Skip to main content

Singapura

Tempoh pemilihan BTO disingkatkan, projek baru diumum 6 bulan sebelum pelancaran

Mereka yang merancang untuk membeli flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tidak lama lagi akan mendapat keputusan berhubung permohonan mereka dengan lebih pantas, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (7 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Mar 2019 01:16PM Dikemas Kini : 07 Mar 2019 11:56PM

SINGAPURA: Mereka yang merancang untuk membeli flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO) tidak lama lagi akan mendapat keputusan berhubung permohonan mereka dengan lebih pantas, kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong hari ini (7 Mac).

Tempoh pemilihan flat-flat BTO akan disingkatkan dari enam kepada tiga minggu. Ini bakal dikuatkuasakan bermula penjualan BTO pada Mei 2019.

"Kami juga meninjau cara-cara untuk mempertingkat proses-proses permohonan BTO kami," kata Encik Wong semasa membahaskan peruntukan bagi kementeriannya. "Saya membangkitkan isu ini pada tahun lalu dan mencabar HDB supaya menyingkatkan tempoh pemilihan. Jadi, saya amat berbesar hati untuk berkongsi tentang kemajuan HDB menjalankan semakan asas terhadap proses-prosesnya. HDB berjaya menyingkatkan tempoh yang diperlukan dari enam minggu kepada tiga minggu, dan ini akan berkuat kuasa dari penjualan BTO pada Mei 2019."

Di samping itu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan mengumumkan tapak-tapak BTO enam bulan sebelum projek dilancarkan. Sebelum ini, HDB membuat pengumuman tiga bulan sebelum pelancaran. Perubahan ini akan dilaksanakan bermula penjualan BTO pada Mei.

Ini bermakna, HDB akan mengumumkan senarai tapak BTO bagi Ogos dan November semasa penjualan BTO pada bulan Mei.

"Bagi pasangan pembeli kali pertama, membuat permohonan bagi flat BTO adalah satu keputusan besar," kata Encik Wong. "Salah satu faktor yang dipertimbangkan adalah lokasi flat. Sering kali pembeli ingin tahu di mana projek akan dilancarkan dan bila ia akan dilancarkan supaya mereka tahu tentang waktu paling tepat untuk membuat permohonan.

"Kami sangat berhati-hati apabila ingin membuat pengumuman kerana akan selalu ada perubahan yang tidak dijangka-jangkakan pada pelan-pelan pembangunan (misalnya akibat perubahan dalam keadaan pasaran atau permintaan). Tetapi saya faham mengapa para pembeli ingin lebih banyak maklumat apabila membuat perancangan."

Jumlah flat BTO dengan tempoh menunggu lebih pendek - antara dua hingga tiga tahun - juga akan dinaikkan seganda kepada 2,000 tahun ini, kata Encik Wong.

"Jumlah flat seumpama itu yang boleh ditawarkan, terbatas atas faktor-faktor lain seperti jika ada tapak untuk melancarkan projek. Kami akan terus menyemak tentang seberapa banyak lagi yang boleh dilakukan dan sama ada kami boleh mempercepatkan lagi proses pembelian rumah."

Encik Wong berkata mereka yang lebih memerlukan flat secepatnya juga boleh mencuba menerusi Penjualan Flat Baki (SBF) dan Skim Tawaran Semula Baki Flat (ROF).

Para pembeli boleh menempah flat di bawah ROF pada bila-bila masa sahaja, bermula Jun. Perincian tentang proses permohonan akan dikongsi dalam tempoh terdekat.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita