Skip to main content

Singapura

Tempoh sewa 8 daripada 35 penyewa The Animal Lodge tidak diperbaharui selepas gagal penuhi syarat tender: AVS

Tempoh sewa bagi lapan penyewa komersial di The Animal Lodge tidak akan diperbaharui apabila ia tamat pada Disember, selepas gagal memenuhi syarat minimum dalam satu tender yang bertujuan meningkatkan kebajikan haiwan dan piawaian operasi dalam sektor haiwan peliharaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh sewa 8 daripada 35 penyewa The Animal Lodge tidak diperbaharui selepas gagal penuhi syarat tender: AVS

The Animal Lodge merupakan sebuah kemudahan yang menempatkan kumpulan kebajikan haiwan, pusat perlindungan haiwan dan ladang haiwan peliharaan. (Gambar: CNA/Matthew Mohan)

Diterbitkan : 01 Sep 2026 10:12PM
SINGAPURA: Tempoh sewa bagi lapan penyewa komersial di The Animal Lodge tidak akan diperbaharui apabila ia tamat pada Disember, selepas gagal memenuhi syarat minimum dalam satu tender yang bertujuan meningkatkan kebajikan haiwan dan piawaian operasi dalam sektor haiwan peliharaan.

Daripada lapan penyewa tersebut, tujuh merupakan penternak anjing manakala satu lagi mengendalikan kemudahan penginapan haiwan peliharaan.

Perniagaan tersebut adalah antara 35 penyewa komersial sedia ada di kemudahan Sungei Tengah itu yang tempoh sewanya akan tamat pada 5 Disember, menurut Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), di bawah Lembaga Taman Negara (NParks), pada Selasa (1 Sep).

Baki 27 penyewa memenuhi syarat tender AVS dan akan dibenarkan untuk kekal di The Animal Lodge, dengan tempoh sewa yang boleh diperbaharui sehingga tiga penggal sehingga 5 Disember 2035.

35 perniagaan tersebut kini memenuhi 53 unit di kemudahan tersebut dan terdiri daripada penternak haiwan peliharaan, pengendali kemudahan penginapan haiwan serta sebuah krematorium haiwan peliharaan.

Atas sebab kerahsiaan, AVS tidak mendedahkan identiti lapan perniagaan yang tidak akan diperbaharui tempoh sewanya.

Namun, Mediacorp bercakap dengan dua penternak anjing dan pengendali kemudahan penginapan haiwan peliharaan yang gagal dalam tender tersebut dan tidak berpuas hati dengan keputusan AVS.

Pengarah AVS Trisha Eng berkata semasa tender itu, para pembida dikehendaki mengemukakan cadangan yang menunjukkan bagaimana mereka akan meningkatkan kebajikan haiwan dan mutu operasi melebihi syarat asas yang ditetapkan.

AVS telah menyediakan bantuan dan panduan kepada para pembida dalam proses menyediakan cadangan. Cadangan tersebut kemudian dinilai secara menyeluruh berdasarkan kriteria harga dan mutu, termasuk piawaian kesihatan dan kebajikan haiwan, amalan penjagaan haiwan serta rekod pematuhan peraturan.

"Kriteria ini mencerminkan piawaian yang AVS jangkakan daripada pengendali berlesen dalam menyokong matlamat lebih luas untuk meningkatkan piawaian dalam industri haiwan peliharaan," menurutnya.

Cik Eng berkata AVS akan bekerjasama dengan lapan penyewa yang tidak berjaya itu bagi memastikan rancangan disediakan untuk memindahkan perniagaan mereka dan mencari tempat tinggal baharu bagi haiwan-haiwan yang terletak di bawah jagaan mereka.

Beliau berkata keputusan tersebut adalah muktamad dan tiada rayuan akan dipertimbangkan.

TENDER KHUSUS

The Animal Lodge yang terletak di 59 Sungei Tengah Road menempatkan kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan serta perniagaan komersial haiwan peliharaan, termasuk penternak dan pengendali kemudahan penginapan haiwan.

