Tempoh penggantungan IPPT bagi NSmen dilanjutkan hingga 31 Ogos: Mindef
Ujian Kecekapan Fisikal Individu (IPPT) bagi anggota kerahan perkhidmatan negara (NSmen) akan ditangguhkan lagi sehingga 31 Ogos, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) pada hari Isnin (22 Jun).
(Gambar fail: TODAY)
SINGAPURA: Ujian Kecekapan Fisikal Individu (IPPT) bagi anggota kerahan perkhidmatan negara (NSmen) akan ditangguhkan lagi sehingga 31 Ogos, kata Kementerian Pertahanan (Mindef) pada hari Isnin (22 Jun).
Mindef akan memberikan pengecualian sekali sahaja kepada mereka yang dijadual menjalani ujian kecergasan dalam tempoh ini, menurut pesanan teks yang dikirimkan kepada NSmen oleh Mindef pada Isnin.
Berdasarkan pesanan teks tersebut, semua latihan persiapan dan latihan ulangan IPPT di pusat-pusat kecergasan, gimnasium dan taman Safra juga akan terus digantung.
Selasa lalu, Mindef mengumumkan menerusi laman Facebooknya bahawa kegiatan IPPT NSmen serta latihan dalam kem yang tidak dianggap penting bagi operasi akan terus ditunda. Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan sehingga bila penggantungan itu dilaksanakan. Mindef menyatakan ia akan memantau keadaan dan menyemak langkah-langkah bagi memastikan keselamatan anggota perkhidmatan.
NSmen yang terjejas akan dimaklumkan mengenai perubahan itu menerusi surat dalam tiga minggu akan datang.
Mereka juga boleh melungsuri Portal NS bagi sebarang kemas kini, tambah Mindef.
Latihan asas tentera bagi rekrut disambung semula secara bertahap sejak 26 Mei dengan langkah-langkah kesihatan dan keselamatan dilaksanakan, selepas digantung selama tujuh minggu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.
Semua latihan ketenteraan berskala besar di luar negara juga dihentikan, termasuk Latihan Wallaby di Australia, yang dijadualkan berlangsung antara September dan November tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.