Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan F&B memberangsangkan jelang pelonggaran lanjut sekatan COVID-19, 21 Jun

Sekurang-kurangnya 50 peratus tempahan F&B sudah diterima bagi hari pertama kelonggaran lanjutan sekatan COVID-19 yang mungkin dilaksanakan pada 21 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekurang-kurangnya 50 peratus tempahan F&B sudah diterima bagi hari pertama kelonggaran lanjutan sekatan COVID-19 yang mungkin dilaksanakan pada 21 Jun.

Kurang setengah jam selepas diumumkan makan luar bersama di restoran dan pusat makanan mungkin dibenarkan bermula 21 Jun, telefon di FatPapas tidak henti berdering, kongsi pemilik restoran itu Sheikh Haikel bersama BERITAmediacorp.

Pasukan bertindak berbilang kementerian bagi COVID-19 mengumumkan pada Khamis (10 Jun), makan dan minum di premis jualan makanan dan minuman mungkin dibenarkan pada 21 Jun, seandainya kemerosotan jumlah kes baru COVID-19 dalam masyarakat kekal terkawal.

"10-20 minit selepas itu, kami mendapat tiga hingga empat tempahan yang pertama. Saya rasa ini disebabkan Hari Bapa yang menjelang tidak lama lagi. Oleh itu ramai yang ambil kesempatan untuk menyambut Hari Bapa. Kami amat gembira kerana mendapat tempahan berterusan," katanya.

Bahkan, setakat Jumaat, FatPapas sudah menerima 50 peratus tempahan awal untuk duduk makan di restorannya pada 21 Jun dan sepanjang minggu itu.

KAFE LA FEZ TERIMA 20 TEMPAHAN DALAM SEJAM

Keadaan serupa juga dikongsi Kafe La Fez di East Coast Road yang menawarkan menu hidangan Maghribi.

"Sambutannya amat menggalakkan. Dalam masa satu jam selepas tempahan dibuka semalam, La Fez menerima kurang-kurang 20 tempahan. Kami menjangkakan dalam hari-hari akan datang lebih banyak tempahan akan dibuat kerana ramai yang mahu meraikan Hari Bapa," ujar pemilik Kafe La Fez, Encik Haikel Gani.

Mentelah lagi, dengan musim cuti sekolah, beliau juga mendapat tempahan daripada ibu bapa yang tidak mahu melepaskan peluang untuk membawa anak mereka makan luar sebelum sekolah dibuka semula.

40-50 TEMPAHAN DITERIMA THE MALAYAN COUNCIL BAGI SAMBUT HARI BAPA

Bagi restoran The Malayan Council, meski pembukaan semula makan luar terlewat satu hari selepas Hari Bapa pada 20 Jun, tempahan untuk menyambut hari istimewa tetap menggalakkan.

Pemilik restoran itu, Encik Hafiz Alkhatib, berkata sejauh ini sebanyak 40 hingga 50 tempahan diterima khusus bagi Hari Bapa.

Selain itu, tempahan juga diterima bagi sambutan Hari Lahir, Ulang Tahun Perkahwinan dan majlis persandingan.

TEMPAHAN AWAL DUDUK MAKAN DI TWC 90% PENUH

Bagi The Wonderment Collective, tempahan bagi hari pertama kelonggaran lanjutan sekatan COVID-19 pada 21 Jun sudah 90 peratus penuh.

40 peratus daripadanya adalah bagi meraikan Hari Bapa.

(Gambar: TWC)

Disebabkan peraturan jarak selamat, ia hanya mampu menerima 12 pelanggan pada satu-satu masa.

Mujur menurut pemiliknya, Dr Faizal Kassim, kafe beliau menawarkan alternatif tempahan membawa pulang sajian menu untuk dijamu di rumah.

Dr Faizal berkata: "Kami menjangkakan permintaan yang tinggi. Jadi oleh kerana tidak mahu sesiapa kecewa, kami menyediakan produk lain. Di mana hadiah makanan, manisan online boleh ditempah untuk menyambut Hari Bapa di rumah juga."

Meski lega beberapa pelonggaran sekatan COVID-19 dibuat, beliau berharap perniagaannya dapat kembali ke keadaan sedia kala seperti sebelum COVID. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan