Tempoh sewa padang golf Mandai dilanjut 2 tahun lagi hingga hujung 2026
Orang awam boleh terus bermain golf di Padang Golf Eksekutif Mandai untuk dua tahun lagi, selepas pengendalinya diberikan lanjutan tempoh penyewaan sehingga Disember 2026.
Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Eric Chua mendedahkan demikian di Parlimen hari ini (3 Apr) dan menarik perhatian bahawa ia salah satu pilihan yang ada untuk terus membuka akses padang golf kepada umum.
"Sukan golf adalah sukan yang memerlukan tanah yang luas dan perlu mengimbangi antara peruntukan tanah untuk sukan itu, di samping permintaan untuk tanah di Singapura seperti untuk perumahan awam," kata Encik Chua.
"Kami maklum bahawa ia penting untuk orang awam terus mempunyai akses kepada sukan tersebut. Pemerintah sedang meninjau bagaimana kita dapat terus memastikan ada akses berterusan kepada padang golf."
Beliau menjawab soalan parlimen oleh Encik Louis Chua (WP-Sengkang), yang bertanya jika terdapat sebarang rancangan untuk mengubah salah satu daripada 14 padang golf privet untuk kegunaan umum.
Satu lagi soalan yang diajukan adalah sama ada terdapat rancangan untuk memastikan sukan itu terus dapat diakses oleh masyarakat umum, terutama sekali sekolah-sekolah dan pelajar, memandangkan padang golf umum Singapura akan ditutup.
Pada awal tahun ini, ia diumumkan bahawa padang golf Mandai akan diperuntukkan bagi pembangunan sebuah pusat kembara luar darjah baharu selepas tempoh penyewaannya berakhir pada 31 Disember ini.
Padang golf Mandai yang terletak di Takungan Air Seletar, dibuka pada 1993.
Mengambil kira penutupan padang golf di Padang Golf Marina Bay, Encik Chua berkata Pemerintah sebelum ini bekerjasama dengan Keppel Club untuk memperuntukkan beberapa slot di Padang Golf Sime bagi kegunaan awam pada "harga yang boleh dimampui", dibandingkan dengan padang-padang golf awam yang lain.
Pada masa ini, sebahagian besar slot di Padang Golf Keppel Sime - pada hari biasa dan hujung minggu - diperuntukkan untuk orang awam, katanya.
"Pemerintah akan meneliti kebolehlaksanaan kemudahan sukan golf awam untuk jangka panjang, mengambil kira keperluan lain warga Singapura pada masa yang sama," kata Encik Chua.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.