Tempahan SalamSG Korban turun 17% tahun ini
SINGAPURA: Jumlah haiwan korban yang ditempah menerusi inisiatif SalamSG Korban tahun ini turun sekitar 17 peratus berbanding tahun lalu.
Sebanyak 4,323 haiwan korban ditempah menerusi inisiatif SalamSG Korban tahun ini.
Daripada jumlah itu, 69 ekor lembu ditempah iaitu kira-kira 2 peratus.
Selebihnya ialah 1,547 ekor kambing dan 2,707 ekor kambing biri-biri iaitu yang paling banyak ditempah, sekitar 63 peratus.
Tahun lalu, jumlah tempahan yang diterima lebih tinggi secara keseluruhan iaitu sebanyak 5,227 ekor.
Di samping itu, tarikh tutup bagi pendaftaran turut dilanjutkan hingga Isnin (10 Jun).
Pada awalnya, ia ditetapkan pada Sabtu (8 Jun).
Tahun ini juga, pendaftaran dibuka lebih awal iaitu sejak Ramadan lagi. Ia juga kali pertama pendaftaran dibuka dalam bulan puasa.
Pada tahun ini, inisiatif tersebut disokong oleh 52 masjid.
Menurut SalamSG, ia mencerminkan sokongan daripada masyarakat terhadap masjid-masjid yang menyediakan khidmat korban di tengah-tengah landskap baharu iaitu dengan pelbagai pilihan yang disediakan untuk masyarakat, termasuk korban di luar negara oleh pertubuhan dan syarikat privet serta korban yang dijalankan secara fizikal di sini yang dikendalikan sepenuhnya oleh sektor privet.
"Kami sangat gembira dengan sambutannya tahun ini dan sangat bersyukur dengan kepercayaan daripada masyarakat dalam menjalani Korban di luar negara menerusi SalamSG Korban. Menerusi SalamSG Korban, Korban anda bukan sahaja memanfaatkan para penerima Zakat tempatan tetapi juga kumpulan-kumpulan yang kurang mendapat perhatian tetapi menyokong usaha-usaha pengumpulan dana untuk masjid-masjid kita," kata Pengerusi SalamSG Korban 2024, Mohd Khalid Mohd Lani dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (11 Jun).
"Kami juga menghargai sokongan yang diberikan kepada jenis haiwan korban baharu yang diperkenalkan tahun ini. Korban anda memperkukuhkan lagi nilai-nilai belas kasihan dan murah hati dalam Islam dan memancarkan berkat kepada masyarakat lebih luas, insya-Allah," tambahnya.
Lagi dua jenis haiwan ditawarkan tahun ini iaitu kambing dan lembu.
Sebelum ini, hanya kambing biri-biri sahaja ditawarkan.
PENGHANTARAN DAGING BOLEH AMBIL MASA SEHINGGA 2 MINGGU LEPAS HARI TASYRIK
Encik Mohd Khalid turut berkongsi bahawa lawatan pemerhatian oleh wakil-wakil SalamSG ke rumah-rumah penyembelihan di luar negara dilakukan untuk pihak masjid-masjid dan "memberikan jaminan kepada Sohibul Korban akan mutu daging korban dan kepatuhan kepada standard Halal dan kewajipan agama yang sangat persis dengan proses-proses yang dijalankan di Singapura."
Kesemua haiwan korban yang ditempah menerusi masjid-masjid di bawah SalamSG akan disembelih di Australia pada Hari Raya Haji (atau hari-hari Tasyrik).
Dagingnya akan dibekukan dan kemudian diterbangkan ke Singapura untuk diagihkan kepada para Sohibul Korban.
SalamSG Korban sudahpun melantik rakan-rakan kongsi yang bertauliah untuk memastikan upacara korban mematuhi amalan-amalan agama dan keperluan peraturan yang ditetapkan oleh agensi-agensi yang relevan.
Para Sohibul Korban akan dimaklumkan oleh rakan-rakan kerja SalamSG Korban sebaik sahaja haiwan korban mereka sudah disembelih.
Rakan-rakan kerja itu juga akan menghubungi Sohibul Korban untuk mengatur tarikh penghantaran daging-daging korban mereka.
Penghantaran akan dilakukan selepas hari-hari Tasyrik dan ini boleh menjangkau sehingga 2 minggu, bergantung kepada jadual.
DAGING AKAN JUGA DIAGIHKAN KEPADA PENERIMA ZAKAT, KELUARGA BANDUAN & PEKERJA HIJRAHAN
Selain para sohibul korban, daging-daging itu juga akan diagihkan kepada golongan memerlukan termasuk penerima zakat, keluarga individu yang dipenjarakan dan pekerja hijrahan.
SalamSG Korban akan bekerja rapat dengan masjid-masjid dan pihak-pihak relevan untuk merancang pengagihan daging dari 21 Jun hingga 6 Julai ini.
Selain korban di luar negara, terdapat juga syarikat privet yang menawarkan khidmat korban yang dilaksanakan di Singapura sendiri.
Antara syarikat privet itu termasuk Aliyah Rizq Holdings Pte Ltd dan An Nahr.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.