Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan meningkat, proses lebih lancar di restoran-restoran pada hari pertama langkah keselamatan dilonggarkan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Restoran-restoran yang dikunjungi BERITAmediacorp menyaksikan keadaan dan operasi yang lebih lancar seakan-akan suasana pra-pandemik pada hari pertama langkah-langkah keselamatan dilonggarkan pada Selasa (26 Apr).

Ini menyusuli pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) Jumaat lalu.

Antara yang menarik perhatian ramai adalah pemansuhan had saiz kumpulan di dalam rumah dan di tempat awam.

Ekoran pelonggaran demikian, sebilangan restoran turut mendapat tempahan bagi saiz kumpulan yang lebih besar.

Antara yang menyaksikan permintaan yang meningkat ialah restoran Tambuah Mas, malah ada yang membuat tempahan untuk kumpulan sehingga 40 orang.

"Banyak panggilan dan emel untuk cawangan di Pusat Beli-belah Paragon, Pusat beli-belah Tanglin dan juga Great World City. Kami menerima tempahan untuk 'set tumpeng', dan kumpulan seramai 10, 20 orang dan juga khidmat katering untuk kumpulan 30, 40 dan juga hidangan set," kata Pengurus Operasi Kawasan, Encik Sham Ibrahim.

Buat masa ini, Encik Sham berkata belum ada sebarang penukaran kepada jumlah tempahan sedia ada.

Langkah ini disambut baik bagi pelanggan seperti Cik Sylviani: "Saya boleh meraikan ulang tahun dengan lebih ramai kawan dan makan di sini. Sesuatu yang kami tidak dapat lakukan untuk dua tahun jadi kami sangat teruja."

Restoran Tambuah Mas kini boleh beroperasi dalam kapasiti penuh di dalam restorannya dengan meja-meja makan sudah dirapatkan.

Cawangannya di Paragon misalnya boleh menampung seramai 85 pelanggan dalam satu-satu masa.

Sebelum ini, mereka hanya boleh menampung 60 pelanggan, iaitu 30 peratus lebih rendah kerana perlu mematuhi jarak selamat 1 meter di antara pelanggan.

Ini berita baik lebih-lebih lagi untuk cawangan restoran Tambuah Mas yang paling sibuk sejak 15 tahun lalu.

Semasa kunjungan BERITAmediacorp sewaktu waktu makan tengah hari di Paragon hari ini (26 Apr), para pelanggan yang menjamu selera di restorannya juga berasa agak selesa kerana selain tidak perlu mematuhi jarak selamat, mereka juga tidak lagi perlu mengimbas kod QR SafeEntry di pintu masuk restoran.

"Sebelum ini saya terpaksa membawa dua telefon sebab aplikasi 'TraceTogether' saya dalam satu telefon bimbit dan satu lagi untuk tugas. Hari ini, itu semua tiada, kurang masa menunggu," kata Cik Shareen, seorang pelanggan.

"Saya rasa ini bagus kerana kami boleh berinteraksi terutama sekali tanpa perlu mematuhi jarak selamat. Lebih-lebih lagi apabila makan seperti ini, boleh duduk dan berbual, saya rasa ini bagus," kata Encik Douglas Joinol, seorang pelanggan tetap Tambuah Mas.

Namun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak restoran masih memerlukan para pelanggan untuk memakai pelitup muka sebelum makanan mereka dihidangkan.

TEMPAHAN UNTUK BERBUKA PUASA NAIK PADA AKHIR-AKHIR RAMADAN

Dengan pelonggaran sekatan yang bertepatan dengan minggu terakhir Ramadan, restoran Tambuah Mas melihat kesan yang cukup memberangsangkan bagi tempahan berbuka puasa.

"Ketiga-tiga restoran kami untuk buka sudah penuh. Jadi kami meninggalkan sekitar 20 hingga 30 peratus kapasiti kami untuk pelanggan yang datang tanpa tempahan. Kebanyakannya adalah tempahan untuk kumpulan sebesar lima, 10 hingga 20 orang," tambah Encik Sham.

Restoran itu menjangkakan penjualannya akan meningkat sehingga 10 hingga 20 peratus dengan pelonggaran sekatan-sekatan tersebut.

TANG TEA HOUSE MASIH AMBIL LANGKAH BERWASPADA

Restoran Tang Tea House yang mempunyai empat cawangan di Jurong West, Bedok, Jalan Kayu dan Changi turut melihat peningkatan kepada tempahan untuk kumpulan pelanggan yang lebih besar.

Jika biasanya, perniagaan lebih perlahan, pengumuman pemerintah yang dibuat di hujung-hujung Ramadan itu merancakkan lagi perniagaan.

"Kami melihat peningkatan sebanyak 20 peratus untuk kumpulan besar dan beberapa meja terutama di cawangan Changi Village di mana terdapat lebih kapasiti kami untuk meja-meja besar," kongsi Ketua Pegawai Operasinya, Cik Sharonne Tan.

Cik Tan menambah, pelonggaran kepada langkah-langkah pengurasan selamat itu juga telah membantu pengurusan restorannya.

"Kami sudah tidak lagi perlukan kakitangan untuk pastikan kod QR SafeEntry diimbas. Ini menjadikan pengurusan aturan juga lebih cepat. Kakitangan kami boleh tumpukan kepada menyediakan khidmat pada pelanggan. Ini juga mengurangkan kekecewaan pelanggan semasa waktu sibuk," tambah Cik Tan.

Bagi memastikan pihaknya dapat menyambut lebih ramai pelanggan, restoran tersebut memastikan jumlah kakitangannya mencukupi dan juga sedang berusaha untuk melancarkan aplikasi telefon bijak supaya pelanggan boleh membuat pesanan dan bayaran dengan sendiri.

Meskipun dengan kelonggaran pada langkah-langkah keselamatan, Tang Tea House masih terus mengamalkan sikap berjaga-jaga dengan membersihkan meja dengan cecair pembasmi kuman dan menyediakan 'sanitizer' buat para pelanggan.

Jurang di antara meja-meja sudahpun dirapatkan namun pihaknya akan memastikan ia tidak terlalu rapat sehingga mengganggu keselesaan para pelanggan mereka.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan