Skip to main content

Singapura

Tempahan umrah hujung tahun terjejas, konflik timur tengah antara faktor

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan umrah hujung tahun terjejas, konflik timur tengah antara faktor

Konflik berterusan di Timur Tengah serta trend menguruskan perjalanan umrah secara sendiri menjejas tempahan beberapa GSA. Namun, jemaah yang sudah membuat persiapan rata-rata masih mahu meneruskan perjalanan. (Gambar: Shahidah Travel & Tours)

Diterbitkan : 05 Nov 2026 05:45PM

SINGAPURA: Tempahan umrah bagi musim hujung tahun menunjukkan penurunan dalam kalangan beberapa agensi haji dan umrah yang ditemui BERITA Mediacorp, meskipun kesannya berbeza antara agensi.

Antara faktor yang dikenal pasti ialah konflik berterusan di Timur Tengah serta peningkatan jumlah jemaah yang memilih untuk menguruskan perjalanan umrah secara sendiri.

Namun, bagi jemaah yang sudah membuat tempahan, ramai masih memilih untuk meneruskan perjalanan ke Tanah Suci sedang syarikat-syarikat berkenaan terus memantau keadaan keselamatan.

KONFLIK TIMUR TENGAH ANTARA FAKTOR JEJAS TEMPAHAN 

Pengarah Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa berkata tempahan bagi keberangkatan hujung tahun ini merosot hingga 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Besar kemungkinan situasi konflik di Timur Tengah merupakan antara faktor yang menyumbang kepada penurunan ini."

"Kami difahamkan bahawa terdapat majikan yang tidak membenarkan pekerja mereka mengambil cuti untuk ke Arab Saudi buat masa ini. Selain itu, ada juga bakal jemaah yang memilih untuk mengambil pendekatan lebih berhati-hati dan menangguhkan perancangan umrah mereka sehingga keadaan lebih stabil," kata Cik Noor Faizah.

Sebilangan bakal jemaah juga memilih untuk menangguhkan rancangan umrah sehingga keadaan kembali stabil.

Perjalanan sebahagian jemaah turut terjejas apabila berlaku pembatalan atau penundaan penerbangan pada saat-saat akhir.

"Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan perancangan perjalanan serta aturan logistik yang telah disusun lebih awal. Namun, pihak kami sentiasa berusaha mendapatkan penyelesaian terbaik bagi memastikan perjalanan jemaah dapat diteruskan dengan selamat dan teratur," tambahnya.

LEBIH RAMAI PILIH URUS UMRAH SENDIRI

Bagi Shahidah Travel & Tours pula, tempahannya merosot sehingga 50 peratus berbanding musim hujung tahun lalu.

Pengarah urusannya, Haji Ayoob Angullia, melihat peningkatan jumlah jemaah yang menguruskan sendiri perjalanan umrah sebagai antara sebab penurunan tersebut.

Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad berkata trend itu turut dibangkitkan dalam perbincangan bersama anggota AMTAS.

"Apabila kami berbincang dalam kalangan anggota AMTAS, mereka menyuarakan bahawa penurunan tempahan itu antara lain disebabkan lebih ramai jemaah memilih untuk menguruskan sendiri perjalanan umrah," kata Ustazah Juyda.

Namun, jemaah yang sudah mendaftar dengan syarikatnya rata-rata masih mahu meneruskan perjalanan.

Menurut Haji Ayoob, kebanyakan daripada mereka sudah lama membuat persiapan, termasuk mengumpulkan wang dan mendapatkan kelulusan cuti.

"Kami akan awasi keadaan. Sekiranya tidak boleh berangkat, kami akan maklumkan dan tidak akan membenarkan anda berangkat," kata Encik Ayoob.

Pihaknya juga memantau maklumat daripada syarikat penerbangan, pihak berkuasa Singapura serta rakan kongsinya di Arab Saudi sebelum membuat sebarang penyesuaian.

Antara langkah berjaga-jaga yang diambil ialah mendaftarkan jemaah dengan Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan memastikan para pegawai mempunyai maklumat kecemasan yang diperlukan.

JEMAAH NOVEMBER, DISEMBER MAHU TERUSKAN PERJALANAN

Bagi syarikat Noor Mohamad Services & Travel, mereka juga tidak menerima sebarang permintaan pembatalan daripada jemaah yang dijadualkan berangkat pada November dan Disember.

Sebaliknya, para jemaah memberikan respons positif setelah diberi penerangan mengenai perkembangan semasa dan langkah-langkah yang disediakan pihak agensi.

"Bagi mereka, ini merupakan perjalanan yang sudah dirancang dan mereka sudah membuat persediaan dari segi ilmu serta kewangan. Bagi mereka, ini merupakan panggilan daripada Allah," kata Cik Juyda.

"Semenjak kejutan yang berlaku di kawasan Timur Tengah ini, kami hanya mendapati kurang daripada lima peratus jemaah yang takut untuk terbang disebabkan nasihat perjalanan daripada pihak kita dan juga daripada pihak MUIS. Jadi, bilangannya sangat kurang," tambahnya lagi.

Beliau menambah bahawa keadaan di Makkah dan Madinah kekal tenang berdasarkan maklumat daripada kumpulan jemaah yang baru-baru ini berada di Tanah Suci.

Pihaknya juga sudah menyiapkan beberapa rancangan kontingensi sekiranya keadaan bertambah buruk atau ruang udara ditutup.

"Kami sentiasa berhubung dengan para jemaah dan ahli waris mereka menerusi kumpulan WhatsApp. Apabila diberikan maklumat mengenai perkembangan semasa dan langkah yang diambil pihak pengurusan, ia sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada mereka," jelas Cik Juyda.

Sekiranya perjalanan terpaksa dibatalkan, jemaah boleh mendapatkan bayaran balik atau menyimpan jumlah yang sudah dibayar untuk digunakan bagi pakej lain apabila keadaan kembali stabil.

Setakat 13 Oktober 2026, Kementerian Ehwal Luar (MFA) menasihatkan rakyat Singapura supaya menangguhkan semua perjalanan ke Arab Saudi.

Mereka yang tetap perlu melakukan perjalanan ke negara itu amat digalakkan mendaftarkan perjalanan menerusi sistem eRegister MFA supaya dapat dihubungi sekiranya perlu.

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita