Skip to main content

Singapura

Tempahan korban SalamSG meningkat 20% tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan korban SalamSG meningkat 20% tahun ini

Lembu korban bagi SalamSG Korban. (Gambar: SalamSG)

Diterbitkan : 04 Jun 2025 06:52PM Dikemas Kini : 05 Jun 2025 12:43AM
SINGAPURA: Hampir 5,700 haiwan ternakan dan bahagian lembu telah ditempah menerusi inisiatif SalamSG Korban bagi tahun 1446H/2025, mencatat peningkatan ketara sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

Pada tahun 2024, sebanyak 4,600 tempahan haiwan dan bahagian ternakan diterima melalui SalamSG Korban.

Demikian menurut kenyataan media SalamSG Korban pada Selasa (3 Jun).

Tiga jenis haiwan ditawarkan untuk ibadah korban tahun ini — lembu, anak kambing dan kambing biri-biri.

Tempahan dibuat secara online di www.ourmasjid.sg/korban atau di 53 masjid yang menawarkan khidmat korban.

Peningkatan tersebut didorong oleh keyakinan masyarakat yang semakin tinggi terhadap platform digital tersebut, selain usaha berterusan pihak masjid untuk mempermudah pelaksanaan ibadah korban bagi umat Islam di Singapura.

AGIHAN DAGING KORBAN MERENTAS SEPADAN

Menurut SalamSG Korban, sekitar 65 peratus daging korban yang ditempah akan didermakan di dalam dan luar negara.

Sebahagian besar daging korban atau kira-kira 13,000 kilogram daging kambing akan diproses dalam tin dan dihantar ke Gaza menerusi rakan lapangan yang dipercayai.

Selebihnya akan diagihkan kepada penerima tempatan menerusi program SalamSG Gives dan masjid-masjid yang mempunyai unit pembangunan sosial, selepas Hari Raya Haji.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, SalamSG Korban melantik Pengendali Korban Sah (AKO) bagi melaksanakan ibadah korban di Australia semasa Hari Raya Haji dan Hari Tasyrik pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi memastikan kelancaran dan pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian halal serta peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia dan Singapura, satu pasukan pegawai dari Singapura akan ditugaskan untuk menyaksikan sendiri pelaksanaan ibadah tersebut.

Pegawai-pegawai SalamSG juga akan memantau keseluruhan proses pengendalian korban bagi memastikan kualiti dan standard halal sentiasa terpelihara.

Sohibul Korban akan dimaklumkan sejurus selepas korban mereka selesai dilaksanakan, dan penghantaran daging korban dijangka berlangsung antara 12 hingga 20 Jun 2025.
Sumber : BERITA Mediacorp/AR/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita