Skip to main content

Singapura

Tempoh perjalanan lebih panjang apabila 7 stesen MRT di Laluan Circle jalani kerja penyenggaraan pada Jun & Jul

Anggaran Waktu Membaca:
Tempoh perjalanan lebih panjang apabila 7 stesen MRT di Laluan Circle jalani kerja penyenggaraan pada Jun & Jul

(Gambar: winhorse/iStock)

Diterbitkan : 24 May 2023 05:59PM
SINGAPURA: Khidmat kereta api di tujuh stesen Laluan Circle (CCL) akan disesuaikan pada Jun dan Julai disebabkan oleh kerja-kerja penyenggaraan tambahan, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Rabu (24 Mei).

Stesen-stesen terjejas adalah Dhoby Ghaut, Bras Basah, Esplanade, Promenade, Nicoll Highway, Marina Bay dan Bayfront.

Perkhidmatan di stesen-stesen berkenaan akan disesuaikan sepanjang tempoh selama enam minggu.

Dari 11 Jun hingga 20 Julai, khidmat di ketujuh-tujuh stesen MRT itu hanya akan beroperasi dari satu platform selepas 9.00 malam, kecuali dari 16 Jun hingga 18 Jun, 28 Jun hingga 29 Jun, 1 Julai hingga 2 Julai, 7 Julai hingga 8 Julai dan 14 Julai hingga 16 Jul.

“Ini akan menyebabkan perjalanan lebih panjang dan penumpang akan mengalami masa perjalanan tambahan sehingga 30 minit,” menurut LTA.

Sepanjang tempoh khidmat platform tunggal, perkhidmatan kereta api ulang-alik akan disediakan antara Dhoby Ghaut dan Promenade (Shuttle Service A) pada selang 15 minit dan antara Marina Bay dengan Stadium (Shuttle Service B) pada selang 20 minit.

Kerja-kerja penyenggaraan tambahan akan dijalankan di sebahagian terowong antara Stesen Promenade dan Nicoll Highway.

Bahagian itu didapati "mengalami tekanan yang lebih besar" semasa pemeriksaan rutin dijalankan. Menurut LTA, ia menilai isu itu tidak menimbulkan risiko keselamatan terhadap operasi kereta api CCL.

"Sungguhpun demikian, LTA akan menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan pengukuhan sebagai langkah berjaga-jaga termasuk pemasangan penyokong keluli pada gelang terowong untuk menjaga keandalan terowong jangka panjang,”" menurut LTA.

"LTA dan para pengendali kereta api akan terus memantau dengan kerap terowong yang digunakan untuk operasi kereta api sebagai sebahagian daripada rejim penyenggaraan kami."

LTA turut menasihatkan para penumpang supaya merancang perjalanan mereka lebih awal dan menggunakan laluan kereta api atau perkhidmatan bas lain untuk mengurangkan sebarang kesulitan.

Orang ramai juga boleh merujuk kepada aplikasi MyTransport.SG LTA dan akaun media sosial LTA dan SMRT untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Papan tanda dan pengumuman akan disediakan di semua stesen CCL dan stesen-stesen tertentu di laluan MRT lain yang bersambung dengan stesen-stesen terjejas, menurut LTA.

Para kakitangan stesen juga akan dikerahkan ke stesen-stesen terjejas.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita