Skip to main content

Singapura

Tempahan futsal naik 20-30%; ramai turun gelanggang beraksi & pengendali manfaatkan jadual WC2018

Kalau dahulu jarang bermain bola, namun pada musim Piala Dunia ini, ramai yang 'terpanggil' untuk lebih kerap turun padang beraksi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kalau dahulu jarang bermain bola, namun pada musim Piala Dunia ini, ramai yang 'terpanggil' untuk lebih kerap turun padang beraksi.

Disebabkan demam Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Rusia sekarang, tinjauan BERITAMediacorp mendapati tempahan bagi sesetengah gelanggang futsal meningkat 20 hingga 30 peratus setiap minggu berbanding hari-hari lain sebelum bermulanya pertandingan berprestij ini.

Sebahagian besar penggemar bola sepak yang ditemui juga berkata bahawa mereka lebih kerap bermain bola sejak sekitar dua minggu lalu gara-gara dijangkiti 'demam Piala Dunia’.

“Piala Dunia sedang berlangsung, jadi kami menonton para pemain di kaca TV dan kami ingin mencontohi mereka,” kata Encik Matty Lynch, 23 tahun ketika ditemui di SkyPark Arena, salah satu gelanggang futsal di Singapura yang terletak di Sime Darby Centre, Dunearn Road.

Pengurus gelanggang tersebut, Encik Ian Wong, akur bahawa jumlah tempahan kian meningkat di tengah-tengah temasya Piala Dunia.

“Sejak Piala Dunia bermula, kami mendapati bahawa jumlah sesi yang ditempah setiap minggu naik 20 hingga 30 peratus,” kata beliau.

Malah, beliau turut berkongsi bahawa gelanggang futsal yang harga tempahannya sehingga $80 sejam menarik lebih ramai pelanggan baru bulan ini. Setiap tempahan yang dibuat di sana ditetapkan tempoh minimum selama dua jam.

“Kebanyakan daripada mereka bukan pelanggan tetap dan sebahagian besar adalah bapa muda dengan satu atau dua anak yang dibawa bersama untuk bermain bola di musim gila bola ini," tambah Encik Wong.

Muka-muka baru turut menyemarakkan suasana Piala Dunia di The RainForest Sports Hub yang menawarkan sebanyak lapan gelanggang futsal. Ini termasuk padang bagi 11 sepasukan.

Pengurus kemudahan tersebut, Encik Darwin Jalil berkata: “Bagi pemain biasa dan pemain amatur, kami melihat sedikit peningkatan pada musim Piala Dunia ini.”

Antara mereka, Sri Ganesh Yuwen Raman, 35 tahun, yang biasanya bermain seminggu sekali bagi pasukan Liverpool Singapore tetapi pada bulan ini, beliau menambah sesi bermain bola.

“Musim Piala Dunia sedang berlangsung jadi saya terpengaruh mahu main dengan lagi banyak lagi," katanya.

JADUAL PIALA DUNIA JEJAS TEMPAHAN

Meskipun, peningkatan pada jumlah pelanggan baru ke gelanggang-gelanggang futsal memberangsangkan, Encik Darwin turut mendedahkan bahawa tempahan secara keseluruhan di cawangan yang sudah enam tahun beroperasi itu merosot sedikit.

Jika selalunya mereka menerima 200 tempahan seminggu, pada bulan ini, jumlah tempahan berkurangan 20 peratus. Encik Darwin menambah ini mungkin disebabkan jadual perlawanan Piala Dunia.

“Jadual masa tempahan yang kita ada di RainForest antara 7.00 malam hingga 9.00 malam dan 9.00 malam hingga 11.00 malam. (Sesetengah) perlawanan Piala Dunia pada 8.00 malam (lantas) agak susah kita dapatkan pemain untuk bermain dalam waktu tersebut,” jelas beliau.

Hal yang sama turut dialami gelanggang jirannya, Premier Pitch, yang juga terletak di Turf City Sports Park.

Sebelum ini, Premier Pitch yang turut menyediakan gelanggang futsal tertutup itu menerima sehingga 80 tempahan seminggu dengan sebahagian besar pelanggannya adalah golongan yang sudah bekerja. Namun, sejak Piala Dunia bermula jumlahnya turun 10 peratus.

“Dalam musim Piala Dunia ini jumlah tempahan yang kami terima kurang sedikit kerana saya rasa ramai pelanggan yang main di sini, mereka memilih untuk menonton Piala Dunia di rumah,” kata Encik Awad Faruk Alkaff, pengurus cawangan berkenaan.

MANFAATKAN PELANGGAN DI LUAR WAKTU SIBUK, PASTIKAN PELANGGAN TIDAK TERLEPAS SAKSIKAN WC2018

Bagaimanapun, perniagaannya tidak begitu terjejas memandangkan di luar waktu sibuk iaitu dari pukul 7.00 malam hingga 11.00 malam, terdapat tempahan-tempahan yang membantu meningkatkan jumlah keseluruhan, terutamanya dalam kalangan pelajar.

Salah seorang daripada mereka adalah Mohamed Nurfitri, 18 tahun, pelajar Maktab Rendah Saint Andrews (SAJC) yang menempah gelanggang futsal untuk bermain bersama rakan-rakan sekolahnya.

“Piala Dunia sedang berlangsung, jadi kita pun mahu bermain bola sepak selain daripada berjumpa di kedai kopi, minum dan bersembang, kita mahu membuat kegiatan yang lain. Sekarang pun kita ada Piala Dunia, jadi kita pun bersemangat untuk bermain bola sepak,” kata beliau.

Encik Darwin dan Encik Ian pula memanfaatkan jadual perlawanan Piala Dunia untuk memastikan para pelanggan mereka tidak terjejas.

The RainForest Hub misalnya menyiarkan sorotan perlawanan Piala Dunia di ruang rehatnya, manakala SkyPark Arena pula menyediakan sebuah bilik untuk menonton perlawanan secara langsung selain bermain permainan video FIFA.

Bilik khas yang disediakan untuk menonton perlawanan Piala Dunia.

“Orang ramai biasanya marah kerana tidak dapat menyaksikan perlawanan tetapi pada musim Piala Dunia, mereka tidak mempunyai masalah jika terlepas menonton perlawanan kerana mereka boleh menyaksikan bintang Piala Dunia beraksi ketika mereka sedang berehat,” kata Encik Ian.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita