Skip to main content

Singapura

Tenaga nuklear boleh jadi pemangkin kebebasan tenaga ASEAN: Ketua Persatuan Nuklear Dunia

Tenaga nuklear boleh memainkan peranan dalam membantu negara-negara Asia Tenggara mencapai kebebasan tenaga, kata Ketua Pengarah Persatuan Nuklear Dunia, Dr Sama Bilbao y Leon.
Anggaran Waktu Membaca:
Tenaga nuklear boleh jadi pemangkin kebebasan tenaga ASEAN: Ketua Persatuan Nuklear Dunia
Menara penyejuk dilihat di loji tenaga nuklear Three Mile Island di Middletown, Pennsylvania, Amerika Syarikat, pada 16 Oktober 2024. (Gambar fail: REUTERS/Shannon Stapleton)
SINGAPURA: Tenaga nuklear boleh memainkan peranan dalam membantu negara-negara Asia Tenggara mencapai kebebasan tenaga, kata Ketua Pengarah Persatuan Nuklear Dunia, Dr Sama Bilbao y Leon.

Bercakap kepada Mediacorp di luar acara Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) pada Selasa (28 Okt), Dr Bilbao y Leon berkata jalan ke hadapan bagi negara-negara tersebut untuk memanfaatkan tenaga nuklear bergantung kepada pembinaan asas yang kukuh.

Ini termasuk rangka kerja kawal selia dan sistem perundangan, serta mekanisme pembiayaan yang menyokong rantaian bekalan dan tenaga kerja mahir.

Beliau menambah bahawa rantaian bekalan global, pengetahuan dan kepakaran industri seharusnya meyakinkan negara-negara bahawa “kebebasan tenaga yang kita semua inginkan akan lebih mudah dicapai dengan tenaga nuklear”.

CITA-CITA SERANTAU

Ketika ini, tiada reaktor nuklear yang beroperasi di Asia Tenggara, namun negara-negara seperti Filipina dan Indonesia sudah menetapkan sasaran untuk mengendalikan loji tenaga nuklear menjelang awal 2030-an.

Malaysia, Thailand dan Singapura juga sedang mengkaji potensi tenaga nuklear, khususnya melalui penggunaan reaktor modular kecil (SMR).

Padat dan boleh diskalakan, SMR bersaiz lebih kecil berbanding reaktor nuklear konvensional, dan boleh dipasang siap bagi memudahkan pengangkutan serta pemasangan.

Menurut laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) pada 2024, bahagian Asia dalam penjanaan tenaga nuklear global boleh mencecah 30 peratus menjelang 2026.

Pelan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk membina grid tenaga rentas sempadan bernilai AS$100 bilion (S$129.49 bilion) menjelang 2045 menawarkan asas bagi perkongsian tenaga nuklear yang stabil di seluruh rantau ini, kata Dr Bilbao y Leon.

Beliau turut menggesa negara-negara ASEAN untuk belajar daripada pemain-pemain nuklear Asia yang lebih berpengalaman seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

Sebagai contoh, Jepun sedang mempercepatkan usahanya dalam menghidupkan semula reaktor sedia ada bagi memenuhi keperluan tenaga negara itu, kata Dr Bilbao y Leon. Korea Selatan pula mengeksport teknologi dan pengalaman operasi tenaga nuklearnya.

China memiliki banyak loji nuklear yang sedang dibina dan turut menyokong projek tenaga nuklear di luar negara, termasuk di Pakistan, tambah beliau.

Negara-negara tersebut, menurut beliau, akan “dengan senang hati" berkongsi pengalaman mereka dengan negara-negara ASEAN.

PILIHAN NUKLEAR SINGAPURA

Apabila ditanya mengenai keperluan keselamatan yang perlu dipenuhi sebelum tenaga nuklear dapat dimasukkan ke dalam campuran tenaga Singapura, Dr Bilbao y Leon berkata negara itu perlu mematuhi konvensyen dan piawaian keselamatan antarabangsa, daripada reka bentuk hingga penyenggaraan loji.

Namun, beliau menambah bahawa pengalaman operasi selama berpuluh-puluh tahun menjadikan reaktor pada masa kini lebih selamat dan berkesan.

Bagi SMR pula, beliau berkata reaktor jenis terapung di luar pantai Singapura boleh dilaksanakan dengan cepat dan “disambungkan terus” ke grid tenaga.

Walaupun pembiayaan projek tenaga nuklear kekal sebagai suatu cabaran, beliau menekankan bahawa kerjasama antara pihak awam dan swasta, seperti yang dilihat di Britain, menjadikan sektor tersebut semakin menarik kepada para pelabur.

Menurut laporan Persatuan Nuklear Dunia 2025, reaktor nuklear di seluruh dunia menjana rekod 2,667 TWh (terawatt-jam) tenaga elektrik pada 2024. Pada masa ini, sebanyak 70 reaktor sedang dibina di seluruh dunia.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita