Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan naik sehingga 40% bagi para peniaga F&B sedang mereka bersiap sedia sambut lebih ramai pelanggan

Mulai Isnin (12 Jul), kumpulan sehingga lima orang boleh duduk makan semeja. BERITAmediacorp sempat mengunjungi beberapa kedai makan dan minuman (F&B) hari ini (11 Jul), yang sibuk membuat persiapan bagi menerima lebih ramai pelanggan esok.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai Isnin (12 Jul), kumpulan sehingga lima orang boleh duduk makan semeja.

BERITAmediacorp sempat mengunjungi beberapa kedai makan dan minuman (F&B) hari ini (11 Jul), yang sibuk membuat persiapan bagi menerima lebih ramai pelanggan esok.

Dengan lima orang boleh duduk makan semeja, pastinya ia suatu berita yang amat dinanti-nantikan mereka.

Ini kerana ada yang mendapati perniagaan mereka terjejas akibat had dua orang yang dikenakan.

RASA SYUKUR ATAS KELONGGARAN

Bagi para peniaga F&B yang kami temui hari ini (11 Jul), mereka melahirkan rasa syukur kerana kelonggaran itu dapat membantu perniagaan mereka.

Ini termasuk restoran The Secret Garden yang mendapati sebelum ini, perniagaan mereka merosot sehingga 50 peratus akibat had dua orang itu.

"Kami sudah tentu berasa gembira kerana saya rasa jika lebih ramai orang dapat makan di luar, akan ada lebih banyak penjualan. Jadi bos kami akan berasa gembira dan kami pun akan berasa gembira," kata Encik Effendi Hisham, Pengurus Besar The Secret Garden.

Bagi menyambut lebih ramai pelanggan, pelbagai persediaan sudah pun dilakukan oleh restoran berkenaan.

"Antara persediaan yang sudah kami lakukan ialah meningkatkan tempat duduk dan menambah beberapa meja untuk memenuhi ruang makan di atas dan di bawah," kongsi Encik Effendi.

"Kita juga akan meningkatkan lagi pesanan harian dan tukang-tukang masak kami pun sudah bersedia dan membuat persiapan menerima lebih ramai tetamu," tambah beliau.

Menyusuli pengumuman kelonggaran itu, restoran yang terletak di Baghdad Street itu menerima 20 peratus lebih banyak tempahan berbanding sebelum ini.

"Di restoran kami, kami ada perhatikan banyak keluarga yang datang untuk makan malam, jadi selepas pemerintah dah meningkatkan had kepada lima orang, mereka boleh datang makan bersama-sama," kata Encik Effendi.

TEMPAHAN MELONJAK LEBIH 40%

Bagi restoran The Fortune Cookie pula, pemiliknya Encik Hafiz Alkhatib, boleh bernafas lega sedikit kerana tempahannya melonjak lebih 40 peratus.

"Sejauh ini, sudah hampir dua bulan kita tidak mendapat tempahan sebegini jadi saya berharap perniagaan akan kembali seperti biasa," ujar Encik Hafiz.

Semasa had dua orang dikenakan, jumlah pelanggan yang diterima restoran ini jatuh sebanyak 80%.

"Kita amat gembira kerana mendapat tahu mengenai perubahan kepada had lima orang semeja. Dari pihak kami, kami sudah menyediakan semua langkah-langkah selamat terutama sekali bagi pelanggan kami," kata Encik Hafiz.

Menurutnya lagi, beberapa persiapan sudah dilakukan termasuk persiapan di ruang dapur, dari segi khidmat serta latihan bagi para pekerjanya.

"Kami ingin pelanggan-pelanggan kami menikmati makanan mereka di restoran kami dengan selamat, jadi kami harus mengambil langkah berjaga-jaga buat mereka," ujar Encik Hafiz.

Setelah beberapa kali membuat penyesuaian bagi mematuhi langkah-langkah keselamatan COVID-19 yang dikemaskini sebelum ini, para peniaga dan pekerja rata-rata kini lebih bersedia menghadapi pelbagai perubahan yang ditetapkan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan