Skip to main content

Singapura

Tempahan, kadar bilik hotel SG melonjak jelang konsert BTS pada Dis 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan, kadar bilik hotel SG melonjak jelang konsert BTS pada Dis 2026

Anggota kumpulan K-pop BTS (dari kiri), V, Jin, Jimin, Suga, Jungkook dan J-Hope membuat persembahan semasa konsert kemunculan semula BTS di Dataran Gwanghwamun, Seoul, pada 21 Mac 2026. (Gambar: Bighit Music dan Netflix/AFP)

Diterbitkan : 23 Jun 2026 01:23PM
SINGAPURA: Tempahan hotel di Singapura melonjak menjelang konsert kumpulan K-pop BTS yang dinanti-nantikan pada Disember ini, dengan sesetengah pengendali melaporkan permintaan meningkat sehingga 50 kali ganda.

Lonjakan itu mencerminkan trend yang lebih meluas di seluruh Asia, apabila bandar-bandar yang tersenarai dalam jelajah BTS turut merekodkan peningkatan ketara pada carian penginapan.

Sesetengah platform tempahan melaporkan jumlah carian meningkat sehingga 10 kali ganda di destinasi konsert tertentu seperti Kaohsiung, Taiwan.

Semua tiket untuk siri konsert 'Arirang Tour' BTS di Singapura habis dijual selepas mula ditawarkan awal bulan ini.

Kumpulan itu dijadualkan mengadakan empat persembahan di Stadium Negara pada 17, 19, 20 dan 22 Disember.

BILIK HOTEL PANTAS DITEMPAH

Tinjauan Mediacorp mendapati bilik hotel semakin pantas ditempah, sekali gus menyebabkan harga meningkat.

Di ruang online, sekurang-kurangnya sebuah hotel mengenakan kadar hampir 10 kali ganda lebih tinggi sepanjang tempoh konsert berbanding tarikh lain pada bulan Disember, manakala beberapa hotel lain sudah habis ditempah.

Platform tempahan Trip.com menyatakan tempahan hotel bagi tempoh konsert tersebut meningkat lebih 18 kali ganda berbanding tahun lalu.

“Sejurus selepas pengumuman jelajah itu, kami menyaksikan lonjakan besar pada jumlah carian,” kata Pengurus Besar Trip.com Singapura, Edmund Ong.

Beliau berkata laman itu turut mencatat peningkatan ketara pada tempahan hotel bagi tempoh 16 hingga 22 Disember semasa jualan tiket berlangsung antara 3 hingga 5 Jun.

Menurut Trip.com, trend itu serupa dengan apa yang dilihat semasa konsert artis hebat seperti Taylor Swift dan Blackpink, namun sambutan terhadap BTS jauh lebih luar biasa.

Encik Ong menasihatkan peminat yang merancang untuk ke Singapura supaya menempah penginapan seawal mungkin kerana kadar penginapan hotel dijangka meningkat dengan ketara apabila tarikh konsert semakin hampir.

Setakat ini, kira-kira separuh daripada tempahan adalah untuk hotel empat bintang.

Hotel tiga bintang pula menyumbang sekitar 20 peratus daripada jumlah tempahan, dengan peningkatan hampir 50 kali ganda berbanding tahun lalu.

Kebanyakan pengunjung datang dari Asia, dengan China dan Jepun mendahuluinya, diikuti negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Ramai pelancong memilih untuk menginap di kawasan Bugis dan Kampong Gelam, yang menurut Trip.com menyumbang hampir suku daripada keseluruhan tempahan sepanjang tempoh konsert.

HOTEL BUAT PERSIAPAN

Pengusaha hotel berkata lonjakan permintaan itu membuka peluang perniagaan, namun turut menimbulkan cabaran dari segi operasi.

Di lyf Bugis di Middle Road, kira-kira 20 minit dari Stadium Negara dengan pengangkutan awam, kadar bilik sudah diselaraskan bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Hotel itu menjangkakan harga mungkin meningkat sehingga 50 peratus lagi, bergantung kepada ramalan permintaan menjelang tarikh konsert.

Para pengendali hotel juga merancang pelbagai aktiviti bertemakan BTS serta menawarkan barangan berbentuk cenderamata khas kepada tetamu.

Bagi menghadapi lonjakan pengunjung, pihak hotel sedang membuat persiapan untuk menambah tenaga kerja.

Pengarah Serantau Pengurusan Hasil The Ascott dan Pengurus Kawasan lyf serta The Unlimited Collection, Genevieve Khua, berkata pengalaman semasa konsert Taylor Swift menunjukkan keperluan untuk menambah kakitangan.

“Kami akan menyediakan lebih ramai kakitangan untuk menguruskan jumlah daftar masuk dan daftar keluar yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa ramai peminat hanya menginap satu atau dua malam, menyebabkan kadar keluar masuk tetamu sangat tinggi.

Cik Khua berkata jumlah kakitangan akan ditambah dalam pelbagai jabatan termasuk perkhidmatan tetamu, pengemasan dan kejuruteraan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

“Jika terdapat sebarang masalah, sentiasa ada kakitangan yang boleh membantu menjawab pertanyaan dan memenuhi permintaan tetamu,” katanya.

Namun, tidak semua peminat luar negara merancang untuk menginap di Singapura.

Sebahagian daripada mereka meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berhubung kadar bilik hotel yang tinggi dan kekurangan pilihan penginapan.

Ada juga yang mencadangkan untuk menginap di Johor Bahru atau bermalam di Lapangan Terbang Changi bagi menjimatkan kos.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita