Tempoh operasi lebih singkat di Laluan Circle pada hujung minggu mulai 11 Apr
Khidmat MRT Laluan Circle akan beroperasi lebih singkat pada hujung minggu mulai 11 April hingga 17 Mei bagi menjalankan ujian menjelang pembukaan tiga stesen baharu, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan SMRT pada Khamis (26 Mac).
Peranti pengimbasan laser digunakan untuk mengimbas percanggahan dalam terowong di tapak kerja di stesen MRT Dakota pada 26 Mac 2026. (Foto: CNA/Jeremy Long)
Khidmat MRT di Laluan Circle akan berakhir pada pukul 11.00 malam pada Sabtu dan bermula pada pukul 9.00 pagi pada Ahad sepanjang tempoh tersebut.
Para penumpang boleh menjangkakan masa perjalanan tambahan selama 30 minit semasa pelarasan perkhidmatan, menurut LTA dan SMRT dalam satu kenyataan bersama.
Semasa tempoh itu, khidmat bas ulang-alik akan disediakan mulai pukul 5.00 pagi hingga 9.00 pagi pada hari Ahad.
Para penumpang akan membayar tambang yang sama untuk menaiki bas ulang-alik seperti yang dibayar untuk perkhidmatan MRT.
Dua laluan khidmat bas ulang-alik dan kekerapannya adalah seperti berikut:
Khidmat bas ulang-alik nombor 36 akan beroperasi antara stesen HarbourFront dengan Bishan, dengan selang masa tujuh hingga 10 minit.
Khidmat bas ulang-alik nombor 37 akan beroperasi antara stesen Bishan dengan Promenade, pada selang masa antara tiga hingga lima minit.
Ujian penyepaduan bagi Tahap 6 Laluan Circle hanya boleh dijalankan selepas kerja-kerja pengukuhan terowong selesai kerana ia memerlukan keseluruhan laluan tersedia untuk menjalankan ujian, menurut pihak berkuasa.
Tahap 6 Laluan Circle terdiri daripada stesen-stesen bawah tanah iaitu Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road - sekali gus menutup gelung antara stesen Harbourfront dengan Marina Bay.
Sambungan itu dijangka dibuka pada pertengahan tahun ini.
KERJA TEROWONG LEBIH AWAL DARIPADA JADUAL
Pelarasan perkhidmatan yang akan dijalankan dilaksanakan menyusuli kerja-kerja pengukuhan di sepanjang Laluan Circle, yang dijangka siap lebih awal daripada jadual.
Gangguan perkhidmatan berjadual, yang bermula pada 17 Jan, menyaksikan MRT beroperasi di platform tunggal antara stesen Mountbatten, Dakota dan Paya Lebar.
Pada awalnya dijadual siap pada 19 April, kerja-kerja pengukuhan terowong kini dijangka selesai selewat-lewatnya pada 10 April.
Khidmat MRT juga akan disambung semula sepenuhnya di kedua-dua terowong bagi laluan yang terjejas pada 10 April.
Dengan khidmat MRT beroperasi semula di stesen-stesen Laluan Circle itu, kekerapan khidmat bas ulang-alik pada waktu sibuk akan dikurangkan sebelum khidmatnya dihentikan selepas 13 April.
Bercakap kepada para wartawan di Stesen MRT Dakota, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow berkata kerja-kerja pengukuhan terowong adalah "kerja-kerja yang sangat sukar, sangat rumit", dengan ramai pekerja terlibat, walaupun sepanjang tempoh Ramadan.
"Mereka berjaya mempercepatkan penyiapan projek itu, yang saya fikir merupakan pencapaian yang ketara, sambil melakukannya dengan selamat," kata Encik Siow.
HARGA BAHAN API MENINGKAT
Encik Siow juga menyentuh tentang bagaimana konflik Timur Tengah menjejas industri pengangkutan Singapura.
"Situasi itu mempunyai kesan terhadap sektor pengangkutan kita, sama ada ia udara, laut atau darat."
Beliau menambah kementeriannya sedang berusaha untuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil, sambil menarik perhatian bahawa stok simpanan tidak terhakis dan aliran bekalan kekal terbuka.
Mengenai kenaikan harga bahan api, beliau berkata sebahagian daripada kesannya diserap oleh pasaran, dengan syarikat-syarikat penerbangan menaikkan tambang dan beberapa pengendali platform menyediakan subsidi-subsidi kepada pemandu dan pekerja penghantaran.
Beliau menambah bahawa kementeriannya sedang memantau keadaan dengan teliti untuk menilai sama ada campur tangan pemerintah diperlukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.