Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempoh sah Baucar Teroka Semula S'pura dilanjut hingga hujung Mac

Tarikh akhir untuk mengadakan lawatan menggunakan Baucar SingapoRediscovers atau Baucar Teroka Semula (SRV) dilanjutkan kepada 31 Mac 2022. Namun tempahan mesti dibuat sebelum 31 Disember.

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh sah Baucar Teroka Semula S'pura dilanjut hingga hujung Mac

Singapore Flyer. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 22 Nov 2021 04:19PM Dikemas Kini : 22 Nov 2021 05:17PM

SINGAPURA: Tarikh akhir untuk mengadakan lawatan menggunakan Baucar SingapoRediscovers atau Baucar Teroka Semula Singapura (SRV) dilanjutkan kepada 31 Mac 2022. Namun tempahan mesti dibuat sebelum 31 Disember.

Mengumumkan sedemikian pada hari ini (22 Nov), Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan: "Kami faham bahawa sesetengah rakyat Singapura mungkin tidak dapat menggunakan SRV mereka kerana saiz kumpulan dan had kapasiti yang dikurangkan di tempat-tempat pelancongan.

"Pelanjutan ini memberikan kepada rakyat Singapura lebih banyak masa untuk menikmati pengalaman SRV mereka."

Pengumuman tersebut dibuat menyusuli tempoh yang dilanjutkan sebelum ini, iaitu hingga 31 Disember.

Skim baucar itu, yang dilancarkan untuk merancakkan sektor pelancongan di tengah-tengah COVID-19, pada mulanya dijadual tamat pada hujung Jun.

Setiap warga Singapura berusia 18 tahun dan ke atas sudah menerima baucar pelancongan bernilai S$100, yang boleh digunakan untuk penginapan, tiket daya tarikan dan lawatan.

STB menyatakan mulai hari ini, lebih banyak slot tempahan akan ditambah oleh lima rakan kongsi tempahan yang dibenarkan iaitu Changi Recommends, GlobalTix, Klook, Traveloka dan Trip.com.

"Kami amat menggalak rakyat Singapura untuk merancang lebih awal dan menempah pengalaman mereka lebih awal, terutamanya untuk musim perayaan dan cuti sekolah yang menjelang pada Disember dan Mac," tambah agensi itu.

Mereka yang memerlukan bantuan untuk membuat tempahan boleh mengunjungi kaunter fizikal SRV di seluruh Singapura sebelum 31 Disember. Mereka mesti membawa dokumen asli pengenalan diri mereka.

Mulai 1 Januari 2022, rakan kongsi tempahan yang dibenarkan tidak akan lagi menerima tempahan pelancongan yang dibuat menggunakan baucar, menurut STB, sambil menambah bahawa semua kaunter fizikal akan ditutup.

Setakat 1 November, hampir 1.3 juta rakyat Singapura sudah menggunakan baucar mereka sekurang-kurangnya sekali, membentuk lebih 1.6 juta urus niaga, dedah STB.

Sekitar S$256 juta dalam bentuk baucar dan perbelanjaan tambahan sudah dibelanjakan di bawah skim itu.

STB juga mengingatkan warga Singapura bahawa perbuatan menjual semula atau menukar baucar dengan wang tunai adalah tidak dibenarkan sama sekali.

STB menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan SRV digunakan bagi tujuan yang dimaksudkan dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap perniagaan atau individu yang menyalahgunakan skim SRV," tegasnya.

Mereka yang ingin menderma baucar mereka boleh berbuat demikian melalui pilihan derma yang disediakan oleh rakan kongsi tempahan atau melalui kaunter tempahan fizikal.

"Kami menggalak mereka untuk menderma jauh lebih awal sebelum 31 Disember," tambah STB.

Sumber : CNA/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa