Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan kuih HBB meningkat 30-50% meski terpaksa naikkan harga bagi tampung kos bahan mentah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Meski para peniaga dari rumah (HBB) perlu menaikkan harga jualan kuih mereka kali ini untuk menampung kos kenaikan harga bahan-bahan membuat kuih, mereka tetap mendapati peningkatan 30 peratus hingga 50 peratus bagi tempahan yang diterima. 

Ini menurut peniaga HBB yang ditemui BERITAmediacorp baru-baru ini. 

Antaranya termasuk pemilik Chocbolsterssg, Siti Aryanty, yang mendapati bahawa kenaikan harga bahan-bahan kuih seperti telur boleh mencecah sehingga 40 peratus. 

"Harga telur naik tetapi saiznya tidak berpatutan. Jadi apabila saiznya kecil, ia menjejas mutu kuih kita," kongsi Cik Aryanty yang menjual tapak kuda.

"Jadi dari situ, cabarannya ialah kita perlu menaikkan harga S$1 agar boleh mendapat telur yang lebih besar untuk mengekalkan mutu tapak kuda kita," tambah beliau lagi. 

Lantaran itu, Cik Aryanty terpaksa menaikkan harga tapak kudanya dari S$9 kepada S$10, iaitu perbezaan S$1 berbanding tahun lalu. 

Ini meski teragak-agak pada mulanya kerana faham bahawa ekonomi buat masa ini tidak begitu baik. 

Namun, untuk menampung kenaikan kos tersebut, antara strategi yang diperkenalkan beliau ialah mengenakan tawaran istimewa bagi mereka yang membeli lebih daripada satu tapak kuda. 

"Tawaran istimewa kita buat pelanggan kita tahun ini ialah jika mereka menempah 10 batang, mereka dapat jimat S$5. 20 batang, mereka dapat jimat S$10," kata Cik Aryanty, 28 tahun.

Ternyata, tempahannya mendapat sambutan yang baik sehingga perlu menutup tempahan lebih awal. 

TEMPAHAN NAIK 30 PERATUS MESKI PERLU NAIK HARGA KUIH 

Misalnya, Cik Aryanty mendapati lebih 30 peratus kenaikan bagi tempahannya tahun ini berbanding tahun lalu.

Seorang lagi yang mendapati peningkatan dari segi tempahan ialah pemilik Ooh.mycookies, Nur Ikiana. 

Seperti Cik Aryanty, beliau juga terpaksa menaikkan S$1 pada harga tart yang dijualnya.

"Cabaran yang saya hadapi sekarang ialah untuk mencari bahan dengan harga yang rendah dan juga kualiti yang sama supaya saya tidak perlu menaikkan harga yang terlalu tinggi untuk pelanggan saya," kongsi Cik Ikiana.

Beliau menambah bahawa keadaan tidak menentu bagi harga bahan-bahan utama seperti Nutella juga merupakan antara cabaran yang dihadapi kali ini. 

Untuk menampung kenaikan kos tersebut, beliau memperkenalkan pakej istimewa untuk pelanggan yang membuat tempahan awal. 

PELANGGAN DAPAT JIMAT JIKA TEMPAH AWAL DAN PILIH PAKEJ 

Misalnya, pelanggan digalakkan menempah awal dan membeli lebih daripada satu botol kuih untuk berjimat.

"Dengan kenaikan harga sekarang, mereka dapat berjimat jadi mereka tidak terlalu terjejas dengan kenaikan ini," ujar Cik Ikiana. 

"Dengan harga pakej yang saya tawarkan, mereka sekaligus akan berasa ia satu penjimatan yang besar. Mereka tidak akan rasa bahawa jika harga meningkat, tart dan kuih pun meningkat dan semakin mahal," tambah beliau lagi. 

Ternyata, sambutan bagi tempahan amat memberangsangkan, dengan hampir 50 peratus kenaikan dalam jumlah tempahan bagi air tangan Cik Ikiana itu.

Ini termasuk pelanggan yang bukan Islam, yang membeli buat keluarga dan rakan mereka yang menyambut Hari Raya ini. 

Bagi kedua-dua peniaga HBB yang kami temui itu, mereka juga berkongsi bahawa pelanggan mereka mengutamakan rasa kuih, lantas memilih untuk membelinya meski dengan harga tinggi sedikit.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan