Skip to main content

Singapura

'Tenang & fokus pada masalah' cara Chee Hong Tat tangani gangguan khidmat MRT, gelora udara SQ dan tumpahan minyak

Tahun ini sahaja, banyak krisis yang perlu ditangani oleh Encik Chee Hong Tat sebagai Menteri Pengangkutan.

Anggaran Waktu Membaca:
'Tenang & fokus pada masalah' cara Chee Hong Tat tangani gangguan khidmat MRT, gelora udara SQ dan tumpahan minyak

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 06 Dec 2024 07:47PM Dikemas Kini : 06 Dec 2024 09:50PM
SINGAPURA: Tahun ini sahaja, banyak krisis yang perlu ditangani oleh Encik Chee Hong Tat sebagai Menteri Pengangkutan.

Sejak dinaikkan pangkat menjadi menteri penuh pada Januari – selepas mantan Menteri S Iswaran meletak jawatan menyusuli tuduhan rasuah – Encik Chee berdepan dengan beberapa krisis. Ini termasuk gangguan MRT, kes gelora udara melibatkan pesawat Singapore Airlines (SIA) dan tumpahan minyak besar-besaran.

"Prestasi saya setakat ini adalah untuk rakyat Singapura yang memutuskannya," kata Encik Chee kepada para wartawan dalam wawancara pada Selasa (3 Dis).

Beliau akur bahawa pengangkutan adalah portfolio yang sukar dengan banyak cabaran tetapi "seseorang perlu melakukan tugas ini". "Dan kerana ia telah diberikan kepada saya, saya akan melakukan yang terbaik."

Tiada siapa yang mahu insiden berlaku, tetapi tidak mungkin dalam "sistem yang rumit" menjangkakan ia tidak akan berlaku, tambahnya. Yang penting, bersedia untuk menyelesaikan masalah dan terus mengendalikan pengangkutan dengan cekap.

Satu perkara yang dipelajarinya ialah bersikap tenang untuk mengekalkan kestabilan dalam pasukan, katanya.

"Jika anda tidak tenang, ia akan menjejas seluruh pasukan."

Pengajaran kedua ialah masalah tidak boleh diselesaikan secara bersendirian, dan kerja secara berpasukan diperlukan bukan sahaja dalam pemerintah tetapi dengan rakan kongsi industri dan pekerja.

"Kekalkan perpaduan supaya tumpuan semua orang tertumpu kepada usaha menghuraikan masalah, bukan menuding jari, menyalahkan antara satu sama lain, yang akan memburukkan lagi keadaan."

Pengajaran ketiga ialah untuk menyediakan kemas kini tepat pada masanya dan komunikasi yang jelas, terutamanya kepada orang ramai. Di stesen-stesen misalnya, ia termasuk papan tanda dan pengumuman yang memberitahu penumpang tentang gangguan yang berlaku.

Mesej awam bagi menjelaskan apa yang berlaku juga boleh diperbaiki, katanya.

Ia tidak semuanya buruk. Encik Chee berkata beliau tersentuh dengan galakan - dalam bentuk kad, makanan dan minuman - yang diterima oleh kakitangan yang bekerja di stesen-stesen MRT semasa gangguan berlaku.

“Ia tidak dijangkakan dan ia ibarat … pembakar semangat yang penting untuk pekerja kami,” katanya.

"Saya berharap kita tidak perlu berdepan dengan satu lagi krisis, tetapi jika terpaksa, saya berharap apa yang kita lalui dapat memberi kita kekuatan, ketabahan dan keyakinan yang ia boleh diatasi."

TAMBANG PENGANGKUTAN AWAM TERUS NAIK SECARA BERPERINGKAT

Encik Chee turut mengambil berat mengenai kenaikan tambang pengangkutan awam, yang ditampung oleh pemerintah dengan subsidi S$250 juta untuk menyokong para pengendali.

Semasa pandemik, inflasi dan harga tenaga yang lebih tinggi bermakna tambang pengangkutan awam sepatutnya meningkat dengan mendadak.

Pemerintah memutuskan untuk tidak berbuat demikian atas kebimbangan terhadap kos sara hidup, dan memutuskan untuk menangguhkan kenaikan itu.

"Kita tidak sepatutnya membiarkan ini menjadi perkara yang kekal," kata Encik Chee.

"Rancangan kami ialah: Apabila kami mempunyai peluang untuk merapatkan jurang ini secara perlahan-lahan, kita harus melakukannya."

Itulah yang berlaku pada tahun ini. Tambang sepatutnya meningkat 3.3 peratus berdasarkan semakan tahun ini, tetapi sebaliknya dinaikkan sebanyak 6 peratus.

Encik Chee berkata ini membantu mengurangkan jumlah "tunggakan".
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita