Skip to main content

Singapura

Tenaga bersih penting untuk huraikan cabaran air jangka panjang SG: Chan Chun Sing

Singapura akan memerlukan lebih banyak teknologi yang menggunakan tenaga dengan cekap, manakala isi rumah serta perniagaan perlu menguruskan permintaan bekalan air masing-masing, supaya negara ini dapat memperkukuh daya tahan bekalan airnya, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (17 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 17 Mar 2026 07:17PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 12:08AM
SINGAPURA: Singapura akan memerlukan lebih banyak teknologi yang menggunakan tenaga dengan cekap, manakala isi rumah serta perniagaan perlu menguruskan permintaan bekalan air masing-masing, supaya negara ini dapat memperkukuh daya tahan bekalan airnya, kata Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (17 Mac).

Berucap di Hari Air Sedunia Singapura dan pelancaran kempen jimat air Agensi Air Negara (PUB), Encik Chan berkata Singapura mempunyai teknologi untuk memproses "sebahagian besar" bekalan air yang diperlukan.

Namun, kebergantungan Singapura terhadap bekalan air kini beralih kepada kebergantungan terhadap tenaga, katanya.

"Cabaran pertama kami untuk bab seterusnya dalam perjalanan bekalan air kita bukan sekadar mempunyai teknologi lebih baik untuk memproses bekalan air yang diperlukan, tetapi bagaimana untuk mempunyai teknologi yang menjimatkan elektrik atau tenaga sebanyak mungkin," kata Encik Chan yang juga menteri pertahanan.

Walaupun perang di Timur Tengah menekankan peri penting bekalan tenaga negara, cabaran jangka panjang Singapura adalah mendapatkan bekalan tenaga bersih, mampan dan boleh diperbaharui, katanya.

"Saya selalu katakan jika air adalah cabaran terhadap kewujudan kita sepanjang 50 tahun lalu, maka bekalan tenaga bersih, diperbaharui dan mampan akan menjadi cabaran terhadap kewujudan kita bagi tempoh 50 tahun akan datang," kata Encik Chan.

"Jika kita boleh memperoleh bekalan tenaga bersih, mampan dan boleh diperbaharui dalam jumlah yang mencukupi, maka kita juga akan dapat menyelesaikan cabaran bekalan air kita."

MENGURUSKAN PERMINTAAN BEKALAN AIR

Selain menambah bekalan, Encik Chan menggesa isi rumah dan perniagaan di Singapura agar menjimatkan air demi masa depan bekalan air yang terjamin.

Penggunaan air isi rumah secara purata adalah 141 liter per kapita sehari pada 2025, turun sedikit daripada 142 liter pada 2024, menurut PUB.

Namun, dengan aturan kerja hibrid yang berterusan, suhu meningkat dan saiz isi rumah lebih kecil menambah tekanan terhadap penggunaan air isi rumah per kapita, menurut agensi air negara itu.

"Ini menggariskan peri perlunya usaha menjimatkan air secara berterusan di rumah, di samping lebih penekanan untuk meningkatkan penjimatan air dalam sektor bukan domestik, di mana permintaan dijangka meningkat pada masa hadapan," menurut PUB.

Bagi membantu isi rumah, PUB melancarkan Program Penjimatan Air SG pada Selasa untuk bantu isi rumah flat HDB 1 hingga 3 bilik yang terpilih untuk mengamalkan langkah-langkah menjimatkan air, termasuk pemeriksaan audit bekalan air di rumah secara percuma, pembaikan sebarang kebocoran dan menggantikan perkakas air yang tidak cekap.

Program itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 1,500 isi rumah pada dua tahun pertama ia dilancarkan dan PUB akan mendampingi isi rumah yang layak secara berperingkat.

Selain isi rumah, perniagaan juga sangat digalakkan untuk berjimat semasa menggunakan air.

Permintaan bekalan air Singapura secara menyeluruh diramal akan meningkat hampir seganda menjelang 2065, dengan sektor bukan domestik membentuk kira-kira sepertiga daripada permintaan itu, naik daripada kira-kira 55 peratus pada 2026, menurut PUB.

Namun, menggunakan air dengan lebih cekap bukan setakat menjimatkan wang, kata Encik Chan, sambil berkata ia boleh menjadi satu kelebihan daya saing.

PUB menyarankan langkah-langkah seperti semakan berkala bagi penggunaan air, menggunakan teknologi menjimatkan air dan memupuk budaya menjimatkan air di tempat kerja adalah antara langkah-langkah untuk memperkukuh daya tahan bekalan air.

Encik Chan juga menarik perhatian kepada program-program seperti Dana Penjimatan Air PUB yang menyediakan dana sehingga S$5 juta bagi setiap projek dalam menyokong usaha syarikat-syarikat untuk menjimatkan air.

PEMBAHARUAN BANDAR

Sambil menarik perhatian kepada rancangan perlindungan pantai Singapura, Encik Chan berkata terdapat "banyak peluang" pada masa hadapan untuk memperkukuh kecekapan pemprosesan air sedang negara ini membuat perancangan bagi penyesuaian iklim dan pembaharuan bandar.

Beliau merujuk kepada projek "Long Island" - iaitu rancangan Singapura untuk menyepadukan langkah-langkah perlindungan pantai dengan rancangan penambakan di bahagian pantai timur Singapura.

"Anda akan menggabungkan bukan sahaja bidang tanah baharu untuk industri perumahan, tetapi ia juga akan memberi kami peluang baharu untuk mempunyai satu lagi takungan bagi mengukuhkan daya tahan air kita," kata Encik Chan.

"Apabila kita melihat pembaharuan bandar oleh HDB di semua bandar seluruh negara, terdapat juga peluang besar untuk kita mencabar diri kita, sama ada kita boleh meningkatkan kawasan tadahan air kita melebihi dua pertiga yang telah kita capai sebelum ini," tambahnya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita