Tenaga boleh diperbaharui, kredit karbon bidang utama kerjasama SG-Filipina: PM Wong
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr di sidang media bersama di Manila pada 4 Jun 2025. (Gambar: (MDDI))
"Inisiatif bersama kita dapat menyokong matlamat iklim, meningkatkan daya bingkas tenaga dan mewujudkan peluang baharu dalam ekonomi hijau," katanya semasa lawatan rasminya yang pertama ke Filipina sejak menjadi perdana menteri pada tahun lalu.
Encik Wong berkata beliau dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr membincangkan cara-cara untuk membina dan mempertingkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Mereka bersetuju bahawa ia adalah penting untuk meluaskan kerjasama dalam tenaga boleh diperbaharui, dengan Encik Wong menarik perhatian bahawa syarikat-syarikat Singapura turut berminat dalam projek-projek di Filipina seperti projek kuasa suria dan angin.
"Projek-projek sedemikian boleh menjana peluang ekonomi bagi Filipina di samping menyokong sasaran tenaga boleh diperbaharui Filipina," katanya.
Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mempercepatkan usaha untuk mencapai grid kuasa bagi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), sebuah sistem bersepadu bagi membolehkan perkongsian tenaga dan meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan.
"Ini akan meningkatkan daya ketahanan tenaga di rantau ini dan menyokong peralihan hijau ASEAN," kata Encik Wong, yang membuat lawatan dua halanya yang pertama sejak Pilihan Raya Umum tahun ini.
Bagi kredit karbon, kedua-dua negara telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) pada Ogos lalu, dan pihak berkuasa kini sedang berusaha memuktamadkan Perjanjian Pelaksanaan yang mengikat secara undang-undang selaras dengan Artikel 6 Perjanjian Paris.
"Ini akan memudahkan penyertaan komersial dalam projek kredit karbon, yang boleh mendorong pemindahan teknologi, pelaburan hijau dan mewujudkan pekerjaan yang baik," katanya.
Ia akan mewujudkan peluang mata pencarian yang bermakna dan mampan serta peluang perniagaan bagi kedua-dua negara, selain menghasilkan hasli kemampanan yang baik untuk masyarakat, katanya.
Encik Wong turut berucap semasa jamuan malam rasmi dan mengadakan sidang media bersama dengan Presiden Marcos Jr.
Singapura dan Filipina mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh, dengan perdagangan gua hala bernilai S$19.1 bilion pada 2024.
Filipina adalah rakan kongsi perdagangan Singapura yang kelima terbesar di ASEAN pada tahun lalu, dan pelaburan Singapura di Filipina merangkumi hartanah dan hospitaliti hingga ke telekomunikasi, barangan pengguna dan utiliti.
Banyak syarikat Singapura dan Filipina bekerjasama demi manfaat bersama dalam bidang termasuk logistik dan infrastruktur digital, kata Encik Wong.
"Dalam perdagangan dan pelaburan... hubungan kita bertambah kukuh sepanjang beberapa tahun," katanya.
"Singapura secara konsisten adalah salah satu pelabur utama di Filipina, dan ia membuktikan keyakinan oleh para peniagaan terhadap ekonomi anda."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.