Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan vaksin COVID-19 bagi budak 5-11 tahun mula minggu depan

Tempahan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan dibuka secara bertahap-tahap mulai minggu depan jika vaksin "tiba seperti yang dijadualkan".

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan vaksin COVID-19 bagi budak 5-11 tahun mula minggu depan

(Gambar fail: Ong Ye Kung/Facebook)

Diterbitkan : 14 Dec 2021 02:22PM Dikemas Kini : 14 Dec 2021 02:23PM

SINGAPURA: Tempahan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan dibuka secara bertahap-tahap mulai minggu depan jika vaksin "tiba seperti yang dijadualkan".

Demikian kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing hari ini (14 Dis).

Menerusi catatan Facebooknya, Encik Chan juga berkata Pemerintah sedang menantikan pengesahan tentang tarikh ketibaan dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty.

"Jika penghantaran (vaksin) tiba seperti yang dijadualkan, kami akan secara bertahap-tahap membuka tempahan bagi vaksinasi pada minggu depan dan ia akan dijalankan mulai hujung Disember 2021 bagi kanak-kanak Darjah 3 hingga Darjah 5 dan yang dari peringkat lebih rendah selepas itu, pada awal tahun 2022," kata beliau.

"Kami akan memberi kemas kini apabila butiran penghantaran dipastikan."

Minggu lalu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty bagi kanak-kanak berusia antara lima dengan 11 tahun. Ia akan diberikan sebagai siri utama dua-dos, dengan jarak tempoh 21 hari. Namun, dosnya lebih rendah berbanding yang diberikan kepada individu-individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada minggu lalu bahawa perjanjian bekalan vaksin dengan Pfizer-BioNTech sudah ditandatangani dan kementerian itu berharap vaksin-vaksin tersebut akan tiba sebelum hujung Disember.

Encik Chan juga berkata Kementerian Pendidikan sedang "bekerjasama" dengan MOH dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) untuk bersiap sedia bagi program vaksinasi tersebut.

Vaksin tersebut akan ditawarkan kepada lebih daripada 300,000 kanak-kanak, termasuk mereka yang merupakan pemegang pas lawatan jangka panjang di Singapura, tambah beliau.

"Sebagai ibu bapa, kita semua mahukan anak-anak kita berada dalam keadaan sihat dan selamat," kata Encik Chan. "Vaksinasi terhadap COVID-19 akan membantu mengurangkan peluang anak-anak kita sakit teruk jika mereka dijangkiti, terutama sekali dengan varian terbaru Omicron yang membimbangkan."

"Sedang ramai anak-anak kita divaksin, kita boleh meneruskan lebih banyak kegiatan pembelajaran, sukan dan permainan, yang penting bagi perkembangan dan kesihatan fizikal, minda dan sosioemosi mereka," ujar beliau.

"Vaksinasi, bersama dengan langkah-langkah pengurusan selamat dan kebersihan peribadi yang baik, akan memperkukuhkan lagi langkah-langkah yang diambil untuk melindungi anak-anak kita."

Sumber : CNA/NY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan