Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Tempahan buka puasa di restoran, hotel naik 30-100%

Permintaan untuk berbuka puasa di beberapa restoran halal meningkat antara 30 hingga 100 peratus, berbanding tempahan yang diterima sebelum Ramadan. Ia hasil tinjauan BERITAmediacorp ke tiga restoran popular dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Permintaan untuk berbuka puasa di beberapa restoran halal meningkat antara 30 hingga 100 peratus, berbanding tempahan yang diterima sebelum Ramadan.

Ia hasil tinjauan BERITAmediacorp ke tiga restoran popular dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

Restoran Carousel di hotel Royal Plaza on Scotts merupakan antara yang cukup sibuk sejak Ramadan bermula pada Selasa (13 Apr).

Jumlah tempahan makan malam yang diterimanya bertambah 100 peratus berbanding sebelum Ramadan.

80 peratus daripada pelanggannya, menurut Carousel, adalah pelanggan Melayu yang berbuka puasa di situ.

Keadaan itu jauh berbeza berbanding Ramadan tahun lalu apabila 'circuit breaker' dikuat kuasakan dan pelanggan tidak dibenarkan makan di dalam restoran, sekadar bungkus untuk dibawa pulang.

Menurut Cef Sous, Johari Suratman: "Waktu bulan Ramadan ini, mereka tempah terlampau sangat awal berbanding dengan yang lepas. 80 peratus penuh hingga penghujung bulan Ramadan ini."

Restoran yang terletak di kawasan Orchard itu juga antara sebilangan restoran yang menghidangkan makanan secara bufet.

Namun, sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, Carousel telah melaksanakan beberapa langkah keselamatan di restorannya.

"Langkah-langkah keselamatan seperti pelindung yang terdapat di kaunter-kaunter bufet dan juga kakitangan kami akan membantu pelanggan mengambil makanan. Penjagaan jarak 1 meter mesti harus diikuti. Dan kami juga melaksanakan laluan satu hala untuk pelanggan supaya mereka tidak bertembung atau berkumpul beramai-ramai," tambah Cef Johari yang sudah bekerja di Carousel selama 10 tahun.

TEMPAHAN BERBUKA DI TMC NAIK 30%

Kesibukan menyediakan juadah untuk pelanggan berbuka juga rancak di restoran The Malayan Council (TMC) di Bussorah Street.

Menurut pemiliknya, Encik Hafiz Alkhatib, sambutan yang diterima dari masyarakat Melayu buat minggu pertama Ramadan amat memberangsangkan dengan restorannya hampir penuh.

Jika biasanya tempahan di restorannya mencatat sekitar 55 peratus, ia kini mencapai hampir 70 peratus - bermakna peningkatan hampir 30 peratus yang semestinya diisi oleh pelanggan berbuka puasa.

Ini menurut Encik Hafiz, semestinya mendatangkan cabarannya tersendiri.

"Melihat kepada tempahan, kalau kita jejak 150 atau 180 orang, agak sukar untuk siapkan semua hidangan pada sama yang sama. Tetapi sejauh ini Alhamdulillah, semua orang yang buka puasa dengan kami, mereka faham jika makanan pesanan mereka dihidangkan lambat sedikit. Jadi saya bersyukurlah," kata Encik Hafiz yang sudah membuka cawangannya itu sejak tujuh tahun lalu.

Restoran beliau masih menawarkan konsep menu terbuka bagi memberi pelanggan lebih banyak pilihan makanan.

Namun, pelanggan yang sudah membuat tempahan, digalak buat pesanan lebih awal bagi memudahkan restoran membuat jangkaan tenaga kakitangan dan bahan-bahan yang diperlukan.

"Waktu berbuka ini semua orang lapar, jadi semua nak cepat juga, semua pun nak jalan cepat, nak pergi tarawih. Kami lakukan yang terbaik untuk sajikan kepada semua," kongsi Encik Hafiz, yang turut menguruskan dua lagi cawangan TMC di Dunlop Street dan Winstedt Road dan restoran The Fortune Cookie.

TEMPAHAN DI WORKING TITLE KURANG 10%, OPTIMIS IA AKAN MENINGKAT

Namun hakikatnya, tidak semua restoran mencatat pertambahan tempahan walaupun perniagaan memang rata-rata meningkat setelah Fasa Ketiga pembukaan semula Singapura sejak beberapa bulan lalu.

Bagi restoran Working Title - Burger Bar di North Bridge Road itulah yang dialaminya.

Ia mencatat kadar tempahan hampir 45 peratus bagi pelanggan berbuka puasa.

Namun jumlah itu sebenarnya kurang 10 peratus berbanding hari-hari biasa sebelum Ramadan.

Namun demikian, restoran itu menyifatkan sambutan sebagai "masih amat menggalakkan" terutama sekali pada hujung minggu yang menyaksikan lebih banyak permintaan.

Ia juga mengambil peluang itu untuk mengetengahkan menu berbuka puasa yang baru.
Menurut Ketua Pegawai Operasi The Black Hole Group, Encik Sufi Hassan, strategi yang diambilnya itu berhasil menarik pelanggan-pelanggan baru.

"Tahun lepas atau tahun sebelum 'circuit breaker' selalu buat hidangan set juga cuma tahun ini kami ubah formatnya. Pelanggan mendapat kurma, buah-buahan, pembuka selera, hidangan utama dan pencuci mulut. Format menu itu menarik pelanggan yang baru, bukan sahaja pelanggan kami yang sedia ada," kata Encik Sufi yang Ramadan lalu menawarkan khidmat penghantaran 24 jam ke seluruh negara.

Bagi Ramadan ini, Working Title turut mengubah waktu operasinya dengan membuka tiga jam lebih lewat. Ia juga ditutup selama dua jam antara 5 petang dengan 7 malam untuk memberi kakitangannya masa rehat.

Walaupun semakin ramai orang makan di luar dek kelonggaran sekatan COVID-19, para peniaga masih berdepan dengan cabaran tersendiri.

Encik Sufi menambah: "Untuk tahun ini, ianya lebih mencabar sebab makin banyak peniaga dari rumah (HBB). Tahun ini juga tidak banyak bazar juga. Jadi keluarga-keluarga Melayu/Islam banyak pilihan untuk pilih - sama ada mahu makan di luar atau di rumah. Banyak juga peniaga dari rumah di platform media sosial yang kita boleh buat tempahan awal sebelum itu. Jadi dari segi persaingan, ada lebih banyak persaingan."

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan