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.