Ia dibangunkan oleh Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA) ketika itu pada 2017 untuk menempatkan pertubuhan berkaitan haiwan yang terjejas oleh pembangunan semula kawasan seperti Pasir Ris Farmway. AVS mengambil alih pengurusan kemudahan tersebut pada April 2019 dan menyelia operasinya.

Cik Eng berkata meskipun tender terbuka lazimnya dijalankan bagi premis komersial sedemikian, AVS mengehadkan tender itu kepada para penyewa sedia ada terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan untuk membuka unit kepada pengendali baharu.

Menurut AVS, pendekatan itu bertujuan mengurangkan gangguan serta keperluan untuk memindahkan haiwan yang ditempatkan di The Animal Lodge di bawah perniagaan-perniagaan tersebut.

Sebagai sebahagian daripada tender berkenaan, perniagaan dikehendaki untuk mengemukakan cadangan yang menunjukkan bagaimana mereka akan meningkatkan kebajikan haiwan dan operasi mereka melebihi syarat asas yang ditetapkan.

Ini termasuk menyediakan persekitaran tempat tinggal yang lebih baik untuk haiwan, memperkukuh amalan kesihatan dan kebajikan termasuk biosekuriti, serta menambah baik kemudahan pembiakan dan penginapan haiwan.

AVS sudah berhubung dengan dan memberikan panduan kepada para penyewa sejak November tahun lalu menerusi lebih 15 sesi, termasuk sesi dialog, taklimat tender dan bengkel.

Meskipun semua penyewa memenuhi syarat peraturan sedia ada yang diperlukan untuk memegang lesen, AVS menyatakan perniagaan perlu menunjukkan bahawa mereka akan melakukan lebih daripada sekadar memenuhi piawaian asas tersebut untuk mendapatkan mata dalam tender tersebut.

Sebagai contoh, penternak anjing dikehendaki menyediakan pemeriksaan kesihatan tahunan bagi haiwan-haiwan yang dibiak, tetapi perniagaan yang mencadangkan pemeriksaan veterinar dilakukan dengan lebih kerap boleh diberikan mata tambahan.

Menurut AVS, lapan penyewa yang tidak berjaya itu tidak mencadangkan langkah-langkah yang mencukupi untuk melangkaui syarat asas dalam aspek-aspek seperti kesihatan dan kebajikan haiwan serta amalan penjagaan haiwan.

"Bagi mereka yang tidak berjaya ... mereka tidak mencadangkan langkah yang mencukupi yang melangkaui syarat asas yang ditetapkan," kata Cik Eng.

AVS akan memantau perniagaan-perniagaan sepanjang tempoh sewa mereka bagi memastikan mereka memenuhi komitmen yang dibuat dalam cadangan tender masing-masing.

"Para penyewa yang gagal memenuhi piawaian ini mungkin berdepan tindakan, termasuk kemungkinan tempoh sewa mereka tidak diperbaharui pada semakan seterusnya," kata Cik Eng.

Menyusuli tender tersebut, Cik Eng berkata AVS akan menyemak penggunaan The Animal Lodge pada masa akan datang berdasarkan keperluan industri dan pertimbangan operasi.

Unit yang tersedia kemudian boleh ditawarkan menerusi tender akan datang, termasuk kepada pengendali baharu, tambahnya.

Bagi Cik Sheryl Chia, yang mengendalikan perniagaan pembiakan kucing Chubby Buddy di The Animal Lodge, kejayaan mendapatkan tempoh sewa baharu memberikan kelegaan kepadanya. Premisnya kini menempatkan sekitar 50 ekor kucing.

Cik Chia berkata cadangan tendernya merangkumi langkah-langkah seperti menyediakan ruang yang membolehkan kucing bergerak dengan bebas dan berinteraksi, dan bukan hanya ditempatkan di dalam bilik yang lebih kecil.

Beliau juga merancang untuk membuat penambahbaikan lanjut pada premisnya di The Animal Lodge, termasuk menggantikan sebahagian lantai dengan bahan tidak licin, mengecat semula dan menaik taraf kelengkapan yang digunakan.

"Kami sentiasa merasakan bahawa kami boleh terus menjadi lebih baik ... Kami akan sentiasa cuba memikirkan cara untuk membuat penambahbaikan dan perubahan," kata Cik Chia.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita