Skip to main content

Singapura

Tempahan bilik sebilangan hotel melonjak jelang sambutan Hari Kebangsaan SG

Anggaran Waktu Membaca:
Tempahan bilik sebilangan hotel melonjak jelang sambutan Hari Kebangsaan SG

Pemandangan dari Swissotel the Stamford yang menunjukkan Padang, tempat di mana Perbarisan Hari Kebangsaan diadakan.

SINGAPURA: Tempahan bilik di sebilangan hotel yang terletak tidak jauh dari Padang - tempat berlangsungnya Perbarisan Hari Kebangsaan selama dua tahun berturut-turut - melonjak lebih 20 peratus berbanding tahun lalu, menjelang ulang tahun ke-59 Singapura pada Jumaat (9 Ogos).

Antara hotel yang meraih manfaat termasuk Fairmont Singapore dan Swissotel The Stamford. Tetamu di dua hotel itu dapat menikmati pemandangan luas Padang.

Dengan latihan NDP dan pratonton NDP diadakan pada hari-hari tertentu sepanjang dua bulan lalu, kedua-dua hotel memanfaatkan permintaan daripada warga tempatan mahupun pelancong, dengan menawarkan pakej bilik berserta kredit makan.

"Anda boleh melihat Padang dari semua bilik kami yang ada balkoni, dan menyaksikan pertunjukan bunga api," kata Encik William Haandrikman, pengarah urusan Fairmont dan juga Swissotel.

"Pemerintah mengadakan latihan selama lapan hari untuk memastikan semua rakyat Singapura, atau sesiapa yang ingin menonton Hari Kebangsaan tetapi tidak dapat ke sana pada 9 Ogos, tetap dapat menontonnya... Dan pada pandangan saya, ini sesuatu yang unik di Singapura. Ia bukan sesuatu yang saya pernah lihat di tempat lain," kata pengurus hotel veteran itu.
Mereka yang menonton NDP juga akan berpeluang menyaksikan secara dekat pertunjukan udara dan Red Lions beraksi.

Hotel-hotel lain di kawasan sama memberitahu Mediacorp bahawa tempahan bilik turut meningkat.

Kedua-dua Fullerton Hotel Singapore dan Fullerton Bay Hotel menyaksikan pertambahan 10 peratus dalam tempahan daripada pelancong dan penduduk Singapura, berbanding tahun lalu.

Permintaan tempatan juga naik hampir 20 peratus di kedua-dua hotel bagi pertunjukan pratonton pada hujung minggu, berbanding minggu-minggu sebelumnya.

Ia sebahagiannya hasil langkah Fullerton Hotel menganjurkan pelbagai kegiatan bertemakan Hari Kebangsaan, di samping satu siri sajian penjaja istimewa pada bulan ini, jelas pengarah perhubungan pemasaran The Fullerton Hotels and Resorts, Singapura, Encik Lee Kin Seng.

Tetamu dan orang ramai boleh membuat tempahan bagi bufet makan malam di Fullerton Hotel yang menampilkan hidangan istimewa enam penjaja undangan, termasuk Warong Serembat Satay dan 146 Famous Bukit Merah Ang Ku Kueh serta pasukan kulinari hotel.

Penyanyi tempatan, Jack dan Rai, juga akan membuat persembahan dalam sambutan Hari Kebangsaan pertamanya di Cliffor Pier.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita